Jumaat, Februari 04, 2005

KOLEKSI SENI

Image hosted by Photobucket.com


Saya tidak punya banyak masa apabila dijemput oleh sahabat semasa singgah berkunjung kerumahnya sekejap di selatan tanah air. Saya ke sana hanya ingin menyelesaikan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi apabila tidak sampai hati melihatnya merayu untuk melawat keluarganya yang sekian lama tidak saya kunjungi. Apabila saya bertanya apa yang menarik sekali yang ingin dikongsi olehnya apabila saya kerumahnya. Saya terpegun melihat koleksi-koleksi seni simpanannya yang diturunkan oleh nenek moyangnya suatu ketika dahulu, yang kini diwarisinya. Barangkali berlatarbelakangkan orang-orang bangsawan yang membuatkannya boleh memiliki hasil seni yang berabad lamanya. Lalu secara tidak langsung saya terpanggil membuat suatu topik yang kurang diminati oleh kalangan belia dan sering dipinggirkan oleh sesetengah golongan yang menolaknya secara mentah-mentah. Saya juga peminat seni walaupun tidak mempelajari seni secara formal. Tetapi sekadar pencinta dan menghargai bentuk khazanah yang mempunyai nilainya tersendiri dimata saya dan pengetahuan yang dimiliki walaupun tidak secara menyeluruh.

Saya menyentuh keperihalan seni, barangkali setelah meninggalkan bidang tersebut satu ketika dahulu dan merubah situasi saya ke ruang persekitaran yang lebih mencabar minda dan kadangkala menyebabkan kekacauan jiwa. Dengan itu saya tidak mahu perkara yang saya pelajari, ilmu yang diturunkan oleh seorang guru dipersia-siakan dan ditinggalkan serta dilupakan sepenuhnya. Walaupun saya cuba mencuri ruang dan masa untuk meneruskan minat dan wadah ini apabila disaat bersendirian dan memerlukan ketenangan, kedamaian ini yang saya cari selain daripada membaca, menulis, dan menonton atau bersama teman-teman.

Keinginan memiliki dan membeli hasil karya seni didorong oleh keindahan dan kecantikan, manakala mengumpul hasil karya seni merupakan salah satu bidang yang dianggap berprestij. Saya mungkin tidak mampu mengumpul barangan seni yang begitu ekslusif, sekadar menyimpan beberapa hasil karya seni berbentuk lukisan, poster, poskad dan koleksi catalog seni dan buku puisi beberapa nama artis di dalam dan luar negara, itupun diantaranya hadiah daripada sahabat dan teman-teman.Saya juga berkongsi koleksi ini bersama rakan-rakan yang lain yang mempunyai minat yang sama. Penyerapan nilai dan penghargai seni adalah kurang mendapat tempat di mata masyarakat di negara ini selain seni berasakan seni persembahan yang begitu popular, bahkan merupakan satu bentuk budaya menjurus ke arah hiburan dan eksploitasi semata-mata yang menular di dalam ruang lingkup masyarakat negara ini.

Jika di kaji secara rawak penyerapan nilai seni berbentuk seni rupa dewasa ini jarang ada pada jiwa remaja apatah lagi kurangnya penghayatan budaya seni itu sendiri dalam pendidikan negara ini. Jika di sebut beberapa nama artis seni rupa dinegara ini, seperti Dato' Hoessein Enas, Datuk Tay Hooi Heat, Abdullah Ariff, Dato' Chuah Thean Teng, Datuk Syed Ahmad Jamal, Jolly Koh, Nik Zainal Abidin Nik Salleh, Yong Mun Sen dan Latiff Mohidin, mereka adalah tergolong insan seni yang melopori era 40 hingga 70 an. Selepas itu barulah munculnya era Redza Piyadasa, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Raja Shariman Raja Aziddin, J Anurenda, Khalil Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama) mungkin tidak ramai mengenali siapa mereka? Karya-karya mereka lebih dikenali dinegara luar berbanding dinegara sendiri. Terbaru saya berpeluang memiliki karya Latiff Mohidin Kumpulan Puisi I (1965-1972) yang telah diterjemahkan puisinya dalam bahasa Jerman oleh GOETHE-INSTITUT Kuala Lumpur. Mengapa orang luar lebih menghargai hasil karya mereka? Saya mencari dan membaca karya puisi Latiff Mohidin sejak saya kecil lagi selain A. Samad Said yang lebih kepada sastera, betapa sukar untuk mengumpul semua karya puisinya. Tetapi saya telah memiliki karya kumpulan puisinya secara percuma di GOETHE-INSTITUT (tetapi stoknya yang terhad). Antara puisi yang saya kagumi ialah Sungai Mekong, yang menceritakan seorang ibu yang kehilangan anaknya yang hanyut di sungai tersebut. Bagi saya karya beliau unik dan bersahaja daripada hasil tangan seorang insan seni yang menggunakan gabungan kanvas untuk melukis dan berpuisi sebagai wadah perantaraan jiwa seorang seniman kepada masyarakat.

Saya rasa kepedulian inilah menyebabkan saya ingin mengolah dan berkongsi minat dengan tarikan ini oleh insan-insan istimewa ini. Jika di barat, koleksi seni wujud seawal zaman Greek. Dalam perjalanan sejarah tentang keagungan seni, situasinya sering dikaitkan dengan kemasyhuran dan kegemilangan sesebuah empayar. Raja Attalus 1 dari Pergamun pada tahun 214 sebelum masihi, misalnya merupakan pengumpul seni yang terulung.

Pada Zaman Pertengahan, keunikan barangan seni dapat dilihat pada barangan logam atau barangan kemas yang diperbuat daripada emas permata, sutera lembut dari Timur, barangan kaca berwarna dan barangan perak Byzantin. Adunan ukiran seninya jelas memperlihatkan ciri-ciri kehalusan corak yang penuh dekoratif dan elegan.

Cosima De Medici ialah antara hartawan pengumpul seni klasik yang terkenal di Itali yang kegiatan seni pada ketika itu berkembang dengan pesat. Sejarah penjualan koleksi barangan seni yang terbesar juga pernah berlaku pada tahun 1648 selepas kemangkatan Raja Charles 1, Raja England yang memerintah dari tahun 1614-1640 Masihi. Cerita Raja Charles 1 yang dikaitkan dengan koleksi barangan seni amat dikagumi dan terus menjadi elemen kemegahan pihak muzium atau galeri di Barat. Mengumpul hasil karya seni dari pelukis ternama menjadi urusan penting pihak muzium terhadap sesuatu yang dianggap istimewa dan berharga. Selain fungsinya sebagai tatapan umum, setiap koleksi seni memiliki kriteria tertentu yang dapat dijadikan bukti penting dari segi hakikat atau rujukan budaya. justeru, pihak berkenaan berperanan untuk terus mencari dan membuka ruang yang lebih khusus tentang koleksi seni yang kadangkala terpaksa melangkaui sempadan masa dan tempat.

Banyak pengumpul awam di Barat yang berjaya membina muzium peribadi dan mempunyai pengaruh pembelian yang amat luas. Antaranya Wallace Collectiondi London, Muzium MuseeGuimet dan Cognac-jay di Paris, Barnes Collection, Perpustakaan Mongan dan Huntington di Amerika Syarikat dan Hinton Collection Armidale di Australia.

Faktor pembelian terhadap sesuatu hasil seni dapat dilihat daripada berbagai-bagai perspektif. Pembelian biasanya diikuti dengan pemerhatian dan kajian yang berterusan. Pihak universiti misalnya mungkin meletakkan hasil seni sebagai bahan rujukan akademik. Bagi pihak korporat pula, penilaian mungkin dari sudut kepentingan komuniti untuk membangkitkan persekitaran budaya bekerja yang lebih selesa dan menyenangkan atau sebagai mewakili imej korporat.

Koleksi seni secara peribadi didorong oleh kehendak diri sendiri yang dibentuk melalui intuisi dan persepsi. Apabila dirangsang oleh rasa cinta terhadap keindahan, tidak ada yang boleh disifatkan sebagai penghalangnya kecuali dari segi cita rasa, sumber, ruang, dan pengetahuan. Individu yang tergolong dalam kategori ini biasanya mempunyai tahap kecelikan estetika dan tuntutan dalaman yang tinggi.

Kebanyakan pengumpul mendakwa, melalui objek seni, mereka menemui semula yang dicari lalu mendedahkannya kepada umum tentang sesuatu yang pernah berlaku pada masa silam. Rakaman peristiwa atau pendedahan tentang sesuatu budaya pastinya mempunyai signifikan tertentu. Dengan pemeliharaan objek seni, setiap ahli masyarakat berpeluang untuk terus dapat menghayati erti manusia dan tamadunnya. Sesetengah orang berpendapat, di sinilah terletaknya titik persinggahan atau taman hiburan yang subur, segar dan kanvas dari segi perbendaharaan ilmu dan khazanah keintelektualannya.

Apabila sesuatu objek atau karya seni digandingkan dengan simbol kemewahan atau status, situasinya mungkin berubah dan menjadi lebih menarik. Lazimnya, pengumpullah yang menentukan sesuatu yang menjadi daya tarikan utama. Kadangkala wujud
persaingan antara pengumpul terhadap sesuatu objek seni yang sama lantaran terdedah kepada tekanan atau pertikaian kuasa membeli. Walau bagaimanapun, fenomena sedemikian berupaya mencipta peluang dan objektif yang berbeza.

Pada abad ke-20 pergerakan seni dipengaruhi oleh permintaan. Sebelum Perang Dunia Kedua, hasil karya seni gaya Ekspresionisme Jerman misalnya dikatakan malap dan kurang mendapat sambutan. Meskipun begitu, semasa pameran di Muzium New York pada tahun 1957, seni moden Ekspresionisme Jerman mula mendapat tempat dan membantu pertumbuhan yang pesat.

Pengumpul yang bijak biasanya mengetahui masa kronologi, pengaruh, dan individu yang menghasil atau tempat yang sesuai untuk membeli sesebuah hasil karya. Penilaian dari segi teori, estetik, kritikan hasil karya seni. Sebagai contoh, Andrew W. Mellon banyak membuat koleksi catan daripada Hermitage untuk Galeri Nasionalnya yang dijual dengan perintah Josef Stalin kerana keadaan untuk mendapatkan pertukaran wang asing pada ketika itu amat terdesak dan kritikal.

Daishowa, Pengerusi Ryoei Saito, iaitu syarikat pembuat kertas yang beroperasi di New York pada lewat abad ke-19 telah membelanjakan hampir AS$160.6 juta untuk mengumpul catan Eropah. Beliau telah membayar sebanyak AS$82.5 juta untuk karya Dr Gachet karya Van Gogh dan AS$78.1 juta untuk catan Renoir yang berjudul Au Moulin de la Caletta yang dihasilkan pada tahun 1876. Meskipun begitu, beliau masih menganggap bahawa nilai harga bagi kedua-dua karya tersebut sebagai tidak mahal.

Hasil seni ialah komoditi yang pasarannya dicipta dan dipertahankan oleh sumber kewangan peniaga barangan seni. Jualan boleh berlaku sama ada di tempat pameran, pusat lelongan, galeri, atau promoter atau terus kepada artis berkenaan. Koleksi seni tidak terbatas kepada golongan yang berkemampuan semata-mata. Seorang guru sekolah Inggeris, Stowers Johnson, berjaya mengumpul catan dari Itali, Sepanyol, Flemish, Mannerism, Baroque, primitif serta catan abad ke-19 dan ke-20. Faktor yang mendorong kejayaan beliau ialah minat dan usaha.

Nilai pasaran sesuatu objek seni diperoleh daripada pertukaran nilai harga pembeli untuk tujuan itu. Situasi sebegini tidak dinilai terhadap harta objek seperti kos peralatan, bahan atau upah buruh seperti mana barangan lain. Harga sebenar di pasaran ialah nilai terhadap kehendak individu untuk sesuatu objek seni. Harga ditentukan mengikut kehendak dan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Meskipun demikian, setiap situasi menawarkan peluang dan objektif yang berbeza. Seni ialah bahan visual yang bergantung pada penilaian sendiri. Tahap pembacaan, pengalaman melihat dan mendengar sesuatu adalah pendekatan terbaik untuk mendalami serta mempertingkatkan lagi kebolehan menilai sesuatu karya seni yang akhirnya membawa kepada tahap kepakaran. Kebolehan melihat dan menilai dari sudut sejarah seni akan membantu kefahaman seseoarng dari segi gaya, teknik, bahan, knologi, pengaruh dan individu yang menghasilkannya.

Lukisan merupakan media seni yang unik selain catan. Bagi saya lukisan lebih hampir kepada seseorang pelukis berbanding catan kerana prosesnya yang lebih telus dan spontan. Sebagai penonton, kadangkala dapat dirasai dan dikongsi saat pelukis memaparkan idea, meluahkan pandangan atau ekspresi diri secara bebas dan tulen selain paparan idea yang bersifat kreatif dan intelektual. Dalam hal ini, boleh dirujuki pelukis ternama seperti Leonardo Da Vinci, Degas, Matisee, Picasso dan Francis Bacon.

Lukisan arang Kubism oleh Picasso koleksi John R. Gaines, pernah dijual di pusat jualan Sotheby, New York pada November 1986 pada harga AS$1.65 juta. Lukisan pastil, yang berjudul Jeunes Filles an Pinna oleh Renoir yang dihasilkan pada tahun 1892 juga pernah terjual pada harga AS$20 juta pada tempat yang sama.

Selain catan dan lukisan, seni arca dan seni cetakan juga merupakan bahan seni yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Karya seni GURISAN (INTAGLIO) percetakan asid oleh Picasso berjudul Rapas Frugal yang dihasilkan pada tahun 1904 pernah dijual dengan harga AS$32 500 pada bulan Mei 1984 dan telah meningkat pada AS$110 000 pada November 1987.

Image hosted by Photobucket.com


- Bangunan Barnes Collection.


Jelasnya, senario seni di Barat sejak dari dahulu sering dilihat dan dianggap sebagai bahan mewah lagi berprestij yang menggambarkan kemasyhuran kuasa yang lazimnya dikaitkan dengan golongan tertentu seperti institusi Diraja, golongan bangsawan atau negara. Namun, seni pada masa kini mungkin berbeza dari segi penerimaan dan interpretasinya. Seni pad a masa kini lebih memberi fokus kepada nilai ekspresi, bicara budaya, dan cita rasa gaya kon- temporari.

Di Malaysia, koleksi seni dibahagikan kepada tiga kategori utama yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu, iaitu koleksi secara peribadi atau persendirian, koleksi korporat, dan koleksi negara. Balai Seni Lukis Negara dan galeri-galeri seni milik Kerajaan Negeri memainkan peranan penting khususnya dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan warisan seni. Usaha pengumpulan seni rupa sezaman dengan seni warisan dianggap begitu pen ting kerana merupakan asas pendidikan atau gedung ilmu bagi generasi akan datang. Usaha memperagakan karya-karya koleksi pelukis di ruang pameran sebagai himpunan tetap sebenarnya merupakan gelanggang terbaik untuk memartabatkan seni budaya bangsa bukan sahaja bagi kepentingan tempatan tetapi juga sebagai alat tontonan kepada pelancong asing. Budaya ini begitu unik dan penting kerana akan terus tersebar dan diperkatakan. Justeru, usaha koleksi seni mesti diteruskan dari semasa ke semasa sama ada melalui pertandingan, pameran atau pendekatan lain.

Sektor korporat di Malaysia juga dapat memainkan peranan penting dalam mempergandakan usaha koleksi seni. Sebagai organisasi atau syarikat yang berorientasikan kejayaan dan pengaruh, sudah tentu imej sesuatu korporat itu menjadi aset yang utama.

Image hosted by Photobucket.com
The Swing (Frafonard), koleksi Wallace.


Image hosted by Photobucket.com
Lukisan Picasso.

Image hosted by Photobucket.com
Lukisan Van Gogh: Patrait.

Usaha koleksi dan himpunan karya seni boleh di- lakukan dalam pelbagai cara seperti peragaan di ruang pameran, seni reka hiasan dalaman, dijadikan poskad, kalendar, katalog, dan sebagainya.

Bagi pengumpul peribadi, usaha pengumpulan karya seni sebenarnya tidak hanya terhad kepada golongan atau masyarakat seni semata-mata tetapi harus menyeluruh kepada golongan profesional yang lain. Special Interest Group (SIG) boleh diwujudkan supaya usaha menggabungkan bilangan ahli yang mempunyai kecenderungan dan minat pada perkara yang sarna akan menjadi satu rangkaian yang penting. Pembelian juga tidak hanya tertumpu kepada nilaian harga yang tinggi tetapi harus juga meliputi harga yang terendah supaya konsep seni itu bersifat menyeluruh.

Apabila barangan seni mampu mengutarakan aspek kesenian yang hebat serta nilai estetika yang tinggi maka barangan seni juga boleh dianggap sebagai komoditi yang menguntungkan. Oleh itu, seni akan lebih berperanan sebagai alat untuk masyarakat. Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan, peringkat atau golongan perlu sama-sama menghayati keindahan kesenian di negara ini dan menyuburkannya.

Seni lukis memainkan suatu peranan penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang seimbang. Ia merupakan rekod visual pembangunan dan evolusi sesebuah komuniti sekaligus menyediakan wawasan sejarah yang berharga. Karya -karya kreatif kerapkali memanifestasikan isu-isu semasa dan bertindak sebagai daya pendorong kepada kesedaran diri, peningkatan pengetahuan ramai yang membawa kepada perubahan cara pemikiran, tanggapan malah juga sistem nilai individu. Walaupun demikian, keseimbangan yang menyeluruh harus dicerapkan dalam masyarakat, dimana negara yang cergas mengejar kemajuan globalisasi dan pembangunan industri tetapi pada masa yang sama gigih mempertahankan warisannya dengan sektor dunia niaga, kesenian, dan sains yang saling melengkapi.

Uniknya kita punya citarasa yang berbeza mungkin ramai yang sukakan seni berunsur cereka filem, muzik, teater dan pelbagai lagi cabang seni. Terpulang kepada setiap individu apa yang digemari, disukaai dan diminati dengan mendalami ilmu seni tersebut. Dan kerana keunikan itulah kita saling melengkapi antara satu sama lain.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagaimana saya dapat menghubungi saudara..??

norfa08@yahoo.com.my