Ahad, Ogos 06, 2006

JANGAN! berTEATER


"Sebuah persembahan teater yang baik seharusnya memberi inspirasi kepada penonton dan membuat penonton sedar tentang kepelbagaian manusia yang wujud di sekelilingnya. Ia seharusnya berjaya mengajak si penonton ikut berfikir mengikut apa yang hendak disampaikan. Ia tak seharusnya membosankan dan yang paling penting sekali, menghiburkan. Kerana tak ada penonton yang mahu menonton teater untuk membebankan fikirannya."
-Nizam Zakaria


"Teater mendekatkan manusia kepada dirinya sendiri. Membuat ia lebih mengerti batas dan kemampuan-kemampuannya, serta posisinya. Teater juga membuat manusia melihat eksistensi orang lain dengan seluruh permasalahannya. Dengan teater, setting kehidupan dibuka. Bukan hanya kehidupan yang didepan mata juga kehidupan yang tak nyata."-Putu Wijaya


***********************

Lagu Tema: JANGAN!

KAN AKU DAH BILANG
KAN AKU DAH PESAN
KAN AKU DAH INGATKAN
JANGAN...JANGAN

KAN AKU DAH BILANG
KAN AKU DAH PESAN
KAN AKU DAH INGATKAN

JANGANLAH JANGAN!

JANGAN...
KAU ANGGUK IKUT CAKAP ORANG
JANGAN...
PANDAI-PANDAI BUAT TELAHAN
JANGAN...
HIDUP SUKA MENGATA ORANG
JANGAN KITA LUPA
KITA INI MANUSIA
TIADA BEZANYA
KAU AKU SAMA

JANGAN TERMAKAN JANJI
NANTI TERGADAI BODY
JANGAN IKUT KATA HATI
NANTI DARAH TINGGI

JANGAN SINDIR MENYINDIR
JANGAN MENINGGI DIRI
JANGAN KAU LANGGAR JANGAN
JANGANLAH JANGAN!

Lirik & Lagu: Bard



Bait-bait lagu tema JANGAN! yang menyatakan berapa kali dalam sehari kita semua berkata dan kadang-kadang menjerit JANGAN! kepada orang disekeliling kita. Lima kali? Sepuluh kali? Atau tidak terkira berkali-kali. Mengapa kita berkata JANGAN! kepada mereka? Mungkin bimbang akan tindakan mereka yang akan mendatangkan sebab dan akibat? Takut barang/benda yang dijamah akan rosak? Bimbang akan ada orang lain yang rasa terganggu dan marah? Dan rasanya masih banyak kekuatiran dan ketakutan yang mendorong lidah kita mengatakan tidak!

Kebimbangan dan ketakutan itu, datang dari perspektif khas di dalam setiap fikiran manusia. Kerana apabila sesuatu larangan untuk melakukan sesuatu perkara, maka kita rasa seperti dipenjara. Membiarkan pesanan moral itu tumbuh didalam benak kita. Tetapi sebagai manusia kita tidak akan takut dan bimbang akan larangan dan halangan melakukan sesuatu kerana keinginan ingin tahu. JANGAN-JANGAN! adalah andaian dan sebuah teka-teki yang kontra kesahihannya. Inilah yang berlaku dalam pementasan teater JANGAN!

JANGAN!, mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang mempunyai pelbagai karakter yang berbeza. Mereka suka menghabiskan masa lapang dengan melepak digerai burger milik Kak Kiah. Satu-satunya kedai burger yang wujud disitu. Mereka ini juga mencurahkan segala masalah dan meminta nasihat kepada Kak Kiah. Masalah timbul apabila kemunculan sebuah kotak tersebut mengundang pelbagai masalah kepada Kak Kiah. Kak Kiah menjadi serba salah apabila menerima desakan daripada mereka untuk membuka kotak misteri tersebut. Pelbagai spekulasi dan andaian dibuat oleh mereka tentang kotak tersebut.

JANGAN! kata larangan yangg menyatakan tidak boleh kepada tidak usah. Ungkapan bagi melarang seseorang membuat sesuatu kerja yang mesti atau tidak boleh tidak; tidak dengan sepenuh hati membuat sesuatu pekerjaan disebabkan acuh tak acuh. JANGAN-JANGAN! adalah kebarangkalian sesuatu kejadian dan andaian sesuatu.

JANGAN! diekspresasikan dengan baik sekali ditangan pengarahnya Hamdan Yasin. Beliau bukan baru dalam dunia teater dan drama pentas. Karya asal dari saudara Sudiro Sukiman juga bukan orang asing dengan haruman sudut pentas teater. Berlansung sempena Festival Kuala Lumpur 2006. Pukul 8.30 malam pada 28 & 29 Julai 2006 bertempat di Taman Budaya, Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

JANGAN! berteater lagi dengan mesej-mesej yang dibawa oleh orang gila dan sakit jiwa. Orang gila berjasad tetapi tidak berakal sihat. Daripada Manjakani (Aina) yang gila nak kahwin sehinggalah Kak Kiah (Pah) yang gila nak berniaga. Belum lagi Mat Mental yang terang-terangan mentalnya terganggu dan aksi-aksi gila dangdut kocok-kocok si Lana (Lana). Itu adalah sebahagian reaksi-reaksi bersahaja pelakon-pelakon APA, selain dijayakan oleh para pelakon yang boleh diketengahkan seperti Mail Kuba (Idham) Kering(Shark), Manan (Manan), Kael (Mikail), Pembantu (Mizi & Shikin).

Mereka menganggu jiwa penonton-penonton yang datang kerana gila menonton dan tidak langsung menghiraukan yang mereka tonton adalah gelagat pelbagai ragam orang gila. Para pelakon yang menurun gilanya, JANGANkan dihiraukan perkataan JANGAN! apa yang mereka tahu selain reaksi tindakan seperti orang normal. Kotak yang menjadi propaganda, mesej-mesej yang terkeluar. Maka lahirlah ketakutan-ketakutan yang mereka sendiri andaikan. Apa yang mereka lihat di depan mata, ransangan kognitif secara automotik kepada tindakan mereka. Mendapatkan kotak itu. Tidak peduli apa yang ada didalamnya asalkan mendapat. Tetapi yang menjadi tanda tanya dan terpinga-pinga adalah mereka yang normal iaitu penonton.

Sebuah teater yang baik juga memang selalu menunjukkan penguasaan bahasa. Bahasa yang baik adalah bahasa yang lancar, terang, basah dan hidup. JANGAN! memakai bahasa yang sederhana untuk sampai kepada penonton. Supaya mereka terus tertanya-tanya. Orang gila mempunyai keterbatasan mereka. Ini situasi yang bukan kemahuan mereka.

Persembahan dijayakan oleh kumpulan Artis Penjuru Alam (APA) yang telah bertapak sejak1984. Dan kali ini APA telah melahirkan pemangkin dan penyambung dengan kehadiran generasi Ke-4 ini. Disepanjang penglibatannya, APA telah mencapai banyak kejayaan. Pada Tahun 1982, APA telah memenangi anugerah Drama Terbaik dalam Pesta Teater peringkat Wilayah Persekutuan melalui drama Jangan Bunuh Rama-Rama karya Dato' Dr Nordin Hassan. Selain dari hadiah Drama Terbaik, APA juga menerima hadiah Set Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Nor Fazilah Ahmad) dan Pengarah Terbaik (Mohd Latip Mohd Arif).

Pada tahun 1990, sebuah drama persembahan APA bertajuk Lensa karya dan arahan Shahriza Mahmud terpilih mewakili negara dalam pesta drama bertemakan Nilai-Nilai Kemanusiaan (Peringkat Asia) anjuran Majlis Pusat Sathya Sai Malaysia. Di pertandingan tersebut Lensa telah memenangi satu anugerah iaitu Pelakon Lelaki Terbaik Asia (Hamdan Yasin- pengarah teater JANGAN!). Dalam pertandingan Peringkat Kebangsaan, Lensa telah memenangi empat daripada tujuh anugerah iaitu Drama Terbaik Bahasa Melayu, Skrip Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Hamdan Yasin) dan Pelakon Wanita Terbaik (Norwaty Mat). Mereka diatas adalah orang-orang kuat APA. APA juga telah melahirkan ramai karyawan dan pelakon yang kini terlibat dalam bidang lakonan, pengarahan dan koreografi tarian seperti Amran Nasruddin, Shahriza Mahmud, Zila Bakarin, Roslan Saleh, Hamdan Yasin dan Zaidi Karim.

Begitu juga krew-krew produksi APA yang latarbelakang yang berbeza dan kemahirannya tidak sama. Mereka bersatu meneruskan tradisi ini. Kehidupan teater bukan semata-mata pementasan, bukan hanya milik mutlak orang-orang diatas pentas teater. Produksi teater juga membina komuniti khalayaknya, pu­blisiti, pengkritik, dokumentasi, organisasi, masyarakat, penonton serta berbagai kegiatan penunjangnya. Kerana tanpa tiang-tiang tersebut, kesenian teater tidak akan hidup sihat. Setiap produksi memiliki keistimewaan masing-masing. Krew-krew memainkan peranan dalam tangan mereka daripada kegiatan mengisi kerja lapangan hingga sumbangan tidak terhingga.

APA telah menyumbang secara langsung kepada usaha menggalakkan perkembangan seni dan budaya melalui program anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Berusaha mempertingkatkan kesedaran akan peranan dan perlunya seni dan budaya dalam semua aspek kehidupan terutamanya remaja dengan mengisi aktiviti-aktiviti dengan cara mempersembahkan teater, puisi, dan tarian tradisi kepada masyarakat. Mereka membuktikan, mereka bukan remaja yang rendah moralnya tidak peka pada seni dan budaya. Ini adalah landasan mereka memuntahkan masa dan tenaga mereka. Dari sekolah rendah hingga ke profesional tidak ada rasa malu untuk menyumbangkan bakti. Pentas sekecil di dewan tidak sebesar pentas didunia nyata yang kita lakonkan. Tiada bezanya cuma hendak seribu daya.

APA, kali ini mereka muncul kembali dipersada pentas teater dengan membawa kesenian yang kini sudah menjadi satu keadaan suam-suam kuku. Kita sudah muak dengan para pekerja-pekerja korporat yang memuliakan politik dan ekonomi serta pembagunan fizikal sebagai primadonanya. Kesenian diletakkan kebawah malah dibawah, kerana kesenian adalah seperti satu dosa yang membazir wang dan tenaga. Tidak hanya murid-murid sekolah yang baru di suakan menguyah lumat ABC dengan angka-angka metematik sehingga menjadi jijik kepada subjek seni apalagi budaya. Sehingga para seniman sendiri juga mengkiblatkan angka-angka ringgit Malaysia.

APA sebenarnya bakal dilakukan dan dikerjakan oleh orang teater di masa depan? semuanya bergantung bagaimana mereka melihat teater tersebut. Apakah teater hanya sebuah pertunjukan, yang menjadi barang komoditi dan bersifat hiburan semata-mata? Kita mengharapkan orang-orang berpengalaman dalam bidang ini menggunakan eksplorasi mereka, ekspresi mereka tidak semata-mata teknik mengajar sahaja. Teater yang kesannya masuk ke dalam jiwa dan lebih mengolah hidup manusia. Globalnya teater bukan hanya teknologi dan bukan juga teknologi fizikal pelakon komersial semata tetapi teknologi di dalam batin setiap orang-orang teater. Sebuah teater dan produksi lebih mengembangkan daya interpretrasi-interpretasi, sudut pandang dan imaginasi ke dalam diri penonton. Kerana peristiwa tontonan mereka memiliki erti bukan hanya sebagai hiburan, tetapi penyampaian. Sebuah katarsis.

Teater kita tidak akan pernah sama dengan teater barat. Seperti barat yang tidak dapat dikejar oleh kita, dan keaslian kita pun tidak akan dapat dikejar oleh barat. Barat telah mengajar kita banyak perkara khususnya teknologi pementasan teater di dalam dunia yang sekular. Jangan fikir tanpa barat tiada teater. Itu penjajahan fikiran dan kesalahan melihat. Perkara yang cukup lama menjajah benak kita. Teater sebagai keseimbangan jiwa yang hakikatnya sebagai sebuah peristiwa bersama. Teater tidak hanya untuk hiburan, tetapi yang lebih utama menyumbangkan nilai-nilai mesej dalam diri. Teater menjadi upacara bersama, untuk mengajak masyarakat mengalami peristiwa dalam sebuah kelompok. Seperti teater JANGAN! kelompoknya orang-orang sakit dan terganggu batinnya. Masyarakat dan orang-orang normal yang menonton terkena tempiasnya.

Teater menjadi media untuk berbicara kepada masyarakat, agar masyarakat melihat dirinya sendiri, problemnya sendiri, hingga dapat mengembangkan semaksima mungkin potensinya sendiri. Teater bukan hanya cerita. Teater bukan hanya karakter. Teater bukan hanya konflik. Teater bukan hanya masalah kejiwaan. Teater juga bukan hanya falsafah dan politik. Atau ajaran moral atau didikan. Teater adalah kehidupan yang complete atau keseluruhan sudut kehidupan. Teater menjadi tempat untuk melakukan luahan berbentuk hiburan, kegembiraan, menyedihkan, menyesatkan, menghasut dan sebagainya, namun intinya adalah keseimbangan bukan kesempurnaan.

Kerana kalau tidak, kita akan lebih banyak berkata dari bekerja. Kita akan lebih banyak menuntut daripada membuktikan dan memanfaatkan apa yang dimiliki. Kita akan terus merengek dan mengemis di arena ini. Kita semua memimpikan iklim teater yang sihat. Kita memerlukan industri dan mekanisme pasaran yang hidup dan meng­hidupkan sektor produksi teater ini. Walau kecil tetapi besar kemahuan dan cita-citanya.

Pepatah melayu, alah bisa tenggal biasa. Gagal mencuba bukan menjadi kebiasaan kita. Tidak merasa kegagalan, kita tidak akan belajar. Walaupun susah untuk mengubah kebiasaan, tetapi perlu diusahakan. Mengubah kebiasaan bererti mengubah perspektif fikiran. Kalau tidak ingin kreativiti mudah layu dan dikebumikan, JANGAN tidak-tidak untuk berteater.

Tiada ulasan: