Isnin, Mei 28, 2007

Tangisannya semakin reda dan kemudian terus berhenti. Agaknya mendengar juga cakapku atau mungkin memahami secara telepathi apa yang kumasudkan. Hanya telinga yang boleh mendengar. Apakah orang yang empunya bibir ini mendengar cakapku kerana dia masih memiliki telinga? Barangkali tidak. Barangkali dia hanya mengalami perasaan sedih, gembira, pilu, ria, haru. Apakah yang dibuatnya sekarang? Aku meneliti bibir ini. Ia kecil dan kelihatan masih mentah. Ada gincu terpalih di atasnya secara kurang sempurna. Aku mengambil tisu dan memalit gincu dari bibir ini – apakah agaknya warna sebenar bibir ini? Merah muda. Tidak mungkin bibir ini kepunyaan seorang wanita kerana bentuknya yang kecil dan warnanya yang masih segar. Aku percaya dia milik seorang gadis yang masih mentah. Aku cuba membayangkan gadis ini dan dari bentuk bibirnya ini pastilah ia seorang gadis yang jelita juga. Bibir ini kuletakkan di atas telapak tanganku, terasa lembut dan rapuh dan kemek. Kudekatkan pada hidung dan aku tercium bau chewing gum.

Tiada ulasan: