Selasa, Julai 26, 2005

EKSTRASI SENI BUDAYA FANTASI





Artikel ini adalah suatu kajian dan merupakan pengamatan penulis yang bertujuan mengusik minda para pembaca melayari pendapat-pendapat yang terkandung dalam penulisan-penulisan dibawah. Persoalan-persoalan yang diutarakan menuntut kerjasama dan komitmen publik untuk membina pendapat. Saya berhak untuk memberi pendapat dan saya juga berhak menepis mana-mana pendapat yang mencurigakan. Pandangan dan interpretasi saya bersifat independen dan terserah kepada kebijaksanaan masing-masing menilai. Inilah pandangan peribadi daripada signifikasi, persepsi dan representasi kajian saya kepada kebudayaan seni hiburan tanahair. Saya percaya dengar adanya interaksi sebegini, akan terbina environmen industri seni. Interaksi jaringan ini yang mampu mewujudkan sebuah jaringan antara anda dan saya dan sosial seni hiburan sendiri. Ini adalah sedikit kajian yang menyeluruh dan penulisan yang dikeluarkan hanya suku bahagian dan masih dalam proses perkembangannya. Penulisan ini tidak pernah disiarkan dimana-mana risalah dan kajian ini lebih bersifat akademik dan ilmiah.


Sebagai manusia yang berakal budi, yang hakikatnya tidak lain terletak dalam relung-relung sifat kemanusian. Kedangkalan manusia bertapak untuk terus berperang dengan cara masing-masing. Manusia dan kemanusian telah lama ternoda oleh kekuatan politik keji yang memonopoli dunia dan meracuni fikiran masyarakat dengan pelbagai isme dan kepentingan. Jesteru, hasrat negara dengan politik yang diwar-warkan oleh pemimpin negara. Saya tidak berminat memperkatakan era peralihan politik negara yang melanda, yang nampak jengkel lebih sudu dari kuahnya atau seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus dalam kejelikan isu demokrasi semasa yang diibarat kuih yang senang dimakan tetapi sulit dicernakan. Seperti juga sesulit menjinakkan Osama dan Bush untuk melahirkan sintesis dunia baru yang manusiawi. Meributkan kembalai akal kita.

Maaf saya tidak ingin memperkatakan mengenai isu hangat dan diari kehirupan harian pelajar Akademi Fantasia 3 atau laporan setiap mingggu persembahan program tersebut malah bukan Teori konspirasi yang digemburkan masalah dalaman pihak pengurusan dan malah ini juga bukan web racun. Anda semua boleh merujuk kepada pelopor dan sifu blog Akademi Fantasia sultanmuzaffar dilamannya atau blog yang seangkatan dengannya. Penulisan ini adalah perkongsian nilai sesuatu seni hiburan itu tidak lagi dilihat sebagai sebuah acara rakaman objek natural pemerhatian tetapi bertukar menjadi sebuah penyelidikan saintifik fenomena persepsi dan pandangan. ADA APA DENGAN MEREKA? Akibat masih wujud konflik serta polemik yang tidak luput dek bertahun lepas, penulisan wacana ini sewajarnya sentiasa menjadi acara rutin di kalangan pengiat masyarakat agar seni hiburan itu tidak berada dalam keadaan statik dan jumud. Sememangnya ada proaktif dan kontratif dalam isu ini.

Di sebalik apa yang dibentuk, terlihat akan wujudnya keasyikan terhadap hal-hal yang ada di luar kesedaran yang asli membuat kita mudah meniru dan mudah dipengaruhi, mudah tertipu akan kenikmatan-kenikmatan sesaat, ketakjuban akan kebahagiaan yang palsu, dan kerinduan untuk terus hidup dalam hiburan. Tidak hairanlah di pentas pemujaan akan Akademi Fantasia wujud semacam ketidaksedaran yang disedari dan kesedaran yang tidak disedari. Antara batasan tipis kedua wilayah ini, masyarakat terus ditanam dan dibius dengan aneka warna nilai yang ditawarkan dari segenap penjuru dunia yang memaksa semacam ketidaksedaran massa. Ketidaksedaran ini sebagai kesedaran baru yang tidak lebih daripada simbol fantasi yang menjurus ekstasi gaya hidup popular yang hanya mementingkan permukaan, penampilan, hiburan dan permainan tanda-tanda yang tanpa kedalaman dan yang tidak mengacu kepada realiti yang sebenar. Inilah agenda remaja dengan Akademi Fantasia dalam ekstasi kebudayaan popular, mereka hidup seakan di alam mimpi, ilusi dan fantasi yang dibentuk tidak hanya dalam pengertian sosio ekonomi dan politik tetapi juga ideologis. Begitulah hebatnya kebudayaan popular yang amat diwarnai oleh citra konsumerisme popular dan ditunjangi pula oleh dunia kapitalis yang bersenjatakan manusia.

Pendekatan budaya seni hiburan tersapu dan diwarnai pemikiran dalam membahas persoalan masa hadapan kemanusiaan. Saya ingin membahaskan tentang sikap kita dalam memahami arus perubahan global dan industri seni hiburan bagaimana sikap yang seharusnya dalam menghadapi cabaran per­ubahan ini. Saya menegaskan kepada anda semua membuka minda secara universal dan meluas serta peka kepada situasi ini. Namun, sebagai masayarakat tidak harus obses dengan perubahan itu, sebaliknya mengurus perubahan itu mengikut kehendak kita, dan melalui sifat kemanusiaan mencetuskan konsep baru yang dikenali sebagai organisasi pembelajaran untuk menjelaskan tentang ciri-ciri kelangsungan organisasi pada masa hadapan. Bahkan, pelbagai seni hiburan tumbuh dan bercambah membanjiri pasaran, sehingga kita sendiri tidak pasti yang mana harus diikuti Malaysia Idol, Mentor dan Akademi Fantasia.

Saya seorang konservatif dalam seni dan budaya kerana saya menghormati tradisi. Saya percaya kepada keputusan-keputusan nalar tentang baik atau buruk kualiti seni hiburan itu adalah dengan kajian dan jalan penyelesaian yang membangun. Saya ingin memfokuskan kepada Akademi Fantasia kerana penghulu dan pembuka kepada yang lainnya. Dengan itu saya fokuskan kepada 3 cabang terbesar dan golongan di dalamnya yang punya pengaruh wadah hiburan ini iaitu Masyarakat (penonton dan peminat fanatik), Organisasi (Astro, Media, pengkritik Akademi Fantasia), dan akhir sekali Pelajar Akademi Fantasia (pop ikon). Kerana perkaitan ini adalah antara satu sama lain dalam jaringan satu ekosistem.

Walau bagaimanapun, usaha ditutup dengan penghargaan, dihargai kerana ada orang yang sanggup mengeluarkan sebahagian perbelanjaan untuk membeli produk dan album mereka dan kita secara tidak langsung menganggap bahawa itu penghargaan mereka. Kefahaman nilai komersial inilah yang banyaknya penghasilan yang dilakukan itulah membuatkan khalayak dan peminat mereka yang mengusahakannya diberi penghargaan. Namun, persoalannya dimana letaknya fungsi dan manfaatnya dalam menjadikan objek seni sebagai penyaluran kepada proses perkembangan masyarakat?

MASYARAKAT


(PENONTON/PENGUNDI/PEMINAT FANATIK)


Saya bukan ahli politik, bukan pengiat seni, bukan golongan akademik dan bukan juga golongan yang mempunyai propanganda tertentu. Saya hanya insan biasa dan sederhana yang sensitif dan mudah terguris terhadap kencaman sahsiah-sahsiah moral kemanusiaan yang tiada kepedulian dalam masyarakat. Malangnya sejak akhir-akhir ini kita sebagai sebuah kelompok masyarakat yang kecil di negara ini seperti berperang kerana sesuatu perkara yang merubah paradigma masyarakat kearah seni hiburan. Fenomena Akademi Fantasia dan chatters @15 dan pelbagai lagi golongan dan jaringan yang memperkatakannya. Biasanya semacam ini menaburkan pernyataan-pernyataan yang bersifat menyerang seperti learn how to learn, and how to think!. Sekian ramai golongan tertentu yang secara berani dan lantang menyuarakan pendapat dalam mempertahankan pelajar kesukaan mereka mengeji segelintir pelajar dan golongan peminat mereka. Di sini saya tidak ingin menyatakan tentang peminat fanatik mahupun golongan tertentu yang bersaing antara satu sama lain. Saya ingin membawa anda semua melihat secara telus dan kewajaran diri dalam sifat-sifat tertentu manusia. Kerana apa saya memperkatakan sedemikian kerana mereka adalah menusia. Udara yang anda hirup hari ini adalah udara yang sama yang saya sedut di sini. Daripada seharian saya melihat sifat itu semakin menipis dalam kedangkalan sifat hormat menghormati dan menjaga keharmonian dalam masyarakat negara ini.

Kejutan-kejutan dan frekuensi-frekuensi yang variasinya tidak terduga, yang tidak lagi sekadar berkaitan ketegangan dan kesedaran, akan tetapi dengan gangguan, muncul dan menghilangnya dunia nyata. Dalam kata lain, manusia dikelilingi oleh pelbagai pergerakan dalam kecepatan yang tinggi. Di sebuah Shopping Mall, kita sebagai konsumer dikelilingi oleh silih bergantinya tema, citra, gaya, provokasi yang datang dan pergi dalam kecepatan yang tinggi. Di depan televisyen, hidup kita seolah-olah di arah berpindah dari satu kejutan ke kejutan berikutnya dalam tempo yang tinggi gosip, isu skandal, kekerasan, politik dunia dan seterusnya. Citraan yang muncul dan menghilang dalam kecepatan yang tinggi merepresentasikan umat manusia yang bertemasya menjelajahi ruang sementara. Fenomena aneh, provokatif, aneka kejutan mulai daripada fenomena Akademi Fantasia bertahan beberapa ketika, sebelum semuanya ditelan kecepatan dan dilupakan dalam warnanya.

Timbulnya kesedaran dalam diri saya membawa anda semua berbalik kepada akal budi dan leluhur seorang insan dalam setiap individu. Masyarakat kita adalah satu unit yang sangat sederhana dibentuk nilai kemanusiaan daripada dikonstruksikan dalam sebuah negara, sebaliknya apa yang dibentuk hari ini seperti dilalaikan dan diabaikan kerana fenomena Akademi Fantasia ini berlaku. Disebalik apa yang dibentuk ini, terlihat wujudnya keasyikan terhadap hal-hal yang ada diluar kesedaran masayarakat kita. Mudah dipengaruhi, mudah memaki dan menghina sesama sendiri kerana menegakkan pelajar kesukaan masing-masing. Saya tidak menyalahkan 100% Akademi Fantasia sendiri dalam hal sedemikian. Kerana kita punya timbang tara dalam setiap individu dalam kehidupan demokrasi.

Nah, keadaan perasaan yang saya maksudkan adalah keadaan hati kita, bukan fikiran kita! Keadaan hati kita tersentuh atau tertarik dengan sesuatu, lalu kita terangsang atau ghairah. Kita ditarik dalam suasana menyenangkan. Kita lalu proaktif dan berani menaruh perhatian habis-habisan. Dalam pembukaan aura kehidupan kita hari ini, saya ingin mengingatkan kita bahawa sifat kemanusiaan dalam diri kita ini tidak akan berguna kalau tidak diamalkan atau dimanfaatkan. Jadi, doronglah diri anda untuk menerapkan dan melatih secara berterusan.

Saya mengangap Akademi Fantasia ini, adalah ingin mengisi masa senggang saya dan wadah kepada para remaja pada hari ini, begitu saya golongan bekerja dan adik saya sendiri sebagai seorang pelajar, dan anda sendiri. Melihat Akademi Fantasia juga mengingatkan saya betapa pentingnya merehatkan sejenak organ fizikal, baik ketika belajar mahupun bekerja. Belajar dan bekerja ialah dua kata yang setara sekaligus sama kandungan maknanya. Dalam proses belajar, seluruh potensi kita bekerja; dan dalam proses bekerja, seluruh potensi kita dalam keadaan belajar. Oleh itu, potensi kita yang berupa organ-organ fizikal itu perlu berehat agar mampu berfungsi secara optimal. Akademi Fantasia cuma merupakan satu wadah daripada sebahagian ruang wadah yang lainnya dalam kehidupan harian kita.

Ini menunjukkan betapa pentingnya setiap manusia menjalankan setiap potensi secara seimbang. Tanpa keseimbangan antara fikiran dan perasaan dalam bekerja atau belajar, akan terjadi pendominasian salah satu potensi. Selain keseimbangan, juga mengingatkan saya akan erti kekeluargaan dan saling menghormati antara satu sama lain yang semakin kelam. Ini ketara apabila dalam saluran @15 seolah-olah sukar menerima teguran dan kekalahan. Ini ditambah kutukan terhadap para pelajar terbabit dan keluarga mereka sendiri. Di sini saya melihat anda telah melanggar norma-norma dalam masyarakat. Walaupun kita sering disogokkan ungkapan masyarakat kita sekarang bijak memilih dan pandai menilai? Malangnya penilaian ini telah jauh sasarannya.

Hanya melalui kesedaran, kita mampu mengawal diri kita. Sebenarnya kita mampu menciptakan manusia yang utuh dan memiliki kesedaran menyeluruh terhadap diri (tubuh) dan jiwa. Kesedaran untuk meng­olah tubuh, jiwa, intelektual dan emosi merupakan langkah yang akhirnya melahirkan evolusi kesedaran. Justeru, sekarang kita harus menerima akibatnya sebagai keluarga dan sebagai masyarakat dengan meningkatnya kekerasan dan semaraknya perilaku tidak terpuji.

Hal ini siapa yang menerima padahnya lagi? kenapa kita mengabaikan hati pelajar dan keluarga mereka, hanya untuk memuaskan hati anda. Tentu sahaja perilaku menyimpang mereka terus berkembang. Emosi memang berperanan penting dalam kehidupan. Perasaan ialah sumber daya terampuh yang kita miliki. Emosi merupakan penyambung hidup bagi kesedaran diri dan kelangsungan diri yang secara mendalam menghubungkan kita dengan diri kita sendiri dan orang lain, serta dengan alam dan kosmos. Emosi memberi tahu kita tentang hal-hal yang paling utama bagi nilai-nilai kemanusiaan dalam keperluan yang memberi kita motivasi, semangat dan kegigihan. Begitu juga pelajar-pelajar yang gagal, jangan melampaui norma-norma moral. Meminjam kata-kata Daniel Goleman

"kebolehan untuk mengawas diri sendiri dan orang lain dari segi perasaan dan emosi serta dapat membezakan antara kedua-duanya dan boleh menggunakan maklumat itu untuk memandu pemikiran dan tindakannya"

Jika anda menyokong pelajar kesukaan anda,tidak salah anda juga memberi sokongan kepda pelajar yang masih hijau yang lainnya. Konsep ini perlu diterapkan untuk menyokong emosi mereka untuk secara cerdas, konstruktif, kreatif untuk bersaing dengan sihat pada masa depan mereka. Apakah perilaku kita merujuk kepada sebuah peraturan moral yang benar-benar luhur dalam pembangunan diri pelajar ini? Memang hidup kita akan lebih bermakna apabila seluruh aktiviti kita di bumi ini hanya kita tujukan semata-mata untuk kehidupan dalam hati manusia yang mempunyai kehalusan dan ketulusan, moral dan berjiwa. Apalagi kepedulian kita dalam sikap rakus yang semakin hilang oleh dunia berpihak kearah barat menyembelih kambing hitamnya Iraq, menjerut tangan dan leher negara-negara Asia. Salahkah kita mempertahankan sifat terpuji dan kemanusiaan dalam negara kita sendiri.

Seorang pernikir Islam tersohor, Ali Shariati dalam karya besarnya Haj (1984), menyatakan;
"Dalam konteks kemanusiaan itu mengatakan bahaya yang paling besar dihadapi oleh manusia moden bukannya ledakan bom atom tetapi perubahan fitrah. Unsur kemanusiaan dalam diri manusia sedang mengalami kehancuran sedemikian cepat, sehingga yang tercipta ialah umat manusia yang "nonmanusiawi"." Beginilah yang berbentuk dalam negara-negara yang miskin dengan nilai kemanusiaan, tiada walaupun secebis rasa hormat dalam penjuru hati mereka. Mahukah kita menjadi seperti itu?

Seperkara lagi saya ingin anda bersungguh-sungguh membasuh menjernihkan fikiran daripada hama yang mempengaruhi penilaian secara subjektif. Saya belum habis lagi cuma saya ingin anda berhentilah sesaat, tarik nafas sejenak, dan teruskan mata anda menatap apa yang ingin saya suarakan. Sememangnya tujuan penulisan saya ini adalah sebagai pemandu dalam pengembaraan suara hati saya yang memekik memanggil-manggil untuk saling mengingati dan menelusuri keindahan relung-relung hati kita tantu ada sifat keprihatinan kita. Kita punya didikan dalam soal moral dan etika yang diasah dalam ruang lingkup kehidupan. Asahlah didikan itu untuk mengawal diri sendiri dan segi perasaan dan emosi, memandu pemikiran dan tindakan. Kemelut era teknologi memerlukan penglibatan multidisiplin bidang- bidang kesenian dan akhirnya kemanusiaan yang semakin terpinggir. Apalagi tahap melampau peminat fanatik mengangkat pelajar idaman dan idola mereka.

Inilah kebenaran yang sering tersembunyi (hidden truth) di tengah-tengah adegan hidup yang serba kepalsuan. Saya ingin mengajak anda sebagai penonton, peminat dan diri saya sendiri kembali menjadi the genuine self iaitu diri yang asli dan autentik. Tetapi penuh kepedulian terhadap kehidupan lainnya. Dimana kita berada pada prototaip manusia yang bersih secara dalaman dan luaran, tidak kira sama ada dia Islam, Kristian, Hindu dan sebagainya. Kudrat kemanusiaan ini ialah in itself (fitrah dalam konteks manusia). Jika kita semua bersandarkan nalar dan rasiointelektual, dan kecerdasan kepada emosi kita berpusatkan usaha mempersatukan dan memberikan suatu jaringan yang literal mengikat perhubungan kita dengan golongan pelajar-pelajar Akademi Fantasia dan keluarga mereka bersama. Siapa akan menerima padahnya ketika melihat para pelajar adalah permainan dagangan dengan menyingkirkan mereka seakan-akan hanya BARANG BELANJA yang tidak diinginkan apabila kuasa beli wang atau SMS di tangan anda? Adakah pendekatan sedia ada masih mampu membantu para pelajar mendepani cabaran getir dunia seni dengan lebih meyakinkan di masa depan?

ORGANISASI

ASTRO

Ekstasi gaya hidup yang berlaku fenomena Akademi Fantasia yang diwarnai dalam seni hiburan membentuk kebudayaan popular yang didalangi oleh wacana kapitalisme. Akhirnya, ia membentuk semua produk termasuk budaya sebagai industri dan komoditi. Budaya popular atau pop dapat di mengerti secara luas sebagai kepercayaan, praktik dan objek melalui mana ia disusun atau diorganisasikan. ASTRO, merupakan satu organisasi pengeluar kepada kebudayaan popular ini cukup kaya dengan muatan komersial dan halus ideologinya tetapi hampas estetikanya.

Proses globalisasi yang mendera hampir seluruh hunian manusia dengan menyatukan produksi kapital dan budaya melampaui batas geografi dan negara; kini berhadapan dengan upaya memperebutkan ruang publik lokal bagi pelbagai komuniti untuk menegaskan identitinya. Perbentukkan ini tidak sahaja pada tahapan simbolik glokalisasi. Ternyata diagnosis ASTRO-AKADEMI FANTASIA yang diberikan lebih memeritkan daripada menyembuhkan. Tepat waktu, ketika kebanyakan kita sedang terseret secara pantas berbicara tentang diproduksi daripada pelbagai belahan dunia; ketika McDonald's mula mengubah pola pemakanan kita; ketika KLCC Shopping Centre dan TGV mulai mewarnai masa santai kita; dan ketika itulah kita masyarakat sedang bertengkar tentang pelajar-pelajar kegemaran kita di Akademi Fantasia, atau siapa juaranya? Hal inilah pula yang menyebabkan perlawanan terhadap kecenderungan masing-masing.

Konteks negara kita ini disifatkannya sedang bertarung untuk mempertahankan nilai tradisi yang terhakis dengan dahsyatnya sehingga menimbulkan krisis identiti ekoran terbuka seluas-luasnya kepada globalisasi. ASTRO juga lupa glokalisasi merupakan perjuangan mempertahankan nilai tradisi yang mantap dalam masyarakat. Hal ini termasuklah memberi erti pada pembangunan ekonomi menurut acuan atau perspektif negara kita sendiri, bukannya pembangunan dalam erti kata globalisme, yang memberi ruang seluas-luasnya pada unsur luaran tanpa batasan dengan mencedok sehabis-habisnya program dari negara barat. Sememangnya ASTRO persetujui dengan etika permainan dengan menggunakan teknologi SMS kepada penonton khalayaknya. Risiko ini juga perlu diguna pakai oleh organisasi ASTRO apabila terikat oleh sebab sistem yang ditetapkan adalah dominan, akhirnya kita terpaksa pasrah dan menerima sahaja dan mewarnai keadaan perniagaan ini. Seringkali pihak pengurusan syarikat saya menyatakan kenapa kita terlalu obses dengan sesuatu sistem? Manusia pembuat sistem, manusia juga merubahkannya? Persoalannya beranikah mereka? Takutkah kita?

Perniagaan termasuk antara ilmu yang cukup tua. Perjalanan sejarah umat manusia hingga kini masih banyak diselimuti pelbagai fakta tentang kegagalan ilmu perniagaan, terutama dalam mengatasi kemiskinan, kelaparan, penindasan dan kesenjangan dan tiada lagi sifat kemanusiaan hanya keuntungan. On Ethics and Economics, Dr. Amartya Sen, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1998, pengkritik ilmu perniagaan dan ekonomi;

"Ilmu ekonomi moden yang dinilainya gagal menjawab cabaran kemanusiaan. ilmu ekonomi selama ini cenderung berorientasikan perkembangan pasaran bebas, tanpa memperhatikan proses pembangunan ekonomi yang telah merampas hak asasi manusia."

Kritik epistemologis diatas, mengaitkan subjek ilmu ekonomi dengan tujuan manusia. ASTRO seharusnya mengidentifikasikan rasionalisme dengan memaksimumkan kepentingan diri dan keuntungan. Hal ini disebabkan adanya asumsi bahawa perilaku rasional dalam aktiviti ekonomi akan membuat pendekatan etika secara diam-diam dibuang jauh. Seperti etika anda kepada sifat keprihatinan kepada 20 pelajar yang telah dipilih pada awalnya. Mencari mereka keperuk pelusuk negara, bertemu keluarga dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja ibu bapa, nenek dan janji-janji harapan kepada anak dan cucu mereka iaitu para pelajar. Dan meletakkan pelaajr yang gagal dibelakang tabir. Kenapa sedemikian rupa jadinya? Dimana relevannya cara sedemikian? Begitu senang memperkotak katikkan-bingkai kemanusiaan? Dan pendekatan ini juga yang digunakan 10 tahun lagi. Tentu saja mengundang kejelekan bukan?

Tahniah juga pendekatan ASTRO kerana menjadi contoh sesetengah organisasi yang menjadikan organisasi ini sabagai study kes mereka. Saya tidak menggunakan ASTRO sebagai kajian kes yang menyeluruh dan juga tidak dalam strategi pemasaran syarikat saya. Kerana produksi ASTRO ternyata berbeza produk dan intipatinya. Tetapi tanggungjawab Corporate Social Investment kita tetap sama iaitu kepada keprihatinan kepada masyarakat. Iaitu organisasi sebagai transaksi normal di pasaran secara lansung dan telus dapat memberikan manfaat kepada semua pihak. Adakah ini gaya keprihatanan yang ditunjukkan oleh ASTRO kepada golongan keluarga para pelajar terbabit dengan perjanjian yang ditandatangani. Begitu juga Channel @15 yang rata-rata remaja yang masih cetek dengan isu-isu sensitif ini. Adakah ASTRO hanya membiarkan perkara ini berlaku?

Saya tidak mengatakan ASTRO tiada lansung atau hilang kewajaran sifat keprihatinan dalam hal sedemikian, barangkali saya tidak lupa dengan menyatukan MAS dan anak-anaknya, sehingga banjir segenap isi rumah penonton. Ini bukan jalan untuk menutup isu-isu ketidakwajaran dalam Akademi Fantasia tahun ini, begitu juga dengan pelajar-pelajar lainnya. Dalam hal ini, ASTRO adalah pengeluar atau produser budaya citra juga merupakan produser ideologi dan sekaligus pendefinisi kenyataan. Melalui kemenangan inilah; ASTRO pemodal, Hotlink pengiklan dan SMS, dan bintang Akademi Fantasia produk telah mendoktrin ideal kecantikan, norma keindahan tubuh menerusi tanda para pelajar, televisyen, iklan Hotlink dan juga barangan. Tidak hairan juga program gaya hidup Akademi Fantasia sudah menjadi pakej komersial. Praktik sosial yang tidak melandasi serta bentuk kekuasaan yang beroperasi di sebalik sesebuah objek estetika (pelajar).

Trend Akademi Fantasia ini memang menarik tetapi bukan kerana potensi pelajarnya, tetapi lebih kerana daya tarikan dunia pasaran yang amat bijak diterokai oleh pemodal atau kapitalis. Mengingatkan jumlah golongan remaja yang besar maka semua produk budaya massa yang ada akan mereka habiskan bersamaan dengan gaya hidup nikmat dan bertambahnya waktu luang (leisure time) mereka. Fenomena Akademi Fantasia dengan diari mereka dan lebih menarik untuk ditonton dan dipertontonkan, seperti kisah-kasih atau percintaan dan sukses mereka yang sering menjadi latar dan setting cerita. Sukses dalam dunia seni hiburan dan potensi mereka dianggap sebagai sesuatu yang segera.

Merepresentasikan para pelajar Akademi Fantasia dengan segala macam gaya mereka menimbulkan retorika citra (rhetoric of the image) dan akhirnya hanya melahirkan "mitologi" masyarakat konsumer SMS di mana mimpi-mimpi masyarakat disalurkan konsumsi. Dan tidak lagi diertikan semata-mata sebagai suatu lalu lintas kebudayaan seni hiburan semata. Akademi Fantasia menjadi sebuah panggung sosial, yang di dalamnya makna sosial diperebutkan atau diidamkan golongan remaja dan yang di dalamnya terjadi perang kedudukan antara pelajar dan anggota masyarakat yang terlibat. Sebenarnya apa yang ingin saya nyatakan bukannya membunuh ASTRO tetapi sebagai bahan ilmu ekonomi diajak kembali kepada persoalan komitmen sebenarnya, iaitu memberi harapan bagi semua orang untuk dapat hidup dengan lebih baik, adil dan layak serta tidak terjebak dengan kerakusan dan penindasan. Peranan bidang-bidang seni dan perniagaan seni hiburan itu dengan situasi kehilangan imbangan, hilang koherensi dan ketidakpastian. Misalnya, menyoal kesannya terhadap kesedaran minda dan nilai kemanusiaan yang semakin terancam. Akhirnya, kita perlu mula mencari jalan keluar agar justifikasi keberadaan kita dalam dunia seni berakhir sebagai suatu kerja yang bermanfaat. Kita perlu menyumbang terhadap pembangunan kemanusiaan berlandaskan pengetahuan seni dan bertolak balik kepada sifat dan etika perniagaan dan kemanusiaan itu sendiri.

MEDIA

Seorang pakar komunikasi massa, Rosalynd Williams dalam bukunya, Dream Worlds o f Consumption (1991) telah menjelaskan; "Bahawa salah satu penyebab porak-peranda kehidupan manusia dewasa ini adalah dominasi budaya konsumsi atau konsumerisme yang bersifat hedonisme yang "menyerang" manusia secara halus. Kesukaan manusia moden untuk membeli atau mengkonsumsi barang komoditi secar online atau SMS telah mencapai titik ekstrem. Ketika ambang batas keperluan dan logika kepuasan telah "dihantui" oleh kegilaan untuk tools mengkonsumsi, maka manusia moden itu telah sampai ke tahap immaterial consumption, iaitu sebuah konsumsi terhadap kesan, citra atau simbol yang membentuk realiti ke dalam mimpi."

Dalam hal ini mahu tidak mahu seni hiburan sebati dengan fungsi media massa. Penghebahan seni hiburan kepada masyarakat masih banyak bergantung kepada jentera-jentera media yang secara lumrahnya membuat laporan-laporan serta interpretasi seni hiburan yang cetek dan melalaikan. Kebanyakkan berbau gossip yang disengajakan dan propaganda kepada peminat fanatik supaya mereka disukai. Pada saya perlunya media berfikir mengenai keseimbangan dan ketelusan dalam meneroka arus perubahan dalam industri hiburan. Sebagai generasi pelapis yang bergerak atas pemikiran kritikal seni, menganjurkan wacana-wacana dalam penulisan mereka untuk membantu menganjakkan reformasi pemikiran, andaian dan persepsi masyarakat terhadap bidang seni hiburan itu sendiri dan Akademi Fantasia. Dan konsep media ini boleh dilestarikan melalui wadah penerbitan atau jaringan-jaringan alternatif yang lebih bebas dan jujur dalam penulisan mereka. Tidak ada dominasi dan dikriminasi kepada sesetangah pelajar yang diminati dan pelajar adalah sang subjek selalu berasa tidak puas dengan hasil ciptaannya sendiri kerana dia selalu dibandingkan dengan cara hidup hedonis yang sering dipaparkan dalam media massa.

Di sini berpandangan media yang direpresentasi kekuasaan, khususnya dalam menguasai remaja dan masyarakat. Penonton adalah dimuati dengan makna yang digunakan untuk dalam hubungan media ini, pelajar adalah kuasa objek sebagai alat dalam proses pertandaan dan komunikasi sosial kepada penonton dan khalayak media. Satu-satunya rujukan daripada tanda yang ada ialah massa, dan massa ini merupakan "majoriti yang bersorak" yang bagaikan sebuah layar lebar majalah, suratkhabar, dan jaringan wakalah menempatkan dirinya sebagai tempat mengalirnya informasi, produk, gaya remaja. Massa ini menyerap setiap informasi, tanda, pesan dan norma tetapi tidak pernah merefleksikannya kerana pihak media tidak perlu merefleksikan tanda, pesan dan makna kerana mereka sendiri terperangkap dalam situasi skizofrenia, iaitu suatu keadaan terlalu banyak tanda, terlalu banyak pesan, terlalu banyak informasi dan terlalu banyak gaya hiburan. Tanda, pesan dan makna atau gaya yang diambil daripada pelbagai sumber mitologi, ideologi dan kebudayaan masa lalu yang kesemuanya tercabut daripada nilai realiti sosial yang nyata dan masyarakat kita sudah bercampur aduk, berinteraksi, saling silang-menyilang dan saling tumpang-tindih membentuk jaringan media yang tiada haluan.

Dalam kata lain, media ialah konsumer yang transperansi yang menyerap nilai keterpesonaan (fascination) yang mementingkan nilai luhur yang memang sudah tercabut daripada realiti sosial yang nyata iaitu dengan kedangkalan citraan dan tontonan media semata. Masing-masing juga punya agenda dan adeologi tersendiri. Jangan menafikanya!

PENGKRITIK

Sepanjang sejarah kemanusiaan sekarang ini kita menerima dan mengetahui banyak asasi tentang remaja disaring orang dewasa. Dewasa ini kita berada dalam era riuh-rendah kritikan sinis dan tajam pengkritik hiburan dan orang seni tanahair. Mereka sibuk merencanakan agar pelajar-pelajar tersebut akan menjadi terbaik kelak. Saya melihat pengkritik dibawah organisasi kerana pemilihan dibuat dibawah pengurusan ASTRO. Melihat perkembangan pengkritik yang telus dan sekaligus cemas dengan semua rencana yang diutarakan saya menggabungkan olahan-olahan Adelin, Syafinaz, dan ramai lagi pengkritik para pelajar menyebabkan kritikan mereka kearah situasi seperti berada di sebuah blender yang sedang membuat jus aneka. Sayangnya jus itu tidak cukup perisanya, pengkritik jarang cenderung sebenarnya ingin mengungkapkan bahawa para pelajar secara alamiah dengan nilai kesopanan yang pada hemat penulis tiada dan tidak ingin memberi motivasi kepada mereka. ASTRO menyarankan mereka berkata apa sahaja? untuk mencipta kontroversi. Barangkali!

Akademi Fantasia dibangunkan sebagai sebuah sekolah seni, matlamatnya ialah mengajar, diajar dan belajar oleh penghuninya dalam tuntutan menuntut ilmu. Tetapi ingin saya nyatakan disini, apabila proses pembelanjaran itu berjalan proses pembelanjaran tercabang tiga; iaitu tahap asas, pertengahan dan tahap lanjutan. Begitu juga kita belajar di Universiti atau kolej, peruntukkan pengajaran telah diberikan. Jadi perlukah para pelajar yang tinggal hanya 3 bulan di Akademi memperolehi sama taranya 3 tahun diuniversiti. Bolehkah mereka menjadi terbaik selama 3 bulan jangkamasanya. Sesetengah pengkritik begitu kasar mempertahankan idiom masing-masing. Dengan andaian mereka lebih hebat itu bahasa rugged mereka, kau perlu belajar lagi? Bukankah mereka dalam proses pembelanjaran asas sahaja. Apa relevannya perkataan itu? Atau ingin mencabar pelajar-pelajar terbabit yang masih hijau dan ibarat bunga seri pagi kembang harum baunya?

Tentu para pengkritik terlupa bahawa ilmu belum cukup untuk menjadikan seseorang itu bijak keseluruhannya jika punya kejengkelan Emotional Intelligence yang tidak dikuasai dan memandang rendah kepada para pelajar Akademi Fantasia ini, mengangkat bakul sendiri dengan ilmu yang anda kuasai. Seharusnya kita, anda dan saya mengakui orang yang secara intelektualnya cerdas atau IQ yang tinggi bukanlah orang yang paling berjaya dalam kehidupan. Apabila seseorang profesional itu memiliki EQ tinggi ialah orang yang mampu mengatasi konflik. Hal ini menunjukkan kecerdasan emosional merupakan pendukung bagi keputusan yang baik, bukannya IQ atau kecerdasan otak semata-mata. Jelas terlihat kekurangan sifat kesombongan manusia itu ada. Seringkali kita bangga dengan straight to the point tanpa ada kepedulian dalam jiwa para pelajar terbabit. Pengkritik hanya bunga-bunga indah terselit di celah telinga ditepi kepala. Tidak pernah menolak dan menanggap saya ingin mengkritik setakat apa yang perlu dikritik?. Saya tidak mengatakan semua pengkritik cuma segelintir sahaja nampak keikhlasan dan kejujuran seperti Yasmin Ahmad. Selagi lagi ASTRO dan mempengaruhi mereka dengan menyuruh menyerang para pelajar tanpa relavannya? Dan jangan disebabkan desakan-desakan pihak yang mewartakan sehingga hilang pertimbangan dan kewajaran? Dengan bangga mereka berkata bahasa yang digunakan ialah bahasa orang seni.

Sebagai manusia kita menyelami hati supaya kreatif, fleksibel dan berwawasan kerana ia berkait langsung dengan masalah "aktual" yang sering kali menyertai psikologi kehidupan manusia. Psikologi emosi dan perasaan dianggap sebagai "jantung kepada segala-galanya" (the heart of everything). ( Anda boleh rujuk Nizam Zakaria untuk ulasan lebih lanjut)

PELAJAR AKADEMI FANTASIA DAN BUDAYA FANTASI POP

Revolusi luar biasa dalam Mentor, Malaysian Idol dan Akademi Fantasia memaksa kita untuk membuat dan menerima perubahan. Ini pelangi dunia hiburan tanahair kita yang telah mengalami anjakan paradigma dalam menawarkan peranannya yang semakin yang bersesuaian dengan pembinaan dan perkembangan potensi pelajar dari segi intelek di samping menyediakan persekitaran yang sesuai untuk merangsang perkembangan diri pelajar. Akademi Fantasia adalah institusi sekolah seni hiburan. Sebuah institusi suatu ideologi yang dipaksakan. Di sini kita memanusiakan manusia, sebaliknya mengelaskan pelajar sebagai berjaya dan tidak berjaya menurut kitaran industri hiburan. Para pelajar dan golongan remaja inilah yang menjadi mangsa dasar dan yang sentiasa berubah-rubah, seperti bahan yang boleh diuji kaji dan akhirnya memperkayakan pengeluarnya kerana pesona sistem ini.

Akademi Fantasia punya pengaruh kuat golongan remaja yang cenderung kepada hiburan. Dapat dikatakan bahawa menjadi pelajar Akademi Fantasia inilah yang menjadi simbol prestij dalam sistem stratifikasi sosial remaja. Dalam perkembangan Akademi Fantasia sbagai kebudayaan popular selanjutnya, kelompok pelajarlah yang sering menjadi mangsanya; yang memang terkenal dengan segala macam kompleksiti permasalahannya. Pelajar dalam kebudayaan popular dapat ditemukan dalam pelbagai cerita yang menjadikan remaja sebagai hero dan heroinnya. Keremajaan memang menarik tetapi yang utama sebenarnya bukan unsur yang terkandung dalam keremajaan itu, melainkan potensi golongan pelajar. Menjadikan diri mereka sebagai pelaku atau masalah mereka sebagai fokus, dengan sendirinya akan melariskan pemasaran suatu produk kebudayaan popular.

Pada pandangan beberapa remaja dan adik saya sendiri. Mereka sering berkata jika mereka didalam sana juga ingin menjadi diri sendiri. Tetapi saya katakan itu betul tidak salah. Tetapi ingat anda masuk kedalam Akademi Fantasia untuk menarik pengundi untuk suka dengan anda! seperti terjadi kepada MAWI-World, jangan terlebih bawa diri sudahlah! semua sudah maklum formatnya, pandai-pandailah bawa diri. Faktor keikhlasan dan kejujuran sememangnya terlukis didalam setiap emosi pelajar Akademi Fantasia ini. Latarbelakang mereka berbeza-beza, tujuan utama sebelum ini adalah mencari rezeki dan sumber wang adalah faktor utama sebelum ini. Kehidupan keperitan pengorbanan keluarga dan masa lalu mematangkan kehidupan dan penggerak kepada golongan remaja dan para pelajar ini, dengan cara yang bersesuaian dan tidak berlebih-lebihan. Mereka mengetahui apa yang mereka rasakan. Jadi platform ini adalah penggerak kepada sumber penerusan mata pencarian mereka juga. Supaya merubah taraf kehidupan yang lebih selesa. Apa yang penting, hubungan mereka dengan perasaan memotivasi dan mengaktifkan kehidupan mereka. Hubungan ini mendekatkan mereka dengan diri orang lain walaupun mereka berasa tekanan dan menderita. Sumbangan besar pengajar ialah mengajar memahami cara memahami dan menghargai perasaan sesama sebagai anggota keluarga dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran nanti.

Dalam konteks menuntut ilmu yang manafaat kepada sesebuah institusi pendidikan dalam jangka masa pendek melahirkan pelajar yang terasing daripada realitinya sendiri dan realiti dunia luarnya. Dalam konteks pendidikan, khususnya di sekolah, kaedah pengajaran dan pembelajaran turut menerima sentuhan bahang tersebut. Untungnya mereka kerana ada guru dan pengajar yang memfokus perkembangan aspek seni setiap pelajar. Pengajar juga perlu peka terhadap orientasi mereka dengan pendidikan yang diberikan kepada pelajar bukan menjadi alat untuk kekuasaan dan mencapai mimpi-mimpi mereka atau sekadar memperkayakan pengeluarnya dan akhirnya tidak ada ruang untuk mereka mengenali potensi kekuatan atas yang ada dalam diri mereka dan mengenali bakat dan kreativiti mereka. Malangnya pelajar terikat dengan sistem Akademi Fantasia melalui mekanisme sistem yang ditetapkan untuk memenuhi objektif yang dirangka oleh sesuatu sistem diguna pakai oleh ASTRO. Kemana mereka selepas kegagalan meletakkan diri mereka apabila suatu hari nanti dilupakan?

Anda semua diingatkan, harus kita semua sedari dan membangunkan kembali asahan minda supaya pembelajaran kepada para pelajar ini dengan tidak dihegemoni dan didominasikan oleh pihak pengeluar semata. Ini boleh membawa pelajar dan masyarakat kepada situasi beku dan kemiskinan kelahiran pengiat seni hiburan yang kreativiti penghibur tetapi penuh dengan kelahiran bintang-bintang yang tiada nilai dan tapi penuh kejutan dan pesona dan mudah menjadi alat ekspoitasi perniagaan bagi kepentingan pemilik organisasi. Kita semua telah melihat ini berlaku! Jangan menafikannya.

Kaitan terbaik untuk melihat hubungannya dengan pop budaya telah membuktikan Madonna ialah idola yang berhasil menjadikan dirinya sebagai material girl yang mengkonsumsi makna kehidupan melalui kemewahan hidup yang palsu, sehingga kehidupan leluhur semakin hilang dimensinya. Pemujaan terhadap Britney Spears dan ramai golongan barat sebagai ikon pop dan ikon of glamour, membuktikan betapa berkuasanya ikon pop seperti Madonna dan Britney Spears dalam merumuskan gerak geri kebudayaan popular yang dikomoditikan sehingga dirinya menjadi "produser budaya" yang mempesona dan melariskan jualan produk dengan memaksimumkan semua potensi yang dimilikinya, iaitu tubuh, suara, kecantikan dan kecerdasan. Benarlah ini, "As massive as mass culture, Madonna's fame has proliferated her signs throughout society. " Lebih hebat lagi, mereka ialah ikon yang diperniagakan. Pengiklanan yang canggih, industri hiburan, window display, seluar Jean Levy Strauss, Guess atau syampu Sunsilk mahupun minyak wangi Estee Lauder yang mana semuanya itu memberi makna sosial kepada gaya hidup popular yang mewah dan trendy. Kekuasaan itu sebenarnya adalah kekuasaan yang langsung menyentuh tubuh, kulit, rambut, dan sebagainya dalam kehirupan kita. Semuanya itu menawarkan kesenangan, kegembiraan dan kemudahan, suatu rupa bentuk kekuasaan yang memungkinkan setiap individu untuk menentukan kedudukkan statusnya dalam wacana yang ditawarkan oleh kapitalisme, yang bersifat plural, mengalir, berubah dan menyenangkan. Kebanyakkan pengiat seni ramai sudah menerima tamparan kehebatan tanda makhluk libido Madonna dan Britney Spears ini. ANDA LIHAT RAMAI BUKAN!

Perlukah kita mewarnakan seorang pengiat seni menjadi idola para remaja seperti itu. Salahkah kita mengangkat pengiat seni dan hiburan seperti Siti Nurhaliza dan MAWI-World atau lainnya sebagai idola remaja (hanya sebagai contoh) tetapi tidak menjadi seperti Madonna dan Britney Spears sebagai simbol libidonya? Sempitkah pemikiran kita atau makin mengecilkah industri seni sendiri dengan fakta-fakta ini.

Sehinggakan Siti Nuhaliza itu menjadi kajian selidik pihak akademik intitusi pengajian tinggi USM. Tidak layakkah mereka? Saya melihat satu wacana forum di sebuah saluran media dengan begitu bangga memperkatakan remaja kita seharusnya menjadikan pemimpin idola mereka dan bukan para pelajar AF ataupun seorang artis? Tidak bolehkah sedemikian? Jika kena kewajaran dan landasan penggiat seni hiburan itu menjadi idola tiada salahnya. Jika pemimpin yang memandu tidak dilandasannya dan masih tunding-menunding antara satu sama lain, dan tidak pernah merasa susah perih bersama masyarakat, apa kejadahnya golongan sedemikian diangkat sebagai idola? Saya tidak menidakkan golongan pemimpin malah saya juga kagum dengan beberapa orang pemimpin negara.

Tetapi sogokan sesetengah golongan ini meminta penglibatan kerajaan memantau kembali dan menyekat kepesatan saluran ini sebagai wadah remaja. Umpama Akademi Fantasia atau yang lainnya(Malaysian Idol dan Mentor) yang mungkin menyusahkan hidup mereka dan barangkali penyebab kepada keruntuhan moral dan yang penting kepada golongan politik yang dipimpin apabila terbangnya kerusi-kerusi mereka jika agenda mereka tidak berjaya. Lahirnya saluran remaja ini menyebabkan kelalaian mereka dengan fantasi-fantasi idaman remaja. Katanya, memalingkan remaja pandangan ke wajah industri hiburan dan program realiti ini sendiri adalah acara yang digemari oleh remaja, disimpulkan dalam ungkapan bernada sinis tetapi benar realitinya bahawa: "mereka hanya menjual mimpi". Akhirnya "menjual mimpi" menjadi projek raksasa dunia kapitalis yang mencitrakan kebudayaan popular ini. Remaja sebagai "simulasi", iaitu penciptaan model nyata yang tanpa asal usul atau realiti. Melalui model simulasi, remaja dijebak di dalam satu ruang, yang disedarinya sabagai nyata, meskipun sesungguhnya "semu" atau khayalan belaka. Dalam wacana simulasi, manusia sendiri mendiami satu ruang realiti. Perbezaan antara yang nyata dan fantasi atau yang benar dan palsu menjadi sangat tipis dan manusia hidup dalam suatu ruang khayalan yang nyata. Bagaimana mereka fikir sedemikian jika memansuhkan dan membuat sekatan saluran program realiti ini dan Akademi Fantasia sendiri boleh mengurangkan kadar keruntuhan moral remaja dan boleh mengurangkan kadar jenayah negara? Ataupun penagih dadah akan kembali insaf dan waras dengan sogokan kondom dan jarum injeksien yang membunuh mereka sendiri? Begitu?

Cuba kita selediki dan fahami setiap golongan lapisan masyarakat melihat bagaiamana kita membentuk simulasi remaja ini? Apakah peranan sesetengah golongan yang hanya mampu bertikam lidah tetapi berkulat dengan tindakan mereka. Seperti mencarit rambut didalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak terputus?

Namun begitu rumusan dalam penyataan saya bukan membangkitkan isu yang ingin dibangkitkan diatas tadi adalah 1/3 sahaja, sejarah tidak boleh disangkal. Terbukti kita semua adalah milik bersama. Seni, budaya, tradisi dan adat bercambah daripada satu Iingkungan yang serupa. Pertembungan budaya serta tradisi serantau yang mengambil tempat ketika penghijrahan para pedagang dan ketika penaklukan penjajah ke atas negara kita ternyata mengabsahkan lagi fakta tersebut.

Industri seni hiburan itu sampai bila-bila tidak boleh terpisah daripada kongkongan masyarakat, sama ada atas tindak balas kepada kekurangan moraliti semasa, kepada operesi ekonomi, mahupun kepada persoalan-persoalan yang mencengkam tradisi-tradisi sosial. Seni yang mewakili arena dunia dalam dua dekad yang lalu adalah seni yang lahir atas respons kepada dunia yang dipenuhi kemungkinan-kemungkinan baru, kesedaran dan kapasiti baru. Dalam pergolakan dan keinsafan untuk melahirkan identiti kita sendiri, tetapi masih dibayangi discourse atau ideologi barat - inikah yang dinamakan takdir?

Masyarakat konsumer adalah masyarakat tontonan, komoditi yang terjajah hampir seluruh kehidupan dengan segala hukumnya. Hakikatnya komoditi tidak lebih daripada ilusi, tontonan adalah menifestasinya. Adalah pasti bahawa kehidupan dalam masayarakat yang lebih adil,makmur, sejahtera dan meyalurkan keinginannya kerana naluri kemanusiaan sentiasa ingin sesuatu yang bersesuaian dengan fitrahnya bukan faktor keuntungan ekonomi sahaja. Walaupun utopia dan fantasi tiada salahnya jika sifat kemanusiaan dan kewajaran subur dalam hati naluri setiap manusia.

Tiada ulasan: