Selasa, September 13, 2005


Aku tidak sudi menjadi ratu
Hidup mencerminkan pilu
Aku bukan Mahsuri
Yang rela memandikan darah putih
Menyumpah keturunan sendiri
Aku bukan Tun Teja
Yang ditipu oleh perwira celaka


Kilauan struktur besi arca Bumi Penyatuan yang menggerudi tajam ke langit putih mengingatkan aku akan keris ikon kebadangan Melayu. Lambang falus yang menyimpul naratif keperwiraan lelaki Melayu yang dirayakan oleh segenap bicara hikayat dan sastera lisan. Penerjahannya menusuk ke persekitaran sejarahnya adalah penanda kepedulian mereka terhadap asas dan rangka patriarki.

Aku menjadi saksi kepada hubungannya dengan realiti yang sebenar.Bila saja sesebuah objek itu dibingkai, realiti objektifnya, di mana saja ianya berada, kalau sebenarnya ia wujud, sudah berubah selama-lamanya. Abstraksi atau rumusan realiti juga adalah terbebas daripada konteks langsungnya dan dengan itu mudah didekati dan ditafsiri dari sudut lain.

Ini sebuah realiti, melakar bahantara pembikinan yang paling literal, telah mengubah cara aku mengalami dunia ini. Dunia yang digambarkan, sambil menyusun kembali perhubunganku dengan fahaman estetik. Aku mengekspresikan telah berubah kepada pengalaman peribadi kepadaku kini hidup di bawah bayangan reproduksinya dan mungkin ditakdir begitu. Aku menurunkan taraf realiti kepada representasi semata, muncul di dalam kesedaranku. Misteri yang mengiringi masa, hakikat ini aku ingin merangkak masuk kedalam hutan besi, menjadi sekuntum bunga orkid liar, bayang-bayang yang dipersonafikasikan.

Sejarah ini merekah dan memisahkan cebisan dari laluan penjalan kaki di mana manusia melangkah di ruang galeri ini.Sebuah jurnal tidak lengkap kejadian. Memori kemungkinan bertemu dan membentuk teka-teki terperinci penyorak perubahan. Di sini hatiku tenang, reaksi awalku didorong emosi, suatu rasa yang tenang dan optimistik yang tidak dapat dijelaskan. Secara ringkasnya, bingkai-bingkai ini membuatkanku rasa girang dan ianya yang tidak mungkin boleh berbicara. Aku dapat merasakan setiap rintihan jiwa luhurku ini didengari oleh makhluk kaku ini. Merakam kenyataan-kenyataan emosi setiap kata-kataku, tetapi telah dikonstruksikan dan yang cenderung merujuk kepada luahan hati ini, bingkai beku dan mungkin acapkali mentafsiri diriku.

Di luar sana, banyak objek yang memuakkan dan memualkan. Boleh jadi oleh kerana aku begitu sepi dijiwai oleh kemusykilan berkaitan dengan hubunganku dengan alam, tuhan, dan manusia-manusia bertulang belakangkan konflik yang tandus. Terutamanya dalam bercanggahan dalam sifat dan intelektual manusia. Aku didorong kesini melihat bingkai-bingkai yang berpotensi untuk melegakan keletihan mataku yang sudah terlalu terdedah kepada igauan imej yang berulangan dan melumpuhkan. Setia menbuka telinga dan rela memerokai akan hasrat-hasratku yang sudah basi.

Tiba-tiba aku mendengar suara seolah-olah berkata-kata denganku dan hanya aku yang mendengarnya berkata-kata.

"Di sini,...disini..aku aku didepanmu..di depanmu". Aku kaget. Memandang dan memusingkanku kearah hadapanku. Aku terkejut dan pasti suara itu dari arah potret itu. Potret itu berkata-kata kepadaku.

"Jangan bimbang ..aku Mahsuri.Ya..Mahsuri namaku..sebuah potret yang kau kagumi." Aku terdiam. Terpana dan kaku tiba-tiba.

"Engkau seringkali kemari untuk meluahkan segala isi kekerasan hatimu disebalik kelembutan raut wajahmu..itu..ya aku mendengarnya..Cuma kau terlalu asyik berkelana bercerita tentang kehidupan realitimu yang sempit dan sering mangamit hidupmu" katanya dengan sinis.

Aku pasti hanya aku yang mendengar ucapan kata tadi. Kerana tiada orang lain di dalam galeri yang kelam ini. Bingkai itu berkata lagi;

"Aku telah merenung mata bundarmu itu setiap kali engkau kemari, ada ketabahan di hatimu. kau wanita dibungkus dirumah patung binaan lelaki- apa yang mampu ditilik dari luar cumalah simulakrum bayangan realiti hidupmu ini yang semakin kabur. Kau hidup dalam kepincangan. Kau yang mencarinya..bukan!"

"Ya..aku akui kata-katamu itu, hatiku pedih terguris kerana paradoks dunia aku sekarang berbeza denganmu. Aku tersepit dan mangsa egoisme mereka yang hipokrit. Aku belum ingin mengerti itu semua" kataku dengan tenang sambil mendekati bingkai potret yang bijak bercerekarama itu.

"Aku cuma melewati di sini untuk melihat dan melawat sejauh mana baka keturunanku. Aku terkejut dan teruja kerana gadis sepertimu masih kejap terkongkong oleh binaris kejantinaan dan meski sudah menjangkau ke zon mabuk teknologi. Di sini hidup digarisi dikotomi jantan-betina, digurisi keperkasaan dan keindahan. Di serata rangkaraya kota ini, subjek wanita sering disalahbingkai. lambang wanita dalam konteks modennya yang obses." Tajam sindirannya itu.

"Tetapi aku hanya menjalankan kewajipan kelangsungan hidup untuk tidak sesekali dirantai besi oleh anasir seksisme yang dipengaruhi dan dikawal laku oleh rasa taat kepada kehendak lelaki durjana...kerana itu aku bertindak balas dengan sifat narsis."Kataku cuba bertingkah jujur.

"Aku wanita berfikiran tipikal yang membuahkan nilai esential di bawah sedar,Ya! aku tahu kau wanita moden dan banyak dianggap sebagai mangsa keindahan diekplotasikan dan status wanita bukan lagi satu simbol vagina. Tidak seperti zamanku dahulu. Tidak lagi menyulam simbol, ikon bunga, ibu, dan air mata. Ya! Aku pasti suatu hari nanti di kota ini anak-anak gadis tidak lagi diajar bagaimana senario seorang wanita mendukung anak dan menanggung beban sebagai elegi kehilangan feminis harga dirinya" Katanya seperti omongan yang melalui realiti hidup ini. Aku terpana bagaikan luahan hati seorang wanita yang berabad kecewa. Seperti halilintar membelah bumi.

"Tapi!aku hidup dengan pelbagai ideologi momokan barat, aku diperdagangkan untuk terus bernafas di sini. Aku dididik hanya mengajar erti kemajuan sains dan propanganda teknologi yang jelek...tiada erti menjadi wanita yang sejati, semua itu kolot. Dalam usia begini muda aku menangung beban kesusahan dan mencari kehidupan yang di kota hina ini. Walaupun aku keji, menjadi wanita untuk menghiburkan anasir-anasir kegersangan untuk mengisi kocekku" kataku tegas tapi mohon pengertian yang mendalam. Aku berundur kebelakang perlahan-lahan. Menoleh kekiri. Kosong dan terkaku. Sambungku.

"Aku berjanji pada diriku, mengumpul setiap keringat untuk menyara hidupku kelak dan menyambung ilmu yang dipersiakan.Kau mungkin telah menjadi akrab dengan emosiku, persepsiku, pengalamanku dan realitiku untuk dilahirkan menjadi wanita multidimensi dalam mata masyarakat. Mereka pasti tidak akan mempersoallkan kejelekan kejadianku. Seperti juga dirimu Mahsuri. Diangkat oleh kemasyuran dengan lagenda yang dikhianati. Aku percaya nostalgia-nostalgia kelam kehilangan hidupku ini dipancarkan ke atas kesedaran hakiki."Kataku bersungguh-sungguh.

"Aku tidak mahu lagi dihimpit batu bata dan diheret dilema yang membuatku terikat dengan nilai konvensional! Wanita bersuara rendah merdu seperti merpati, diam membisu, menyembunyikan perasaan, menyerah dan menerima." tambahku lagi. Harapanku semoga dia mengerti senario yang kuhadapi.

"Di mana sifat malu yang aku kanunkan kepada keturunanku, adab ketimuran yang kugengam dahulu tidak lagi diguna pakai. Kau tidak akan dijulang mereka jika tidak memelihara maruah, kesucian dan kehormatanmu. Ini adalah batu asas perkembangan kepedulian akhlak yang aku ingin tanamkan pada sika wanita tentang reaksi kekhuatiran, mengingatkan mereka agar tidak berkelakuan sumbang dan bersifat jalang. Natijahnya jiwamu jadi lara itu adalah penzahiran yang akan diterimamu kelak."jelasnya lagi. Berkerut keningku menahan api kesabaran. Bingkai itu tanpa simpati mengeluarkan kata-kata cerca membuatkan aku terkesima seketika.

"Ahhh!aku tidak peduli itu semua. Itu semua adalah ketinggalan yang memundurkan aku" bentakku sedikit kasar.

"Sebenarnya kau gadis yang sering terkandas dengan gambaran romantis, sentimental dan eksotismu di sepanjang batas-batas yang tiada lagi terbina emosi malumu. Tidak sepertiku. Tradisi silamku begitu, menutup wajah jelita dari bermain-main di dalam mata sang lelaki. Sehinggakan aku digambarkan sebagai gadis pemalu, dara pingitan, puteri rupawan dan tidak sewenang membuka jasadku. Berbeza denganmu gadis moden yang telah ramai di'lenggeng'kan oleh manusia berhati binatang yang mengagungkan sifat dangkalmu."

Aku naik menyampah dengan acapkali aku di salah erti dan ditafsiri. Idealisasi yang mempunyai hubungan kompleks dengan realiti, hubungan yang mencerminkan kemanusiaan yang kompleks. Imej-imej potret pada kadar yang tidak pernah dialami manusia sebelum ini.

"Tidak!tidak! aku tidak di telanjangi bulat-bulat!Aku cuma dipertontonkan di cermin kaca dan masih menutup bahagian dada dan alat sulitku. Wajahku disembunyikan di sebalik rambutku. Meskipun bertelanjang aku masih mahu memelihara maluku..ya..! Aku masih punya malu itu" Aku membalas balik kata-kata nistanya. Aku mengeluh dengan keluhan hampa. Tunduk membisu memandang lantai di mana aku berdiri tadi.

"kau adalah gadis durjana! dihubungkan dengan pelakuan-pelakuan yang tidak masuk akal dan bebal, terperangkap oleh nista mereka adalah perkara memalukan bukan?" katanya lagaknya sebagai seorang hakim menjatuhkan hukuman gantung kepada pesalahnya.aku menganguk lesu. Dia mencerca lagi,lagi dan lagi. seperti hentaman batu yagn bertubi-tubi kearah tengkorak kepalaku. Aku mengumpul sekuat tenaga mengengam kedua-dua tanganku menahan darah mengelegak dan bergelojak ke kepala. Aku membalas akhirnya.

"Kerana itu aku memprotes dan mencernakan secara radikal dalam periuk nasiku yang di luar kebiasaan bidang dan tradisi wanita yang sepertiku. Aku bukan gadis mundur, hanya mengelak kemiskinan, sengsara, dan kelaparan" ujarku bersahaja menegakkan pendirian egoisme aku.

"Kau jangan begitu lancang berbicara perihal seksualitus denganku. Kau sudah melampui batas. Kau akan menerima kutukan hebat. Tampak sekali sifat kepandiran dan kesumbangan arus yang melekakan ini. Sepatutnya kau dihukum dan diletakan di tengah bingkai masyarakat patriarki. Supaya gadis sepertimu di tikam mengalirkan darah hitam, hanyir dan meloyakan. Tiada lagi darah putih lagendaku yang diagungkan dahulu." Katanya terhenti disitu, bulat mataku memandangnya.

Aku kaget. Menoleh kekiri dan kanan. Bening, apabila tiba-tiba beberapa pengunjung galeri ini melewati aku. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Suasana kembali seperti sediakala. Kedengaran suara-suara halus berbisik memandangku. Mereka barangkali janggal dengan kelakuan pelikku ini dan pasti meneka dan meneka-neka penyakit apa yang aku hadapi kini?

Aku terdiam dan tergamam merenung seketika hidupku ini pada era yang menandakan penghujung abad yang penuh dengan kekeliruan dan perubahan yang mengusarkan. Segala yang aku gunakan sukar aku berasa selesa untuk mentakrif diri, semakin berdiri di atas pentas dunia yang berubah. Ditandai oleh anjakan dari cabaran budaya moden wanita umpama boneka.

"Kau di berikan akal! Kenapa Kau rela diumpamakan patung mainan yang sudah diterapkan kod-kod tertentu, dikawalatur oleh khazanah-khazanah mitologi. Sebenarnya impian kau sendiri untuk menjadi bahan tontonan spectacle yang mengakibatkan kau dilayan sebagai objek fetishisme." Tiba-tiba suara itu menyambung lagi.Hah! Tidak habis lagi cerca nistanya. Aku mendongak memandangnya. Ada bening dan kaca-kaca kejernihan dimataku. Seperti hantu! Lagaknya, pelik dan aneh!

"Tapi aku punya pengertian pandangan kritikalmu terhadapku fahamanmu aku adalah simulasi untuk memuaskan naluri ghairah setiap lelaki. Aku terapkan di sini naluri narkisistik sebagai alat-alat yang menghiasi arena dunia simbol peneraju-peneraju kuasa dari kanta dunia yang hikporit." Kataku menjeling kearahnya. Tetap dengan fatamoganaku. Aku tidak lagi mahu simpatinya. Bagiku dia dah mati yang hanya menjadi lagenda dogengan agung. Ahhh Karut! kononnya disanjung dan dipuja para penghuni kota ini. Tidak sebenarnya. Mereka akan melupakannya kelak. Tiada kisah legenda lagi dalam tesk sejarah.

"Sudah tiba masanya! Kau perlu telek semula kehidupanmu jelek itu." Katanya jelas. Suasana sepi dan kelam tiba-tiba,tidak bernyawa. Suara itu telah hilang. Kembali seperti sedia kala. Aku termamai seketika. Melihat di sekelilingku. Aku melihat potret itu kembali mengingati antara aku dan dia seperti wujud di alam fantasi. Aku bermuhasabah diri sendiri. Mencari akal umbiku tadi.Kata-katanya terlalu kabur sehingga mengambil masa otakku berputar ligat mengkontruksinya kembali.

Dialog antara manusia yang dibangkaikan, merempuh peribadianku secara ekpres sehinggakan diriku dijejasi dan dicederai dengan tikaman dan tusukkan dijantungku. Aku adalah patung hidup dipergunakan demi menawarkan kepuasan nikmat kepada khalayakku untuk memenuhi keinginan maskulin. Penghuni kota ini sah diperdaya dengan ideologi-ideologi imejan wanita narkisistik yang hanya terus wujud di dalam teks-teks buku untuk memuaskan intaian voyeurisme lelaki, hanya menerbitkan gelojak nafsu.

Eligi perubahan yang aku harus terima. Apabila kebendaan dalam diri sendiri dijana secara hiperaktif dan menjadi tools kepada insan yang rakus, dan disokong pula sikap proaktif eskploitasi dan terlebih establish diriku oleh politik jahanam penghuni unggas dan lelabah hitam di lorong-lorong sepi. Kerangka paradigma masyarakat di kota ini yang telah berubah daripada satu ketika dahulu merasa selesa ditempurungkan dan perlahan tenggelam ke dalam langit putih mentah menerangi setiap monumen batu ini. Identiti diriku adalah kuasa untuk memastikan naratif diriku terus bercerita. Kuasa manusia hina yang tidak terkawal ini melahirkan bentuk-bentuk perempuan sepertiku yang seakan-akan tidak mempunyai peribadi yang menarik dan menggerunkan.

Walau jiwaku di kembiri, jasadku dikeji oleh ideologi-ideologi patriarki tak terperi berasaskan retorika kejadian hayatku dan alasan fisiologikal yang serong. Aku tidak mahu lagi menyorok di bawah katil, merangkak di atas jambatan dan berbaring di kelompak lumpur. Juga tidak mahu lagi mendengar tepikan suara serigala dan menutup semua lubang cahaya. Bila diriku ditawani dengan tidak terperi, aku seperti berdiri tubir cenuram yang indah tidak tercemar, - aku mengatakan kepada diri, kalau sekarang aku mati, adakah berbaloi? Satu kepercayaan penyerahan seorang gadis akhirnya.

"Aku tidak mahu mengendong beban stereotaip, terbit dari orientasi diri yang penuh prasangka"

Aku termasuk manusia, tertakluk kepada pola-pola aturan. Struktur-struktur yang dihasilkan. Ini yang berkaitan dalam benakku tafsiran kesementaraan kehidupan.

Aku mengatur langkah pergi. Keluar dari ruang ini dan membiarkan bingkai besi itu terus kaku di situ..biarkan dia terus bangga dengan darah putih di setiap inci saluran darahnya. Ditinggalkan hanya lipatan sebuah legenda dan eligi yang kegeringan.

Tiada ulasan: