Selasa, September 27, 2005

UNTUK SEORANG PENGARANG

Kenangan datang seperti dakapan dari punggung lelah ingatan. Menyeret tanpa belas kepada aku yang terapung. Bukan melayang namun terapung ringan perlahan-lahan. Tipis dan tenggelam dan perahu kertas yang karam akan basah ingatan. Demikian rembesan udara dengan serpihan kenangan, sebuah jabat tangan di bawah lengkung redup yang rawan hembusan. Menjelangnya hujan yang gerah. Berdirilah menemani kibarmu ketika kudengar batukmu memecah genggam jabat itu. Aku namakan sudut itu sebagai nama warna yang leleh cair di kulitmu terjatuh dari lengkung langit hari itu.

Jemarimu kembali dalam ke catatan-catatan panjang yang kau langkarkan dibawah rona cahaya. Aku memilih untuk melongok ke dalam bisumu menyapa catatanmu yang pemurah hati memapar rajah-rajah tubuh lekukmu.

Tahukah kamu ada seribu sembilan ratus tujuh puluh delapan warna langit yang pernah kucatatkan? aku mengenali warna yang sama berulang dalam komposisi yang berbeza. Demikian tuturmu seraya berulang pada langkah-langkah cahaya terbias dan berganti rupa di atap kita. Kau mencatat semua warna. mengkatalogkan rona cahaya langit. Setiap hari yang tidak pernah dalam rona yang sama. Itulah pekerjaanmu. Mencatat nama ratusan merah atau ratusan jenis warna nila menghambur ketika senja berterbangan bersama gulingan angin syurga. Syurga serpihan warna yang kau tawan di serap cerap serat kertas germesik bukumu.

kau duduk setiap hari, di lutut kemegahan pagi, merentasi tugu diantara satu warna beralih kepada kepudaran dan kelahiran warna lain. Yang aku namai dengan setia di lembar catatan-catatan yang bertimbunan. Punggungku telah lupa akan ketegakan, kerana bertahun aku hanya duduk dan mencatat pelbagai warna akibat. Kadangkala aku mendongak hanya menatap lurus pada halaman catatanmu, dan menunggu warna dari cahaya yang jatuh disitu mewarnai kertasmu dan di bawah bayangnya aku tuliskan nama untuk warna itu.

Aku mengingat rona langit yang jatuh tercermin di danau matamu sesekali redup ditikam terik. tenggelam segala detik, serabut mengakar kata dan rasa demi jeda riak gulana. Aku tetiba di pesisiran dirimu untuk menemui catatan perjalanan warna warna itu. Tetapi yang terlukis adalah anak-anakmu yang aku kandung bertahun di lengkung atap-atapmu. Tempat kita bertemu. tempat tapungan hujan menatah sebutir embun di rumputan padang, membulirkan selimut terbentang yang minitis dari kedipan matamu. Nyalaan berwarna di langitmu yang megah dalam cahaya telah dalam padamnya. Megah dalam keindahannya. Keindahan yang rapuh.

Tetapi aku teruja kerana kali ini kau akan gugur bersama sepuh terakhir yang pudar ketika berlenggu malam menggerimis hingga genap gelapan malam. Aku meneropong dalam kediaman ini di sisimu, mengumpulkan serpih catatanmu yang sesekali dicuri angin terbang dan menghambur selembut sutera salju. Menghancur hati ketika seraknya berlalu pergi. Kau menjabat tanganku hari itu untuk bersaksi bahawa langitku telah menjadi matahari. Berkelana di liang- liang susukku, menaruh sumbu membara rawan. Melepuhkan aku perih, tanpa daya selalu kembali ke sudut itu. Mencintai serpihan warna yang masih membuah nama demi nama ketika dirimu berlalu. Anak-anak ini yang kau angkat dari lumpur cahaya di langit hatimu.

Aku letih kerana pemergianmu. Letih mengenali jejak peninggalanmu diantara risalah kertas catatan-catatanmu. Tidakku sanggup menanggung diri dari jerat tinta wangian pigmen yang mengering menjadi nama-nama di dalam sumbu benakmu. Bermakna segala di lengkung langit atap kita bertemu, yang sesak oleh rona gading dan bias sekelabu menahan sederas rindu dan buraian hujan. Sementara sudut ingatan sejenak antara kita, bercinta diantara nama-nama cahaya, aku pun mendermaga dalam satu nama. Hampa.

Tiada ulasan: