Ahad, Oktober 23, 2005

MONALISA

Patung itu aku dapat dari etalase plaza kini menjadi bongkahan patung di kamarku. Bibirnya bergerak dengan leher yang jinjang. Baunya kini bau manusia, bukan lagi bau boneka fiberglass yang selalu kucium dari barang-barang baru. Ada roh masa lalu yang tertiup hingga ke pucuk dalam dadanya, di jantung dan paru-paru. Aku bukan doctor tetapi bagaimana aku ingin menafsir keindahan tubuh pualam wanita ini! Apalagi aku lelaki segar, masak dengan golojak ghairah menyaksikan gerak sensualnya?

Mulanya aku masih pemalu, sejak awal hanya bibir saja yang kunikmati. Kerana dirinya dahulu sebagai patung boneka, anehnya si Monalisa. Sumpah, aku sangat hairan sekali dengan bentuk patung ini dengan kelenturannya!

Sisa badannya kusimpan dan diletakkan di balik almariku, aku kuatir pembantuku melihatnya. Setiap malam, wanita ini menemaniku dengan seruling dengan nada G major, dibawah kepala rembulan yang pucat dan berdarah. Cinta pertama yang musnah, kini terhibur oleh rengekan si Monalisa. Oh selamat tinggal nostalgia! Berkembang biak dan menjalarlah cinta di pucuk-pucuk dada.

Bersama dengannya aku telusuri malam, setelah kupasang siapkan patung ukiran si Monalisa ini pada tubuhnya. Aku dan dia pun menjadi kunang-kunang di malam yang pekat. Bajuku warna violet tua, dan dia kusiapka dengan gaun yang merah menyala. Monalisa berlari, tidak hanya berlari satu langkah, tapi meloncat seperti pegas walau kakinya bersepatu tinggi. Aneh, tapi buat apa terfikir, menambah sensasi ghairahku semakin bergelojak?

"Mona, hati-hati. Nanti lompatanmu tambah tinggi, nanti kau akan pergi ke bulan. Kalau kau pergi, bagaimana lagi aku merubah boneka menjadi wanita!"

"Tenanglah, sayang. Bulan pemalu, bulan tidak seperti wanita, aku pasti tidak kesana," katanya.

Sekalipun kulihat loncatannya semakin tinggi. Hotel lewat sudah, gedung-gedung pencakar langit diibandingkan lompatan ketinggiannya, mataku aku silau.

"Monalisa, berhentilah. Aku rindu dirimu!"

Tapi Monalisa bukan seorang didunia ini. Loncatan wanita seperti Monalisa muncul dari gedung-gedung kota lain. Seperti belalang lengkap dengan paha dan buah dada, mereka terbang melayang dari satu gedung ke gedung lain. Pengemis sebelahku bersorak kegirangan, tangannya mengapai sambil meneracau "Haaaaa aku haus wanita, aku ingin bercinta."

"Hai kau bolehlah menikmati siapa saja. Wanita begitu akan membongkar kejantananmu. Tapi tidak Monalisa, sebab Monalisa hanya untukku."

Tetapi pengemis itu telah mengejar wanita-wanita bersama tukang sapu, pejabat daerah, pegawai plaza, guru, dan semua lelaki yang sempat tertangkap oleh mataku. Kenderaan berhenti dan pesawat terbang pulang ke terminalnya, saat berhenti ke sarangnya, para pilot mengejar para wanita sepertinya yang ramai merat-rata dimalam ini.

"Monalisaku, kemana dirimu. Jangan pergi, aku tak ingin dimadu. Pulanglah, setelah kau puas malam ini. Akan kubersihkan dulu rumahku, kusiapkan susu telor dan madu. Akan kupijat dirimu, agar tak ada lelaki dan rembulan yang merampasmu!"

Sepanjang lorong malam, kucari Monalisa yang tidak kembali. Seakan asap, tubuhnya mengepul dan hilang entah kemana. Satu-satu kaum wanita yang berhasil ditangkap oleh para lelaki jalang. Apa aku juga termasuk lelaki jalang? Tidak, buktinya hingga sekarang aku tidak dapat Monalisaku? Di kamarku tidak pernah kujamah dirinya! Bahkan, sampai menjelang larut malam, yang digoda oleh para wanita.

Ada lelaki menarik seorang perempuan malam itu, Tetapi dia bukan Monalisa, kerana rambutnya keriting dan aku tidak pernah mengenali wanita berambut keriting itu. Di depan beranda sebuah rumah di tepi lorong rumahku, terlihat kepala wanita bercumbu dengan lelaki. Hanya kepalanya saja. Tidak ada kaki dan tubuhnya. Wah, rupanya semua orang sibuk mempermainkan patung boneka seperti Monalisa!

Mungkin mereka itu wanita yang wangi diwaktu malam hari, barangkali dia tidak seperti Monalisa patung keluaran boutique terkenal. Dimana wanitaku, akh dimana dia? Kususuri jalanan dan tugu kota. Cuma terdengar anjing, kucing berkejaran jantan dan betina, pasangan manusia yang asyik bercinta, di bawah pemandangan bulan yang kuning matang di atas langit.

"Monalisa, kemanakah dirimu, andai pun engkau yang sedang terduduk di bulan itu, turunlah. Andai pun itu dirimu yang bercumbu pada sebuah jalanan, kembalilah. Biar kutahu siapa dirimu!"

Gerimis berhamburan seperti rombongan tikus yang berpesta ria menikmati sisa malam. Langkahku longlai menyembunyikan kejantanan muda yang sedang membara. Serupa cowboy di bawah rembulan dan bayang-bayang didepan badan, kususuri jalanan dengan langkah kepastian.

Semasa perjalanan di sepanjang malam dikota ini, tiba-tiba muncul seorang wanita. Wajahnya tirus, pucat lesi, ada lekuk senja di wajahnya. "Mari ikut aku," katanya. Lalu dia masuk ke sebuah pondok usang.

Ternyata Monalisa telah tertidur lelap. Tubuhnya di atas katil dan kepala terbenam di bawah bantal, bibirnya pucat lesi. Aku haus, dalam geletar kenangan cinta pertama!

"Sudahkah kau menjadi lelaki? Pernahkah kau bercinta dengan sebenarnya?" ujar Monalisa dengan tatapan mata penuh rahsia. Saat kutatap dirinya baru kusedari dia sudah sebaya wajah nenekku, ibuku, wanita-wanita dewasa dan wanita yang matang pengalaman dan melangkah tenang menghadapi cinta yang kerap terluka dan patah.

"Aku ada kisah cinta pertama"

"Aku bertanya soalan kepadamu. Bukan rasa, tapi raga? kisah cintaku adalah suci. Leonardo adalah abadi. Ya! Kekasihku telah pergi mungkin tidak kau pernah temui. Tetapi cintanya padaku adalah sejati. Mencatankan figuraku untuk tatapan manusia di dunia bahawa akulah wanita yang dia kasihi. Kau dan mereka terlalu memujaku. Disegenap pelusuk dunia mengenali keindahanku daripada tangan kudus kekasihku Da Vinci. Tahukah mereka Leonardo adalah pemuja Andrea del Verrocchio yang tidak pernah mengajarnya untuk bermain cinta. Tetapi dia menemuiku ini dan bebas bercanda di Florence. Aku juga bangga kerana dia tokoh "lelaki Renaissanse" dan sejagatnya pintar. Leonardo termashyur kerana aku.Aku terperangkap! Aku telah lama diasuh untuk merendah bahasa dan menyurung rasa. Seantario dunia akui kecantikan bukan satu dosa."

"Apa maksudmu?"

"Dengar jejaka aku ingin kembali ketempat asalku dan menemui sahabatku. Aku ingin meninggalkan sebuah kata untuk kau takluki hatiku. Kau akan mengingati saat romantis kita"

"Aku hidup di bawah petanda bumi dan langit. Langit adalah perasaan yang menerusinya kami hidup, semuanya bermakna di situ dan lingkaran ufuk yang luas serta beberapa benda penting yang saja menegak di depan langit." Katanya penuh kehalusan bicara.

"Aku masih teruja disaat kematian sahabatku Paula. Aku bersamanya ketika aku di bawa melawatinya Worpswede pada tahun suram itu dan tinggal di sebuah perkampungan berhampiran. Dia memberi fahaman yang lebih dalam Worpswede mengenai suasana dan hasratnya disitu. Aku masih ingat kata-kata terakhir sahabatku yang terlalu mencintai Van Gogh. Dahulu aku dan dia hidup bersama penduduknya yang ada hanya satu wajah. Wajah Paula yang kerja teruk dan keras. Hatinya terbenam berat dalam tubuh dan tak berupaya dibuka. Akhirnya demikianlah terbentang kebingungan bumi di sini kepada pemuda-pemuda di sana, penoda dan pendosa. Aku telah datang untuk mencari diri sendiri. Pepohon birch, teratak-teratak mur, padang rumput, manusia, malam, siang yang sentiasa yang akan diminati oleh mereka. Mana datangnya cahaya bukanlah satu cerita lagi. Yang aneh sekali menemui Paula yang berterus terang, tanpa segan silu, benda yang tipikal kepada daerah itu tetapi sesuatu yang tidak siapa akan boleh melihat atau menconteng di kanvas hidupnya dan aku. Dan dalam keistimewaan dirinya Paula dengan rela mendekati jalan yang akan dilalui oleh kekasihnya Van Gogh. Pergi selamanya.

Lalu aku menulis doa untuk sahabatku Paula selepas kematiannya;

Ini yang kau fahami: buah yang ranum
Kau letakkan dalam mangkuk di depan kau
Dan kau timbang beratnya dalam warna
Seperti buah itu, kau lihat wanita-wanita
Dan kanak-kanak, didorong dari dalam
Dalam bentuk-bentuk kehidupan mereka
Dan akhirnya kau lihat diri bagaikan buah itu
Mengeluarkan diri dari pakaian kau, meletakkan
Diri di depan cermin, membiar dimasuki
Terbuka kepada renungan kau; ianya terus tegas dan
Tidak terkata: itu adalah aku; bukan, ini adalah aku
Begitu tidak ingin tahu renungan kau
Dan begitu tiada rasa pemilikan, akan papa-kedanaanya
Sehingga ianya tiada lagi mengingini diri kau sendiri begitu SUCI

Maka dia terdiam tanpa kata-kata. Inilah rahsia para manusia pertama sebelum menghadirkan manusia baru. Inilah yang paling indah dari seluruh rahsia dunia. Tetapi ketakutanku memasuki guaku sendiri adalah racun yang menyakitkan. Tampaknya Monalisa tidak mengerti. Yang ada padanya hanyalah bahasa doa.

Aku tenggelam dalam lautan pelangi masa lalu dan masa depan. Ku kubur gadisku, ku kubur cintaku, ku kubur kenanganku. Aku hancurkan patung itu dengan tanganku dan tenggelam dalam lautan mimpiku. Lalu dia meninggalkan aku dengan seribu erti. Sendiri.

Tiada ulasan: