Selasa, Oktober 18, 2005

PANDORA


TANPA sengaja aku bertemu dengan Pandora, isteri Epimetheus di dalam bus kota.
" Pandora lama tidak bertemu? Suamimu dimana, bekerja?" tanyaku.

"Iya, lama sekali tidak kita bersua. Epimetheus! Tidak dia masih di rumah. Sudah lama tidak bekerja, cuma menunggu di Olympus kalau-kalau ada pekerjaan yang dilimpahkan Zeus untuk diberikan. Dan kerana itu, aku yang harus mencari nafkah seharian."

"Wah!Hebat!" pujiku, "Tapi kamu bekerja dimana sekarang?

Jawabnya acuh pada pujianku, "Di sebuah hotel." Aku terdiam sejenak.

Aku masih teringat saat pertamakali bertemu Pandora. Kejadian itu berlaku setelah Hephaestus, menyimpan banyak karya seni agung menjadi lumpuh. Pada waktu itu Zeus sangat marah kepada Hephaestus sehingga dilemparkan dari ketinggian Olympus. Selama tiga hari tiga malam sebelum dia jatuh ke tanah. Kerana kejadian tersebut Hephaestus menjadi cacat, tapi merupakan sahabat taulanku.

Hephaestus pernah bercerita kepadaku mengenai Pandora yang lebih cantik dengan kehalusan dan lebih mungil daripada Aphrodite, isterinya. Hephaestus bercerita mengenai bagaimana siang dan malam memberi sentuhan kemuliaan pada Pandora agar penantiannya dapat diberikan hadiah kepada Zeus sebagai meminta kemaafannya. Dia masih menderita kerana terjatuh dari Olympus, kerana kesalahannya sendiri. Namun sewaktu bertemu dengan Zeus kali pertama aku bertemu Pandora. Hephaestus berbisik kepadaku yang dia amat kagum dengan kemuliaan yang dimiliki oleh Pandora dan aku menganggukkan kepala tanda setuju. Pandora begitu halus dan mungil serta jauh lebih cantik daripada Aphrodite, isteri Hephaestus yang tidak setia itu. Kerlingan matanya seperti mana-mana manusia menelan matahari dan senyuman di bibirnya mengalahkan keindahan pelangi, begitulah gambaran hebat wanita seperti Pandora yang sememang cantik menawan dan mulia di mata mereka.

Aku dan Hephaestus merasa sangat sukacita kerana Zeus menerima Pandora dengan hati riang, tetapi kami tidak menduga bahawa ada suatu rencana rahsia yang tersembunyi. Kufikir waktu itu wajar bagi Zeus yang meminangkan Pandora dengan Epimetheus, kakak Prometheus. Tiada yang menduga bahawa sebenarnya Zeus menjodohkan keduanya kerana rancangan jahatnya yang busuk dengan teliti. Sejak belakangan, Prometheus menemuiku di kerimbunan taman Hera yang penuh mawar dan anggrik hutan, aku tahu rencana di balik keriangan Zeus.

Namun semua itu sudah terlambat. Zeus telah terlanjur memberikan kotak itu sebagai hadiah perkahwinan Pandora-Epimetheus. Dengan perasaan ingin tahunya, Pandora membuka kotak berisi malapetaka itu dan sejak itulah manusia hidup sengsara kerana wabak penyakit, kesedihan dan kedukaan. Sejak itu aku tidak lagi bertemu Pandora.

Saat ini aku tertegun melihat Pandora. Sejak terakhir bertemu dahulu dan semua sudah berubah. Rasanya baru kelmarin Hephaestus bercerita tentang Pandora dan hari ini aku bertemu lagi dengannya. Satu-satunya yang berubah adalah tempat pertemuan kami.

"Aku suka bekerja di sini. Keadaannya jauh lebih baik dari hotel Palestine di Baghdad," jawab Pandora atas pertanyaanku tentang keadaannya sekarang.

"Ya, sedikit sahaja aku mengeluh tentang bayaran."

"Oh, ceritakan Pandora tentang Baghdad!" pintaku.

"Ah, kota seribu satu malam itu kini amatlah buruk. Tak ada cahaya, tidak ada air bersih dan tak ada cukup makanan untuk semua orang. Di jalan-jalan, debu-debu jalan bercampur keringat dan bau mesin.

Terlalu banyak kekerasan dan terlalu banyak Kalashinov. Di mana-mana sahaja mereka bercerita tentang kedatangan prajurit, tetapi di sudut-sudut kota bersepah dengan pasukan garda republik yang menyembunyikan tato pedang dan bersenjata dengan tulisan "Kharis Jumhury Saddam" di bawah jubah jalabiya dan mencukur kumis mereka.

Sehari tiga kali helikopter Cobra menderu masuk kota mengepung sisi timur sungai Tigris sebelum akhirnya tank-tank dan artileri menggempur kota itu. Dan seperti yang kau baca di surat khabar, Hotel Palestine terkena hentaman Tomahawk. Tiga wartawan mati, tetapi banyak penghuni hotel yang tidak berdosa terluka parah.

Kota seribu satu malam itu jadi kuburan raksasa. Rumah sakit tidak lagi mampu menjalankan fungsinya, sementara bencana perang datang seperti wabak penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Aku menangis. Aku trauma. Aku takut. Sama seperti waktu pertama kali kotak pemberian Zeus itu kubuka disaat perkahwinanku dan kulihat awan malapetaka berisi penyakit, kesedihan dan kedukaan yang menggelapkan langit dan menutup cahaya matahari seperti gerhana yang panjang. Aku menangis dan terus menangis," isak Pandora padaku.

"Tetapi ini bukan kerana kesalahanmu, Pandora. Apa yang terjadi padamu itu hanya sekali dan pada masa itu kita masih beruntung kerana didasar kotak itu kita masih bertemu harapan, Pandora," hiburku.

"Memang bukan salahku. Aku menangis bukan kerana ini kesalahanku. Tetapi aku melihat dengan mata kepalaku sendiri, bencana perang ini jauh lebih kejam daripada kotak yang diberikan Zeus kepadaku dan suamiku. Mereka langsung tidak meninggalkan harapan. Di Baghdad, Tikrit, Basrah, kota-kota kecil lain di sepanjang sungai Eufrat dan Tigris beribu orang mati sia-sia tanpa sisa-sisa."

"Sekali lagi ini juga bukan kesalahanmu Pandora. Mereka memang tidak meninggalkan harapan kerana mereka tidak percaya pada harapan. Mereka kini percaya pada demokrasi dan keseimbangan ekonomi." Namun Pandora masih menangis, seperti aku dan dia sepasang kekasih yang sedang bertengkar di dalam bus kota ini.

Pandora menangis hebat sambil memarahiku.

"Kau! Masih percaya pada demokrasi dan keseimbangan ekonomi. Itu cuma bahasa propaganda dan cerita basi sebuah peperangan. Aku tahu perkara itu dan kerana itu aku pergi dari Baghdad. Terlalu banyak kebohongan dan terlalu banyak kemunafikan di sebuah negeri yang akan mati. Kau ini, dan semua penghuni dunia ini sudahkah lupa dan segera binasa kerana tidak ada memiliki sebuah harapan. Harapan untuk kehidupan yang lebih baik dan kerana memiliki demokrasi dan keseimbangan ekonomi, tetapi kerana manusia mulai menghargai kehidupan dan mengembangkan peradaban yang menjauhi peperangan. Kau ! Apakah kau tidak melihat padaku akibat perbuatanku?"

Harapan. Cuma aku dan Hephaestus yang tahu kemana harus pergi mencarinya. Tetapi kebebasan mencari harapan di peradaban ini, sejak Epimetheus ditugaskan Zeus untuk membuang harapan di kegelapan belantara Boven Digul. Sekali lagi aku menjadi penghibur Pandora, meski hatiku menangis dan terluka kerana hampa.

Tiada ulasan: