Rabu, November 16, 2005

BUDAK KECIL

Siang ini sangat panas, rambutnya seakan telah terbakar menjadi arang dan bara yang meresap melalui kulit. Mungkin kutu-kutu di kepalanya akan gelisah dan pergi kepanasan. Dan kerak-kerak kotoran yang mengering. Rambutnya yang jujurnya tidak hitam lagi, terasa asing bagi segala produk-produk apalagi perawatannya. Bagi pemiliknya isi kepala jauh lebih berharga dari pada yang menghinggapinya.

Bibirnya mengering, ada sedikit kerak kering disudut bibirnya. Hingusnya tidak diseka bersih. Cairan kuning itu masih mengganggu jalan nafasnya, perlahan-lahan turun dan naik kembali setiap kali ia bernafas. Punggung telapak tangannya terayun mengusap hidung, sedikit meninggalkan bekas yang membasahi pipinya. Badannya terasa menggigil, demam. Bukan oleh panas. Terik matahari menjadi rakanya, sebagai pemecut untuk tidak malas. Kerana kawan karib pemalas hanyalah bulan.

Dia bersandar di dinding sebuah taman, duduk diatas sebidang tanah pinjaman kerajaan. Merenung dan melihat kenderaan yang lalu lalang di persimpangan, begitu patuh pada tiang-tiang kehidupan dan kematian. Semua terhipnotis pada simbol-simbol itu, sebuah peraturan benda mati yang sangat manusia patuhi. Siapa yang berani melanggarnya. Ini sebuah malaikay maut atau berhala yang mengatur keselamatan buat mereka untuk menyeberangi persimpangan.

Fikiran nakalnya menerawang, andai dipersimpangan itu ditambahkan sebuah persimpangan kearahnya. Dan berhenti hanya lima minit. Untuk waktu itu ia akan menghiburkan para penumpang kenderaan yang berhenti di hadapannya. Terbayang-bayang berapa banyak rezeki yang akan dipungutnya untuk mengisi kekosongan perutnya. Dan mereka akan mendapatkan kelancaran perjalanan, keselamatan hingga persimpangan berikutnya. Kerana rakan-rakannya yang lain akan menunggu disana dengan segala nyanyian keselamatan. Tidak perlu lagi ada anak-anak jalanan yang berhimpitan dan bergantungan di angkutan kota.

Bibirnya masih kering. Dibasahinya dengan hujung lidahnya, tetapi terasa pahit di mulut. Perutnya agak pedih, suara penghuni didalamnya begitu merdu. Nyaring ditelan deru bas kota. Sejak pagi ia tidak menjamah walau sisa makanan. Wangnya hanya sembilan biru warna kertas, itupun kena tempelak oleh lelaki bermata merah itu. Saat itu ingin sahaja ia memberontak, tapi tangannya tidak lagi keras, tidak sekeras niatnya. Suatu saat nanti otot ini akan kembali gagah, pembalasan akan lahir. Namun saat ini ia tidak sanggup lagi berdiri, badannya panas. Demam. Sudah tiga hari ia tidak kebah badan, suaranya tidak semerdu dulu. Dan lagu terakhirnya tadi terdengar seperti decit tikus, begitu menakutkan sehingga ada anak kecil yang menangis dipangkuan ibunya. Memeluk dada ibunya begitu rapat. Dan belaian tangan lembut menenangkan sang anak. Sambil membisikkan kasih memberi kedamaian.

Budak kecil dengan hingus yang meleleh naik turun ini terpalu rasa cemburu melihat kejadian itu. Sebuah kasih sayang yang tidak pernah dimilikinya, kasih ibu. Sekasar apapun kulit ibunya, usapan lembut itu akan menjalari sebuah damai, keteduhan yang nyata. Tapi hingga kini tangan kasar ibunya tidak mampu melakukan itu. Apalagi sebuah bisikan kasih yang begitu menenangkan, seperti doa-doa yang dipanjatkan, tanpa menunggu jawapan untuk sebuah keyakinan doa dimakbulkan. Tangan yang kukuh itu akan menghadapi segala kesengsaraan, tiada lagi ketakutan.

Tapi ibunya kini bukan ibu yang dulu. Ibunya dulu telah mati daripada hari-harinya. Pergi bersama bas kota. Katanya akan ingin pulang ketempat asalnya. Lama dan tidak pernah kembali. Ayah menyalahkanku, katanya kerana aku anak yang tidak menjaga ibu. Nafasnya semakin memabukkan dengan kerinduannya pada ibu tertumpah di suatu sudut rumah. Aku hanya melihat meringkuk disebalik selimut memandang ayahku bersandar di dinding rumah yang terbuat dari papan. Di cahaya lampu minyak tanah, aku masih melihat ada genangan air disudut matanya. Jatuh perlahan-lahan.

Ayahku sebenarnya bukanlah lelaki lemah. Aku kagum padanya disebalik sejuta neraka sikap kasarnya padaku. Ia tidak pernah menganggapku sebagai anak kecil, memperlakukan ku seperti lelaki dewasa. Menghembuskan nafas kelakian, menikam keberanian pada jantungku. Aku bukan lagi seekor ayam, tatapanku begitu menusuk. Kecurigaan tersembunyi pada setiap pandanganku. Pada setiap mahluk yang aku kenali, aku selalu berhati-hati kepada musuh berada dimana-mana. Kota jelik ini tempatnya sarang kekejaman. Sebelum ditusuk lebih baik kau waspada, itu pesan ayahku.

Umur 6 tahun dia tumbuh jadi lelaki kasar yang tidak diatur oleh orang lain. Semua yang sebayanya takut kepadanya, kerana dia akan membawa pergaduhan. Kemana ia melangkah semua tertunduk mencari bayangan masing-masing, lebih baik tidak berurusan dengannya. Atau darah akan mengalir pada bibir yang pecah atau hidung yang patah. Dia tidak menggunakan benda yang keras untuk melakukannya, hanya ayunan tangannya begitu menghujam. Kebencian begitu buas pada kepalan-kepalan tangannya. Apalagi jika ada suara gatal mencari nahas yang mengejeknya anak sundal, rahangnya akan rapat mengatup menahan marah yang tidak tertahan-tahan. Ia akan lebih kejam dari syaitan.

Tapi ini tak berlangsung lama, sampai saat beberapa orang-orang baru masuk ke mukim tempat mereka. Penampilan mereka sederhana dan meyakinkan adanya ketulusan. Beberapa mahasiswa yang bekerja sebagai sukarelawan sebuah kolej mendirikan sebuah rumah. Mereka mendirikan syurga bagi anak-anak, sangat baik kepada kanak-kanak yang takut pada mahluk pendatang asing itu. Seasing bahasa yang mereka ajarkan, nyanyian yang begitu menarik dan mereka membuka mata dunia begitu lebar. Jauh di atas sana banyak malaikat akan turun bagi untuk kanak-kanak yang baika. Mereka memerdekakan kanak-kanak dalam ketakutan, dari buta didikan ke kepastian hidup.

Budak kecil yang pemarah itu pada awalnya hanya memerhatikan dari jauh sahaja. Sampai seorang daripada mereka menghampirinya dan menyapanya.

"Hai dik, mengapa kau tidak menyertai kami? Kita bermain bersama di sana. Marilah" ajakannya. Dia hanya diam, melihat tajam mengancam. Dia tidak mahu diusik.

"Seperti juga malaikat yang selalu melindungi kita, kau pun akan lebih dihargai dan dikenali sebagai pelindung, sebagai malaikat mereka. Daripada kau dikenali sebagai jagoan atas yang lemah” katanya memandang lembut.

Budak kecil yang pemarah itu berang, ia bangkit dan mengayunkan tinjunya. Hidung lawannya berair, berdarah. Budak kecil itu berlari menjauh dengan dengus keras. Ia tersinggung. Tetapi ia akhirnya juga bingung, tidak ada lagi kanak-kanak sebayanya berlari-lari di lorong sepi, dan tidak lagi bermain di kali. Semuanya tertumpah di rumah persinggahan itu. Mereka menikmati syurga mereka. Ia merasa sepi.

Mereka ada lagu-lagu baru yang mereka selalu nyanyikan. Mereka bangga dengan gambar-gambar mereka pada kertas-kertas itu. Mereka memiliki permainan-permainanan baru yang mereka buat sendiri. Anak lelaki pemarah itu hanya mendengar saja, tetapi tidak merasakannya. Ia cemburu tapi ia malu.

Tiba-tiba pemuda yang hidungnya dipukul tempoh hari mengajaknya dan mengulurkan tangannyanya. Ia pun pasrah pada keinginannya. Harapan oleh semua golongan kanak-kanak untuk bermain-main dan bersuka ria. Dan ia menjadi sebahagian daripada mereka. Dan malaikat turun baginya. Ia tercipta kini untuk memberi perlindungan dan kedamaian bukan lagi pengganggu. Ia bangga kerana itu.

Seorang daripada sukarelawan itu, pernah berkata kanak-kanak selalu dianggap sebagai objek kepentingan orang dewasa. Malah orang-orang tua atau ibu bapa yang menentukan hak-hak dan kehidupan kanak-kanak, bukankah si anak perlu dihargai pendapat dan fikiran mereka. Ini juga kerana ketakutan orang tua dan ibu bapa pada kritikkan daripada anak-anak. Kerana senjata yang paling tajam adalah fikiran, sedangkan ketakutan fikiran itu yang akan menimbulkan tindakan preventif yang tujuannnya untuk mengekang agar fikiran tidak menjadi liar dan bebas.

Orang dewasa, ibu bapa cenderung untuk bertingkah laku sebagai ketua yang mengatur dan mengharapkan daripada anak-anak sesuatu yang tidak realistik dalam kehidupan mereka kerana mereka mengharapkan sesuatu yang lebih kepada tingkat pengetahuan dan kemampuan seorang kanak-kanak. Dunia kanak-kanak adalah bermain bukannya bekerja seperti mereka. Membantu orang tua itu perlu tapi bukan untuk membanting tulang. Kerana itu tanggungjawab mereka yang lebih dewasa. Dunia kanak-kanak adalah belajar, kerana kanak-kanak perlu tumbuh dan membesar dalam kematangan tingkah laku mahupun pengetahuan. Tetapi semua itu dalam keadaan perlahan-lahan, kerana kanak-kanak tetap kanak-kanak.

Tetapi malangnya dunia yang diciptakan sukarelawan kepada mereka itu berlangsung tidak lama, mereka harus kembali ke kampus kerana ibu pertiwi memerlukan mereka. Namun penantian berhujung harapan kepada sukarelawan ini kepada kanak-kanak terbuang, sepertinya, seperti kanak-kanak yang termenung di hujung jalan mengharap kedatangan mereka kelak. Setelah jatuhnya rejim-rejim yang lalu, mungkin ibu pertiwi melepaskan mereka kembali. Ibu pertiwi perlu dikawal selalu. Ataukah mereka telah melupakan kanak-kanak itu? Kata ayah, mungkin mereka sibuk dengan tugasan-tugasan yang tertunda.

Budak kecil dengan hingusan yang turun naik itu masih bersandar di dinding taman. Peluhnya telah menebalkan dakinya. Tatapannya kini kian redup, ia masih menggigil demam. Ia tidak mahu pulang awal, tiada sesiapa di rumahnya, perkampungan telah sepi. Kini tiada lagi ibunya yang dulu, ayahnya pun telah lama pergi. Sudah sekian ia hidup tanpa mereka, hanya dengan ibunya yang baru. Dan bukan ia sahaja yang bernasib seperti ini malah anak-kanak lainnya juga telah kehilangan ayahanda mereka.

Wang yang begitu murah didapati oleh mereka yang tamakkannya. Mereka adalah manusia rejim yang melakukan demonstrasi untuk menantang calon pilihanraya yang dipersendakan seumur zaman. Namun calon tempat mereka unggulkan akan mengalami kekalahan, bukan kerana tidak bertaji tajam tetapi mungkin kurang banyak sagu koceknya. Tetapi mereka adalah wakil rakyat yang diluar adalah wakil perut kelaparan. Mereka yang di luar berteriak kerana lapar, yang di dalam berteriak kerana kerakusan wang dan kuasa. Ia berlari jauh meninggalkan perkampungan yang akan diterbalikan tuhan, ia dipaksa hidup sendiri tanpa saudara-mara. Hingga akhirnya ia bertemu dengan ibunya kini, bukan ibu yang dulu. Perempuan ini kasihan melihatnya yang terlunta-lunta tanpa teman, tanpa seorang ayah, mereka mengambil keputusan untuk hidup berdua.

Budak kecil itu masih bersandar di dinding taman, di taman sejuta mimpi. Lendiran hingusnya tidak turun naik lagi. Wajahnya mengambarkan ketenagan dan tiada keresahan. Ia tidak mempedulikan dengan kesibukan kenderaan di persimpangan. Ia tidak lagi tertarik dengan pulangan wang recehen-recehan yang didapatinya. Ia langsung tidak terusik dengan keindahan lampu-lampu neon yang menyala menerangi malam. Matanya terpejam rapat, menyimpan mimpi yang beranjak naik kelangit. Jauh diatas sana bersama malaikatnya. Bidadari mimpi menyediakan hamparan indah mengiringi dan menggenggam erat dirinya seperti takut terpisah dengan rohnya, sesungguhnya Tuhan memberikan malaikat kepada semua kanak-kanak baik.

Di tengah kegelapan malam, perempuan itu menanti resah. Merenung gelapnya sipi-sipi warna kegelapan. Matanya tidak mencari bayangan di hujung jalan. Ia hanya berharap dan tidak beranjak dari tempatnya. Di tangan kanannya terletak sepiring nasi putih yang telah ditanaknya tadi. Hasil penjualan plastik-plastik yang dikumpulkannya dari tanah tumpah diri dan pengharapannya, tempat penaman jasad dan sampah. Dia pasti telah lapar dan wajahnya pasti gembira dengan makanan ini. Tetapi mengapa lama ia tidak tiba? Ia masih menunggu hingga malam telah larut ditemani dengan tongkat di tangan kirinya, mata langkahnya. Tiada tangisan lagi, kerana matanya telah lama kering dan ketandusan.

Tiada ulasan: