Selasa, November 01, 2005





MUDIK LEBARAN
Setiap saat menjelang hari raya Aidilfitri, sepasang suami-isteri yang sudah lanjut usia menunggu kedatangan lapan puteri dan seorang puteranya yang sudah dewasa. Pada hari bahagia itu rumah mereka yang kecil di desa akan sesak dengan sembilan orang anaknya, sembilan menantu, dan sembilan belas orang cucu. Mereka akan mengemaskan kerusi meja dan menghamparkan tikar serta bilik tidur di ruang dalam rumah desa berhalaman rumput itu. Dipagi mulia hari raya, sebuah upacara keluarga dijalankan. Seluruh anak, menantu, dan cucu akan bergiliran bersipuh kepada sepasang suami-isteri tua itu. Saat pengampuanan dan kemaafan lalu diakhiri dengan pemberian nasihat oleh sang ayah tua, yang diiringi dengan sedu-sedan yang tidak dapat ditahan-tahan oleh anak-anaknya. Pada pagi itu, pintu rumah beratap zink berhalaman rumput itu sejenak akan tertutup bagi tetamu yang hendak bertandang. Demi sebuah pengampuan tahunan keluarga.

Di tempat lain di kota kecil yang sama, seorang lelaki tua hidup sendiri. Isterinya sudah lama dipanggil mengadap ilahi, sementara takdir tidak memberinya keturunan. Hari-hari dijalaninya dengan rutin mengurus sendiri keperluannya dan menjaga rumahnya yang kosong. Bagi lelaki tua itu kegembiraan hari raya adalah saat ia menerima kunjungan anak angkatnya dan 'cucu'nya yang tinggal di kota besar. Sebuah kegembiraan yang walau seketika, tetapi tetap sangat bererti untuk dirinya.

Dihujung sebuah desa, seorang lelaki muda setiap tahun selalu kembali ke rumah orang tuanya, tak jauh dari rumah lelaki tua yang hidup sendiri itu. Tak ada acara khusus di sana. Tak ada sajian khusus untuk menyambut kedatangannya. Namun jejaka itu tetap sahaja selalu terpanggil untuk kembali kekampung halamannya. Kembali ke rumah yang kini makin terasa kosong setelah ditinggalkan satu persatu penghuninya. Hanya inggal kedua orang-tuanya yang baru sahaja memasuki usia senja. Tiada acara khusus di sana juga. Tetapi suatu panggilan aidilfitri seakan bebisik kepadanya untuk pulang kerana lambaian itu. Panggilan yang menggapai-gapainya semakin kuat setelah hadir orang baru dalam hidupnya. Kini baginya, sebuah kepulangan semakin bermakna sebuah bakti kepada kedua ibu bapa, sebuah ikatan yang selalu diperbaharui simpulnya, sebuah potret diri yang akan ditunjukkan kepada belahan jiwanya, dan kisah-kisah lama yang kan didongengkan pada buah hatinya dan isteri kesayangannya.

Pagi yang mulia ini apabila sebelanga air penuh rezeki syawal tumpah di setiap detiknya. Yang miskin dan yang kaya, ya Tuhan. Cukup kau beri kami kemampuan mensyukuri hidup tanpa sirik dan dengki. Tidak ada lagi rasa gelisah dan resah. Ada banyak jiwa-jiwa yang rapuh, kembali kepangkuan keluarga tercinta. Sekeras mentari yang menggiring waktu, setiap detik berucap doa dan meminta. Ucaplah syukur hanya setitik dan koma. Kerana kesalahan lalu, lumpur dosa yang berulang dibiarkan tertinggal pada jejak-jejak hidup lalu yang melangkah.

Aidilfitri. Suatu peristiwa yang dinanti walaupun telah berulang sekian kali, sekian lama. Seperti minuman dalam secawan kopi setiap pagi, seperti memandang hujan dari balik jendela kamar, seperti merenung sendiri saat gelap malam syawal menjelma, takbir bersama di malam lebaran. Suatu peristiwa yang akan tetap dikenang tidak luput ditelan zaman. Seperti harumnya aroma kopi di pagi hari, seperti aroma tanah basah setelah hujan, seperti saat mutiara kaca seorang tua melimpah menjadi airmata disaat melepaskan perginya putera-puterinya yang dewasa sehabis mudik lebaran.

Diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan "Mohon maaf Zahir Batin" kepada semua pembaca.

Tiada ulasan: