Ahad, November 27, 2005


PANGGILAN SEBUAH PERJALANAN

(1)
Seperti panah aku terlepas daripada sasaran busurmu dan menghablur jauh daripada cahaya gelap, merasuk suram malam yang masih pekat. Masih samara-samar abu asap kota-kota lama yang menakutkan. Ular gurun dibangkitkan disaat fajar terbit, hanya di dalam kabut pekat di bawah payung hitam, ramai manusia berangsur mengikuti dari dadaku yang terbakar disaat malaikat mengembangkan sayap-sayapnya dalam kegelapan jubahnya. Tetapi lampu-lampu kota ini bercahaya mengasah langkahku seperti melawat waktu sejenak bersama gumpalan api atas namaku pergi memburu dan membunuh segala angin demi muka malam tanpa cahaya. bahkan bulan yang melukis bayanganku telah hangus ditelan waktu.

(2)
Di situ aku ada mungkar dan nangkir berjalan-jalan dengan megah jubah hitam menjelma selongsong fikiran kosong yang kau serukan sebagai hujan berirama rahsia langit. Aku hanya proforma dalam muslihat tarian kumpulan serangga yang kau mainkan – figura daripada lakonan dosa-dosa lama yang kutinggalkan di zaman yang sudah roboh dengan rumah-rumah sujud dan tikar sejadah bermenkuang lalanag. Ketika anak-anak muda bergirang ria bersama ego besar bermegah kereta sportnya, fakir tua disisihkan duniamu, dilempar kejalan semak berduri, badut-badut berpesta meledakkan asap-asap di udara. Aku telah melawat jasadmu yang menguning dengan kepala pecah dan mulut berbuih, direjam matahari dalam pusaran beliung. Nafasmu adalah singkat disaat usia muda yang kau beRajakan nafsu. Aku tersenyum memuntahkan air liur kekesalan dan kutukan-kutukan kepada jisimmu yang kaku dan tarian bulan yang tidak pernah lelah menindih dada matahari , perempuan terindah, adik sendiri. Pengusungmu adalah batu dan dosamu dalam mimpi-mimpinya. Telah kau lalaikan keheningan kolam mencari kecantikannya dunia seperti mata lentik disolek anggerik melupakan pendampingmu yang bermuka dua. Langkah-langkah menuju kesana adalah saat menyingkirkan kota duniawi– membawa mayat seorang manusia dan menlelehkan cinta ibunya dalam buta airmata.

(3)
Apabila tersenyum kalam para rasulmu menanti, suapaya masih tertulis pahala sebagai gugusan bintang dan bulan menarikan lagu menyelamatkan ragamu, maka anak muda ini terlepas dari peredaran kelam menyihir pembalasan dan azabnya. Dahulu dia sendiri sebagai raja yang dari segala yang lata. Selalu menghabiskan sisa waktu dipesta ria malam minggu. Kini telah mengubur bayanganmu dalam ribuan abad yang menimbun tulangmu. Tiada nama yang kau sebutkan sejak luka di rongga khadamku tidak terlepas jejakmu dahulu. Berkali-kali dosa tercatit dikirimu yang tidak menjanjikan sebuah bahtera cahaya tersurat dalam catatanku. Kini bayanganmu hilang bersama malam dan siang, waktu kisaran tanpa belasan yang kau rakamkan adalah hitam dalam kuburmu penuh kesakitan.

(4)
Dahulu aku melekat di mulut-mulut kota, berkampung bersama orang-orang jalanan. Di sini aku dihujung persinggahan bagi semua yang telah mati di zamanmu terikat pada keangkuhan masa lalu. Jalinan baja hitam merantai seluruh ketajamanku dan salutan berduri berada dikepala neraka ribuan hati hama setinggi bukit tengkorak kerangka mengerak di antara timbunan tulang selangka manusia pendosa. Gerigi api jelmaan syaitan bebal yang suka lagu-lagu banal sambil meniup tanduk bagal mendaulat diri sebagai kepala raja. Rumah-rumah disebelahku telah luruh seperti tubuhku yang lumpuh dalam serpihan-serpihan waktu. Penantian panjangku kepada seorang tua janggut panjang seindah tali-tali jiwa parawali menyelamatkanku. Menjulurkan kemboja doa membuka lembaran makam-makamku aroma tubuh mewangi tasbih doa-doa.

(5)
Aku disihir dalam lautan tanpa tanda zaman antara sesal dan dalam kutukan, tapi kenangan adalah sumpah kepada angin, matahari dan daun-daun telah menampar dan melemparku ke tengah perang baru. Tiadan kawan-kawan yang ada tersisa ditelan arus zaman dan kau semakin beruban. Matamu lamur di hujung zuhur. Tinggallah aku, budak hitam bersama papan kegelapan. Jika kau sangsikan rongga-ronggaku dan kau lihat terang suluh empat penjuru yakinlah arah kematian cahaya disitu dimana aku berada.

(6)
Datang salam tidak diundang kerana aku bukan pemukim, tapi pribumi sebelum adanya Adam. Aku datang seperti tetamu. Dilayan tanpa dibasuh kakiku, tiada santapan raja sangga buana, tiang dunia, pemangku terang dan kegelapanmu. Kecantikan adalah yang kau ajarkan merupakan pembuka lembar pertama buku-buku yang sudah kutuliskan. Setelah kau hitamkan semua halaman muka, masih kubaca warna di setiap ayatku. Jika kau rangkul seluruh kematian telah kutiupkan dikelahiran seutas senyuman bersama buku tulisanku.

Tiada ulasan: