Ahad, Disember 11, 2005

GURISAN INTAGLIO 1:ILSE LEA

"Cinta adalah sebuah kata bercahaya, ditulis oleh tangan cahaya, pada malam bercahaya"-Kahlil Gibran-

Pagi beranjak dengan tenang, selembut langit yang perlahan-lahan bersolek sendiri. Dan matahari mengusir gelap dengan senyum manis yang berhujung sinis. Embun-embun tidak lagi bersantap masa, hilang bersama godaan rona hangat angin yang membelah mimpi. Berjuta harapan mencicip kesedaran, melanjutkan sebuah kepingan nasib yang berserakkan.

Tetapi jejarinya masih tidak akrab dengan Dahlia. Kaku dan tidak sudi menari, walau nyanyiannya adalah nyanyian jiwa yang melantun keluar dari gegendang telinga. Nadinya terpacu kencang dengan sejuta perkataan yang ingin ditumpahkan. Tetapi jemarinya terdiam kaku. Menjadi penulis, pelukis, dan syair pujangga cinta. Dia ingin menjadi lembaran sejarah bersama lagenda bonda dan warisannya. Kerana penulis adalah orang yang menulis melawan arus zaman, penghitung tentang kebenaran yang dapat menebar janji-janji yang boleh dipercayai. Ucapan itu dikatakan lantang oleh Gunter Grass pidatonya dan penerima anugerah Nobel Sastera 1999.

Pada kehidupan di pagi ini, sekuntum bunga Dahlia sangat indah berdandan molek. Dirinya memikat kumbang-kumbang nakal pemagut cinta, semuanya berjalan biasa. Tiada yang merasa kecewa, tiada yang diperlecehkan, tiada dosa. Mungkinkah tiada berahi pada mawar ini?

Kumbang akan menatap sedih pada bunga yang tertata rapi di meja ini. Dingin dan berbisik mati. Bagaimana dirinya tetap sendiri?. Perlahan-lahan fikirannya resah. Untuk sekian kalinya bunga-bunga itu dikirimkan padanya, pengirim yang sama. Beratus kalimat terangkai pada kertas-kertas kecil tulisan tangan, dan selalu berujung inisial yang sama. Siapakah kau?

Setelah sarapan hangat dan segelas susu sajian Bik Miah di rumahnya tadi. Kembali ke pejabat menikmati kesibukan diri, dan pulang ketika senja terjaga dan mendapati rumah masih dingin dan kesepian. Tiada celoteh-celoteh yang menyambut atau kucupan hangat dari lelaki yang akan melindungi hingga pagi menepi.

Mengapa aku menjadi lemah begini? fikiran yang tidak pernah menjadi persoalan bagiku dahulu, tidak menarik segala perkara yang kutangani. Batinnya menari-nari, segala pertanyaannya terburai. Mungkinkah kerana bunga ini, dia teringat kembali akan cinta? Akan keseorangan? Akan sepi? Bukankah itu pilihan yang aku yakini? Hidup tanpa lelaki bukanlah kematian. Kerana patah hati bukanlah milik sesiapa lagi, itu hanya berlaku pada dongengan. Gambaran lemahnya peradaban. Aku wanita yang berjaya dalam hidupku sendiri.

Setiap kali memasuki bilik ini, Dahlia menghempaskan tubuhnya ke ranjang. membantali kepalanya dengan dua telapak tangan, matanya ditatap ke langit-langit, dan nafasnya terdengar panjang. Tiga empat minit dia begitu, lalu duduk, melepaskan tali kasut sepatunya. melemparkan kasutnya di bawah meja, tangannya yang panjang mencapai segelas air putih botol kecil dan ditengguknya, botolnya dilempar ke tempat sampah. Kemudian dia berdiri, berjalan tujuh langkah ke kanan. Menyelakkan tirai, membuka pintu kaca menghubungkannya dengan suara-suara di luar sana. Biasanya, dia akan melewati celah pintu kaca itu, dan membiarkan kaki telanjangnya merasai dingin lantai teras biliknya.

Pandangannya mengedar ke utara, lanskap langit yang bebas dari badan udara segar berhadapan dengan taman digaleri Warisan Nusa. Dia mesti merebut kembali kepunyaan warisan bondanya yang indah, menyimpan sejuta sejarah rahsia keturunannya. 10 minit berdiri, udara kamar bilik telah berganti, tubuhnya bergerak, mengunci pintu, menarik tirai, dia menuju ke almari kaca mencari sesuatu. Sebuah buku usang terhias cantik warna kelabu kusam. Isi yang begitu mempesonakan, dan matanya yang tidak berganjak. Menatap gambar dan rindu akan bondanya. Isle Lea yang dibesarkan di Wipperfuerth, Jerman Barat. Ketika berumur enam belas tahun, bondanya belajar seni grafik, pada mulanya dengan di College of Art di Cologne, dan akhimya di Academy of Fine Arts di Munich dari tahun 1963-1964. Di sana bondanya belajar seni grafik dan lukisan dengan Professor Franz Nagel, dan memenangi anugerah pertamanya dalam lukisan daripada Akademi tersebut. Ketika itu juga bonda bertemu dengan bapanya dari Malaysia, berkahwin dan berhijrah ke Malaysia pada tahun 1974.

Bondanya seorang insan seni tanpa sempadan. Buku ini adalah peringatan kepada salah satu buku blok usang Zaman Pertengahan nendanya di Eropah, diwariskan kepada bondanya. Ia kelihatan dihasilkan dengan tangan, daripada bekasnya yang seakan-akan kulit kayu asli hinggalah kepada isi kandungannya sendiri, termasuklah setiap ilustrasi, seolah-olah semuanya dibuat dengan penuh teliti dengan tangan, sampailah kepada kad ia dicetak dan dijilidkan.

Kerana darah yang memenuhi segenap penjuru jasadnya adah seni yang mengalir. Alangkah indahnya jika bondanya ada di sini. Tetapi saat ini sepi dalam seni ini membuatkan manusia tidak pernah menatap kasihan padanya atau ejekan jelik sebagai perawan yang berganjak usia tua. Malah kumpulan wanita-wanita menobatkannya sebagai wanita berjaya untuk tahun ini. Saat bunga ini muncul pasti mereka berfikir aku adalah yang kaum lemah. Bukankah Hawa dulu telah berhasil menipu Adam?

Bila dikatakan lelaki kejam,
Marahlah pada Adam.
Tiadalah keluar dari firdaus yang kekal,
Tiada lain kerana pujukan Hawa
Bila dikatakan lelaki itu kejam, tamparlah Adam.
Kerana hanya itu yang akan dilakukan,
Sebelum tangisan mengalir.
Dari turunnya Adam yang lemah,
Bibirnya yang kelu,
Lahirlah banyak kaumnya yang pendusta.
Dan telah tertulis, Adam dungu oleh cinta
Menjadi santapan sang Hawa.


Tetapi Dahlia, masih sukar melupakan sesuatu tentang dia. Lelaki kecilnya pada waktu yang lalu. Matinya sebuah cinta oleh manusia bertopeng adamnya lelaki. Kini Dahlia bukanlah mahluk pembenci,tetapi dia telah melupakan semua itu. Oleh itu memilih bersendirian bukanlah sebuah bentuk sakit hatinya. Ini hanya ekpresi keinginan menjadikan hidup sungguh bererti. Sungguh Dahlia tiada benci. Dan dia menikmati hidupnya sehingga keadaannya kini. Tapi sampai bilakah dia begini? ucapnya perlahan-lahan. Ohh sungguh berbahaya sihirmu? Belasan tahun yang telah membuang ingatan ini, pergilah jauh dariku.....

Tiada ulasan: