Selasa, Disember 13, 2005

GURISAN INTAGLIO 3: CINTA DAHLIA

Aku mencari-cari dalam benang ingatanku, apa yang ingin aku sampaikan, masih tidak bertemu. Berdiam diri, menghela nafas, memusingkan kepala pada pijar lampu, kepalaku tidak juga menerima signal akal. Cerita, juga berita, yang tadinya kurasa terstruktur susunan dibenakku,aku menguap. Aku masih tidak bersuara, tapi kehilangan kata-kata. Apa yang terjadi dengan ingatanku, ketika ini aku kehilangan kemampuan kemunculan maklumat? jika Saramago, pemenang sastera nobel itu berkata"Kematian yang paling indah adalah ketiadaan ingatan", aku meragui, apa yang ada nikmat di dalam lupa. Alangkah indahnya jika seseorang dalam ingatanku yang membuat luka ini tidak ada diingatan. Apabila sebuah hubungan, indah dan pergi dan hilang daripada ingatan lebih baik daripada meninggalkan sejuta kepiluan dan kekesalan sepanjang hidup ini.

Begini rasanya dirinya kehilangan pagi, bangun dalam cahaya yang menerobos kisi jendela, terperangkap, mencari remang-remang yang tiada. Malamnya adalah waktu yang ditemuinya dingin di hujung mimpi. kokok ayam, bau embun ditangkai lalang, merah saga langit selatan. Dahlia menulis di sepucuk surat, yang selalu dikirimkan kepada Zehra, ibu saudaranya di kampung halamannya di Jerman. Merungkaikan cerita keadaannya yang hampir memenangi Warisan Nusa dan kisah cintanya kepada Zehra, adik bongsu bondanya, yang sebaya dengannya.

Perahu payang layarnya merah
Belayar menuju arah utara
Keris dipegang bersintukkan darah
Adapt pahlawan membela negara

Kalimat daripada serangkap pantun melayu lama melompat dari halaman sebuah buku. Buku tersebut ditulis dalam bahasa inggeris, diilustrasi dalam bahasa sejagat iaitu seni. Cerita dalam cerita, kisah sebilah keris empunya sultan sebuah dunia asing. Diriwayatkan oleh seorang yang lahir dikalangan cerita lagenda yang agak berbeza.

“Kenapa bonda tidak bercerita tentang tukang besi intaglio yang kerdil yang menempa besi panas yang jauh diperut bumi, atau kisah dara Rihne dan kesatria berbaju besi berkilau di atas kuda membelah hutam rimba hitam yang berkabus, atau kisah penyair agung Tristane dan Isolde, kisah latar belakang karya klasik negara Eropah?” tiba-tiba itu yang terpancul di mulut Dahlia.

Masuk di bilik belakang rumah semasa bonda Ilse sedang menumpukan sepenuh pembacaannya di kamar yang bermandi cahaya lampu kecil. Pintunya yang sedang terbuka itu memudahkan Dahlia mengejutkannya. Dahlia menghampiri lakaran yang selesai dituris oleh bonda Ilse. Kagum dengan kecekapan dan kepekaan penggunaan bahantara mudah dan amat sedikit - pensel, kertas, arang, plaster, bonda telah menghasilkan ruang yang terkawal dan sesuai untuk sebuah kisah bersiri. Dalam hampir kesemua lakaran, keringanan sentuhan pensel yang paling ringan ke atas kertas menampakkan mutu pengawalan diri yang amat sederhana. Dia mengerti mengapa bonda menguris intaglio yang memberi kesan yang penuh tujuan berkaitan dengan aspek paling ketara karya ini secara keseluruhannya. Idea untuk siri bermula dari cangkerang-cangkerang kecil ini, yang pada mulanya merupakan gambaran sebenar realiti. Dia menoleh bondanya yang tersenyum melihatnya dengan buku kisah Cenderawasih Tujuh Mimpi, Tujuh Istana masih digemgam erat, seperti sebati dengan jiwanya.

"Bangsa Melayu adalah bangsa pelaut, sayang! hikayat tradisional adalah seperti suatu seni, yang tiada cacat celanya, terolah begitu sempurna maka tiada keperluan untuk memperbaikinya. Memberi ilham seni kepada kita bukanlah kerana semata-mata ia seni Asia dan Eropah, tetapi semata-mata kerana seni itu yang menggapai terus kepada hati dan bukannya kepada akal fikiran. Kerana seni mesti terlebih dahulu menarik hati dan menjadi bebas daripada prejudis dan kongkongan minda, Dahlia." Terang Ilse. Dahlia memuncungkan mulutnya dan mengangukkan kepalanya.

Ilse bangun dan meneruskan kerjanya yang hampir selesai tadi sebelum berhenti seketika membaca riwayat beberapa buku klasik melayu yang dibeli oleh suaminya. Tekun dan tidak mempedulikan Dahlia yang berada disitu sambil menyelak buku-buku kepunyaannya.

"Kebanyakan daripada watak yang terdapat dalam hikayat Melayu klasik ada dalam barisan pelakon kisah samudera bonda IIse, selampit, tuan puteri, mahligai, mahupun lanun yang nampak lebih riang daripada mengancam." Terang Dahlia kepada Zehra seketika dulu setelah dia kembali ke tanahair bondanya seketika.

Dahlia meninggalkan bondanya dirumahnya kini, suatu masa dahulu dan tinggal bersama Zehra. Bondanya tegar tidak mahu kembali ke Wipperfuerth. Keturunannya adalah pengukir arca zaman eropah, berdarah Matisse, pelukis terkenal sebaris Pablo Picasso dan Vincent Van Gogh, Leonardo Da Vinci dan Michelangelo.

Bondanya perintis, seorang artis tanpa sempadan, san frontiers, menjalankan keajaibannya diluar kebudayaan yang amat berbeza dan berlainan seperti imej gurisannya daripada dunia pari-pari. Bondanya adalah lagenda itu untuk terus bertahan. Karier IIse Lea yang aktif dalam pameran berkumpulan setiap tahun sepanjang tiga dekad yang lalu, dengan lebih tujuh puluh lima pameran berkumpulan secara keseluruhan. Pameran solo pertama diadakan di bandar kelahirannya, Wipperfuerth , Jerman barat pada tahun 1971. Terakhir adalah di Warisan Nusa, galeri seni terakhir bondanya yang perlu Dahlia miliki dan takluki.

Seni Ilse Lea, bondanya seorang yang selalu terleka dengan kelembutan dan keceriaannya. Tetapi seni bonda adalah seni yang sungguh sukar. Semasa pembelanjarannya dikota bondanya, pelukis ternama Hogarth berkata, dengan sedikit perasaan kesal dengan kecemerlangan dalam seni ukiran. "jarang sekali dicapai tetapi oleh mereka yang berfikiran tenang". Artis tersebut merujuk khusus kepada seni pengukir, dalam percetakan intaglio seni gurisan yang merupakan bidang bondanya, disiplin yang tinggi diperlukan daripada seseorang artis.

Teringat 15 tahun dibangsal belakang rumahnya, sebuah studio kecil tempat bondanya menumpahkan idea mistiknya.

"Dalam seni guris seperti dalam seni ukir, proses itu sendiri ialah sebahagian daripada keseluruhan aktiviti kreatif, bukannya setakat reka bentuk dan susunan hasil seni itu sahaja. Logam mesti sebersih-bersihnya, bebas daripada sebarang gris, jika tidak tapak gurisan tersebut tidak akan melekat kepada gurisan. Tangan pengguris juga mesti bersih, dan permukaan tidak disentuh sewenang-wenangnya. Kemudian tekanan yang dikenakan semasa membuat corak di atas permukaan plat mestilah tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan-tangan perlu tegap."

Bondanya menerangkan hasil teknik yang betul kepada Dahlia, menolong mengajari mata pelajaran seni disekolahnya, seawalnya kerjaya bonda di sini. Jauhari juga selalu menjenguk aktiviti mereka berdua, memandangkan Jauhari sahabat yang berjiran dengannya. Jauhari sememangnya sangat mencintai puisi, kerana dia memiliki darah seorang pujangga hebat dari tanah seberang. Bonda sangat kagum dengan jatidiri Jauhari dan malah bonda Ilse juga menuris rangkaian puisi Jauhari hadiahkan untuk dipamerkan bersama-sama kisah arca dan lukisan bonda.

Tapi mana mungkin diri Jauhari ditepis peristiwa yang menimpanya. Wajah yang meraih sejuta simpati. Kesan berkekalan yang berlaku dalam lingkaran waktu kelabu hidupnya adalah kesedaran bahawa sejarah masih sedang dicipta. Apabila kunci kepada sejarah ini telah sengaja dihilangkan, latar budaya yang menjadi sandaran bagi pemahaman mengenai identiti dirinya.

Dahlia kembali sememangnya kerana itu. Tetapi disaat ini dia lebih memikirkan cintanya yang tidak kunjung tiba. Bagaimana aku mengirimkannya kepadamu, sedangkan lanskap dirimu berada itu kian jauh tidak dapat aku bayangkan. Suatu hari nanti mahukah kau mengajariku bagaimana menikmati pagi? atau mengarang dan gurisan syair cinta seindah Kahlil Gibran dengan langit yang keemasan, atau senja merah lazuardi yang ditaburi jarum hujan. Atau mungkin bayangan malam, ketika bulan bintang membuat kita berdua hanya mengenang, saat cahaya bersembunyi dalam terang. Pagi ini digambarkan adalah pagi yang diangan-angankan dalam silam zaman kanak-kanaknya, yang terus menjauh, di gigir memori.

Kini dia bersendirian menjadi biografi. menjalari pagi, mangudang sepi. Tiada khabar dari angin. Kali ini , tiada lagi puisi pada kertasnya, layar monitor, geletar jarinya menulis rangkap demi rangkap. Juga janji. sepi. pagi terang wortel. Dia bangun sendiri semayam mengigil dingin. Waktu seakan terhenti. Air diwastafel mengalir sendiri tidak disentuhnya.

Beberapa ketika, dia biarkan rasa mengendali waktu, membiarkan fikiran mengendap, kerana tidak semua persoalan perlu jawab, tidak semua masalah harus dikelar, tidak semua salam adalah pembuka bicara dan penutup, kerana tidak semua rasa cinta itu untuk mengikat dua hati. Dahlia baringkan tubuh, dipejamkan mata, dan dibiarkan rasa yang mengudar, yang mengatakan bagaimana hubungan rasa ini.

Malam itu aku melihat kunang-kunang yang singah. Titik kecil yang bersinar, menari, kala terang bersembunyi dalam gelap. Kunang-kunang, hidup dari kegelapan. Dia mendapat erti, dari terang yang bersembunyi. Jika kunang-kunang adalah benda kecil yang tidak tertangkap oleh mata. Tetapi ketika melihat kunang-kunang, tidak pernah aku berterimakasih pada gelap. Pernahkah aku tersenyum takjub pada cahaya yang tidak menunjukkan dirinya. Adakah setitik senyum itu diaturkan pada bayangan.

"Untung masih ada kunang-kunang, Dahlia" Kata bonda disuatu petang dipermatang yang damai.

Saat itu ibu memberikan nama rumah yang aku diami ini kunang-kunang. Seperti galeri itu yang telah mengubah nasib lagenda warisanku. Dan disaat manis itu dikecapi bersama bonda sambil melihat bulan dari atas permatang kampung ayahandanya, nun diperbatasan di sisi hamparan padi, dan rumput, ketika gelap bermaharajalela. Bulan di atas tanah lapang, yang diselimuti kabut tipis dan hilang cahaya, adalah bulan yang mempertajam imaginasi khayalan, bulan rasa yang manja dihati.

Bulan yang tiada perbezaan, terlihat biasa, terjerat di antara kabel-kabel elektrik, kerana kalah pada terang yang mengecil, dan hilang dalam cahaya, oleh pijar lampu yang menyorot jalan, oleh terang yang disemburkan rumah dan kenderaan.

"Bulan di kota, adalah cahaya yang tidak pernah memancing manusia untuk duduk mengikutinya. Dan intinya adalah gelap, terang yang menahan diri, bersembunyi. Dalam hidup ini manusia sering menjumpai kunang-kunang, juga bulan dan kita terpesona, mengabaikan sisi gelapnya, lupa pada kemurahan cahaya kecil yang hadir si suatu sisi kehidupan." kata bonda yang terpesona keindahan alam yang sukar digugatkan.

Disaat aku ditakluki oleh Adisa dan pada kunang-kunangnya, aku akan cuba untuk bersyukur pada cahaya yang sengaja hadir ini, yang dia merupakan cahayaku. Adisa, kau boleh terpesona pada kunang-kunang yang berlainan keindahannya, dan akhirnya kau akan lupa pada gelapnya diriku. Kerana kau lelaki yang membuatku mengikuti ke mana fikiran membawa kita percayakan tenaga cinta sungguh tidak terlawankan, walaupun bukan dengan diriku ini. Menjeratkan fizikalmu dan juga fikiran, apalagi dengan belenggu yang kau bayangkan. Aku ingin membuang fikiran yang selalu terhubung dengan Adisa, lelaki yang tiada jawapan kepastian. Aku telah berjaya merampas kebahagiaan milikku dahulu. Ini bukan sekadar permainan perasaan, tapi sebuah hubungan dalam keadaan psikologi yang sememangnya diarahkan oleh sang pencipta. Keterhubungan yang pararel. Pada suatu saat di satu minggu, jika setiap bangun pagi, mandi, dan mewangi, aku akan memikirkan Adisa.

Keyakinan itu tiba-tiba setengah jam kemudian sudah ada ketukan di pintu. dan ketika pintu dibuka, wajah yang yang ditunggu Dahlia itu telah ada, ada kegugupan diwajahnya.

"Aku terkejut teringatkanmu." Katanya.

Dan Adisa memeluknya, dan memegang tangan, Dahlia meletakkkan tangganya ke dadanya.

Agar aku tahu, betapa debar di dada itu, yang bergelombang, memacu panas nafasku, semuanya, menuntut untuk dilepaskan. Dan kau biasanya akan pasrah menyerahkan dirimu, seperti aku, pada tenaga cinta, tangan kasih, yang membuat Adisa tidak lagi berkata, hanya diam, ketika mata mengambil alih semua percakapan, dan meneguhkan keyakinan sentuhan dan ciuman.

"Dahlia, aku selalu tidak boleh menolak jika sudah dekat denganmu dan aku tidak mahu akhirnya kita menyalahkan cinta, jika sesuatu terjadi antara kita. Aku takut aku tidak kuat sayang, kerana aku bukan lagi seperti dulu, yang belum disentuh sesiapa.”

"Suatu waktu dahulu aku melukaimu, tetapi percayalah bukan niat, tetapi kehendak aku mencintaimu dalam egoku. Aku tidak menyangka kau setabah itu. Aku telah sedaya upaya mencarimu, setelah bertahun-tahun kejadian itu."

Kerana itu Dahlia tetap berhubung walaupun dendam tidak pernah melingkari hidupnya. Ini bukan sekadar kepercayaan, tetapi juga kerana usahanya. Ini menunjukkan, keterhubungan bukan hanya sekadar ikatan dua hati, dia lebih dahsyat dari itu seperti sebuah magnet. Katanya merasakan getaran cinta itu sudah sangat nikmat.

Saat aku terbang tinggi,akhirnya, jatuh dan sakit, kerana aku tidak mengikut ke arah mana cinta itu membawa. Tetapi percayalah, bukan kerana tergetarkan kita baru merasa bahagia, bahkan merasakan mempunyai cinta itupun boleh membuatkan jatuh cinta, dan sangat bahagia. Yang pentingnya adalah bukan sekadar getaran. Kadangkala cinta sementara itu menyakitkan sekali, tetapi perasaan bersyukur bahawa cinta adalah ilmu tertinggi yang ditiupkan tuhan yang telah bersemayam di hati setiap manusia. Cinta yang mendiami hati ini sesungguhnya sebuah anugerah, sebuah kepercayaan dari yang memberi aku dan dirinya hidup dan bertemu, yang juga menafasi aku, yang sangat mencintai diriku, selalu, walaupun aku sering melupakan-NYA.

Akhirnya kemana kunang-kunang pergi, saat jarum hujan menitis bumi, dan kepaknya tidak sekuat menanggung beban. Pagi tadi Dahlia bangun, dan tahu, tiada yang berubah dari tubuhku. Tetapi, kurasakan ada sesuatu yang pergi, entah ke mana, seperti kunang-kunang yang menghilang kala hujan. Dia merasa aneh dalam isi kepalaku. Tetapi ada yang pergi, ke mana? aku tahu, ada yang pergi. Apa misteri dalam jalinan semalam?

Dalam kepenatan dan kelesuan pagi tadi, ada sesuatu yang menggajal benakku, selain nikmat yang keliaran, apakah ada sesuatu yang bersembunyi ketika aku dan dia memulakannya. Sesuatu yang bersembunyi, aku tidak pasti, tapi kurasakan kini, bersembunyi, tidak menampakkan diri di dalam diriku. Di pagi ini, didepan cermin membayangkan bekas pagutanmu? Ohh tidak! Jangan tinggalkan aku dalam pertanyaan yang membingungkan ini. Kau yang telah memberi nikmat, ketika balduku diluruhkan satu persatu, ketika kucupan dipanaskan, dan berahi dilepaskan. Lidahku tidak lagi punya malu dan tanganmu tidak lagi mengenal penat. Di saat itu dua jiwa perlu disatukan dalam pelukan. Itu yang tinggal, yang bersembunyi, yang pergi seperti kupu-kupu saat hujan itu.

Di sebalik kenikmatan, apakah itu yang sepenuhnya tidak pernah kita dapat? Semalam, membuatku tidak lagi dapat merasai warna hujan, kerana kunang-kunang itu telah lama menghilangkan, seperti sesuatu yang kurasakan jelas bersembunyi.

Aku berkaca
Ini muka penuh luka
Siapa punya?-Chairil Anwar-


Tiada ulasan: