Selasa, Januari 10, 2006

GI 6:GURISAN SAHABAT LAILA

"Cinta dan kehampaan dalam diri bagaikan pasang dan surut air laut"-Kahlil Gibran-


Bersamaku hari itu, Laila menembus pekat malam yang berkabus. Mengejar 32 km di depan. Aku faham tentang Laila, mengejar sepasang mata yang pernah semalam menemaninya melupakan tentang keindahan bintang. Secara eksplisit Laila pernah terlepas berkata tentang ini. Laila melihat keindahan, terbawa riang oleh angin yang meriapkan rambut yang akrab disisirnya. Berganti lampu dan seiringan beberapa kereta dengan arah lampu beradu arah.

Tiada pertanyaan untuk Laila mengenai sifatnya yang agresif dan liar, tetapi masih boleh menyangkal pendapatnya tentang persoalan hidup manusia dan kebebasan. Liberalism. Humanisman. Semua hanya pertanyaan pilihan seorang wanita seperti Laila. Sesaat Laila sedar, bahawa dia lahir dan dibesarkan di sebuah komuniti korban pasca moden. Dia cuba menuju beberapa arah, mencari rakan-rakan untuk berkongsi masalah. Dahlia bukan tidak mengerti Laila memiliki tarikan dan isi kepala yang berbeza dengannya mengenai puisi dan penulisannya. Lagi-lagi persoalan kemanusiaan dan politik dan fungsi aktivisnya. Dahlia hanyalah temannya yang kebanyakan menjadi pendengar setianya. Dahlia mungkin tidak banyak membantu, Dahlia sendiri sedang belajar dari dia.

"Laila, kau penulis kolum majalah Mannita itu, bukan? Kau berbicara mengenai sampah! Tidak semua sampah yang melingkari hidup itu, boleh dimusnahkan begitu saja, Lia," Aku cuba membangkitkan semangatnya.

"Contohnya, plastik dikonsumsi masyarakat mencapai satu juta setengah ton. Taruhlah, tujuh kilogram per kapita termasuk jenis sampah yang tidak boleh dilebur dalam tanah. Berasal dari lapan ratusan fabrik pembuatan produk mengandung bahan plastik. Plastik memang sebuah kemasan atau bahan yang disukai kita. Ringan untuk dibawa, tahan perubahan alam. Tidak mudah terurai. Tetapi yang perlu dipersalahkan adalah konsumen, kerana menghasilkan sampah domestik. Seperti kita" kataku jelas. Menangkap setiap kataku kepadanya.

"Dan sampah juga adalah sebuah hukum alam, setiap aktiviti yang dilakukan insani. Seperti pohon yang meluruhkan daun-daun tua, seterusnya adalah fungsi mikro-organisme. Semuanya bermanfaat sebagai penumpang hidup bumi," Dia melengkapi bacaanku. Lalu aku lihat dia tertawa. Lepas.

"Jangan fikir sesuatu yang susah," Ujarku.
"Cubalah untuk zikir, fikir dan ikhtiar dan tak terlalu banyak dipersoalkan, mengajak mereka jalan penyelesaian."

Tidak adil rasanya apabila aku hanya membayangkan Laila adalah type orang yang mementingkan kulit daripada isi, sebab dia juga memiliki kedalaman tertentu. Dia penulis rencana dan novel. Laila sering mendapat undangan untuk deklamasi puisi dan diskusi rencana kolumnya. Sebelum itu, dia juga pernah menjadi wartawan, bahkan terlibat dengan satu eksperimen jurnalistik menarik. Namun kerana itulah dia bertemu jodohnya dengan Edwind, seorang lelaki Inggeris yang sedang merintis profesion sebagai sutradara filem dokumentari di dalam industri television Inggeris.

Kami menerobos angin. Panas siang telah usai. Sisa matahari menguap di awan hitam. Jacket Softball New York Yankees, yang membungkus tubuhnya melawan dingin di dadanya yang tebal terisi. Tetapi angin berkemampuan menyelusup jeans yang kupakai. Salah aku sendiri. Laila sudah mengingatkan risiko perjalanan sebelum aku merayuku minta dihantar pulang.

"Telah lama aku kedinginan, entah berapa lama. Mengejar hangat yang telah separuh jalan. Dinda,.." Tiba-tiba saja Laila mendesis. Kuat dan memancingku untuk tertawa.

Laila memang suka bergurau senda menghafal dan melafaskan dialog teater yang kami berlakon bersama ketika kolej dahulu. Abu rokok melayang, kelihatan nyalaan kemerahan, hilang menjauhi laju dikamar Laila. Menghisap wap air. Berlalu beriring angin.

"Kau tahukan Lia, bagaimana aku membawa Edwind dalam duniaku" Dia memandangku di atas pembaringan. Dahlia menganggukkan kepala, lambat-lambat.

Dulu, Laila sudah mengandung, Laila dan Ed telah rasmi menikah. Bukan kerana ketelanjuran itu, namun kerana urusan birokrasi yang menyukarkan proses pernikahan antara warga negara menjadikan mereka menikah tanpa sijil. Ed mengikuti Laila masuk agama Islam, setelah mendapat jaminan tiada paksaan melaksanakan ajaran agama yang bertentangan dengan hati nuraninya. Justeru, kata Laila kepada kekasihnya, Islam itu merupakan agama hati nurani.

Waktu itu Laila meyakinkannya dengan menekankan bahawa Islam adalah rahmat untuk alam semesta. Seperti seorang ahli fizik Laila menjelaskan setiap atom zat di alam semesta ini terdiri dari nukleus, yang dikelelilingi proton dan elektron. Dan putaran proton dan elektron yang tanpa henti itu adalah sembahyang Islamnya atom itu. Seperti seorang ahli astronomi juga dia menggunakan metafora peredaran planet mengitari matahari dan menyebarnya bintang-bintang digalaksi, sebagai contoh apa itu Islam. Namun katanya Ed lebih tertarik ketika Laila menjelaskan Islam menggunakan bahasa alam, puisi, bukan keterangan ilmiah.

"Seperti daun jatuh."

"Apa?"

"Islam. Islam itu wajar, fitrah, seperti daun jatuh. You know... like a leaf falling."

"No. I don't know. Apa itu a leaf falling hubungannya dengan Islam?"

"Ya daun jatuh itu wajar. Natural."

"That is different from the Islam I have read about!"

"Yes. Banyak misunderstandings kepada Islam. Orang cuma tahu potong tangan, bunuh, keganasan. Tetapi sebenarnya Islam really is gentle."

"So we should get married then!" kata Ed, ketika Laila menyoal hubungan mereka yang makin mendalam dan perbualan mengenai agama dan kebenaran spiritual lainnya. Bagaimana mereka berdua menjelajah kota dan desa, gunung dan lembah dan pantai-pantai di timur Britan?

Di atas perahu tradisional yang berkemudi bermotor melaju di atas gelombang laut, kedua sejoli itu memeluk antara satu sama lain dan berdiskusi tentang jiwa, Tuhan, cinta, dan hubungan mereka.

"Isn't this hypocrisy?" tanya Ed, menuntut penjelasan.

"Hypocrite? In Islam, it means munafik."

"Is munafik,..hmm.. It can't be!"

"I still think that it is hypocrisy. What was it? Munafik? I think it is munafik to believe Islam but not live it."

Laila seperti murung, dikatakan munafik oleh Ed, menusuk perasaannya. Bukan kerana perkataan Ed itu mengada-ada, namun kerana benar apa yang dikatakannya. Ed pun merubah pokok pembicaraan.

"I want to swim with the dolphins! There are dolphins here, you know? I want to swim with the dolphins!"

Laila pun tersenyum, lega perbualan mereka berganti dari masalah kemunafikannya dalam hidup beragama. Dia tidak berpendapat apa-apa, tetapi hanya berharap agar benar-benar ada lumba-lumba, agar Ed tak kecewa. Fikiran Ed kembali introspektif, kerana ingat tuduhan munafik yang dilontarkannya tadi. Maka dia berkata lagi;

"I think that we should get married."

Laila merasa suatu yang kompleks kejiwaan berhubungan dengan didikannya semasa kecil, yang diasuh penuh kasih sayang di dalam keluarga kelas pertengahan yang terdiri dari seorang ibu yang ramah, dan seorang ayah yang pendiam lagi sangat hemat. Kini, Ed pulang, membawa seorang isteri. Pada asalnya Laila datang berkunjung kerumah Ed. Difikiran Ed, Mum dia akan masak apa? Apa yang perlu dibincangkan? bahkan kedua ibu bapanya, Mum and Dad, akan menyoalnya seribu satu persoalan. Mereka tidak pandai bergaul, dan hanya berbincang-bincang mengenai masalah-masalah biasa dan percakapan umum seperti kelakuan para tokoh opera Inggeris yang sangat popular seperti Coronation Street dan East Enders. Mendengar bahawa Laila adalah seorang penulis dan aktivis demokrasi, mereka membayangkan bahawa Laila adalah seorang Nelson Mandela dari Malaya. Pada mulanya Dahlia tergelak besar mengenai andaian ibu bapa Ed.

"Semasa Mum and Dad Ed berbicara denganku seperti janggal, mereka tahu aku seorang penulis dan bekas wartawan, dan mereka membayangkan aku ini sangat intelektual dan sophisticated. Mereka juga mengandaikan aku mempengaruhi Ed sehingga masuk Islam. Imej Islam di benak mereka terbentuk oleh ketidaktahuan, tidak pasti --ignorance-- yang dikeruhkan lagi oleh mental masa lalu yang kolonial dan industri kontemporari yang menguasai kepentingan tertentu. Jadi mereka membayangkan Islam itu rejim yang ganas, bom bunuh diri dan keanehan. Ed sering merasa khuwatir, jika memikirkan aku akan memasuki alam batin kedua ibu bapanya, yang sudah berisi latar belakang bias seperti itu."

Aku mengelengkan kepala. Tanda aku tidak setuju dengan kata-kata itu.

Hari ini dihujung minggu disaat merehatkan beban lelah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan kedatangan seorang wanita dan perempuan sepertiku pada tepat pukul 4 petang sambil berjalan menjinjing beg disepanjang jalan kecil, disaat cahaya merah remang perang, sekacau-kacaunya ingatan, aku masih dapat rasakan bahawa ada beberapa lelaki yang memandang kepadanya dengan hati memuji kecantikannya. Laila sahabat lamaku semasa dikampus dahulu, seorang periang dan rupawan menjadi rebutan. Dia bercerita mengenai suaminya yang curang. Aku hanya mendengar keluhan dan dugaan yang hadapinya keseorangan. Menerima takdir diciptakan untuknya.

"Dahlia bagaimana kau rasa bahagia hidup seorang diri tanpa sesiapa disisimu, aku lihat kau tiada masalah dalam mengharungi hidup ini bersendirian, kau masih mencari siapa bondamu?" Laila membuka bicaranya setelah hening kejap seketika memenuhi ruang kesunyian ini.

"Ahh…bagaimana rasa bahagia itu. Bagiku bahagia itu sifatnya terlalu peribadi. Jadi apa yang kurasakan pasti berbeza dengan yang orang lain rasakan. Persoalan ini sukar tetapi aku sendiri tidak pernah mendefenisikan bahagia. jadi aku tidak tahu ertinya. Barangkali aku bahagia kerana tidak pernah sibuk mencari-cari, apa itu bahagia. Daripada sibuk mendefenisikan bahagia, aku memilih cara yang lain dengan menempatkan bahagia itu di mana. jadi, aku juga boleh meletakkan situasi yang sederhana sebagai bahagia. Ini sifatnya peribadi. Yang terasa denyutan rasa bagiku, belum tentu berdenyut rasa padanya. Aku menempatkan bahagia itu pada situasi yang sementara, kecil, dan saat-saat gembira. Jadi, aku memilih tidak mencarinya. Bukan kerana tidak ada, atau sulit ditemukan, melainkan kerana kebahagiaan itu tidak berada di mana-mana."

"Laila...kalau aku mencari sesuatu, biasanya aku pergi ketempat-tempat yang jauh, yang tersembunyi, yang sukar ditemui. Kalau aku menempatkan bahagia, aku tidak perlu ke mana-mana, tidak perlu merasa memiliki apa-apa, tidak harus berusaha menjadi apa-apa. bahagia itu kesannya bukan sesuatu yang harus aku lakukan untuk memenuhi hasrat orang lain. Bahagia itu juga tergantung di mana aku ditempatkan. kalau pada kebendaan, itu bahagia yang penuh nafsu. Sama dengan bahagia orang yang lapar, yang selesai ketika kenyang. Kemudian akan lapar lagi? Situasi yang berbeza dari saat aku belum punya sesiapa."

Hari ini cinta datang mengetuk
Tapi pergi sebelum pintu sempat dibuka
Berapa ya jumlah orang yang dapat mendengar suara hati??
Selama ini kita telah tumbuh dibuai dongeng klasik
Dimana cinta adalah kunci kebahagiaan
Tapi kenapa kita tidak pernah tahu
Bagaimana mencari cinta??
Apalagi mengetahui saat bila cinta datang
Disaat ini aku berharap "Andai Ia Tahu"

Aku bangun menuju keruang jendela bingkai menatap angin malam diluar itu duduk tergeletak di sudut kamar. Sementara lampu redup diluar perumahan jalan bersinar masih sudi memberikan sekerdip cahaya. Matanya lelah menatap. Hanya daun jendela memancing pandang, melambai-lambai di luar sana. Laila terbaring lesu menelan ludah kata-katanya untuk persoalan yang tidak pernah terjawab.

"Dahlia… dulu aku berjaya menakluki dan dapat membuka hati terhadap pandangan setiap lelaki, tetapi apabila bertengkaran dengan suamiku tadi umpama terik yang membangkar leliang roma. Sehingga menimbulkan perpisahan? Ketika aku bercinta dan bertemu dengannya, dia juga memandang aku dengan pandangan seperti yang dipandangi oleh lelaki yang mengusikku tadi. Tetapi sejak akhir-akhir ini dia seperti seekor binatang bertopengkan manusia, setiap malam aku tidak bertemunya. Apakah yang dapat lagi aku katakan didalam hati terhadap lelaki durjana itu, ah!jangan dia merayu hatiku Dahlia. Aku ini menjad korban manusia seperti mereka dan kebencian tetap untuk suamiku!.

Laila menyambung tanpa kupinta.

"Betul aku pernah merasakan mengecap madu cinta bersama. Tapi kejadian itu sudah dua tahun dahulu, baru saja tadi aku bertengkar di dalam talian telefon. Sampai tidak terasa jalan yang berliku-liku ditempuh sudah jauh, tidak terasa tangan kejap sakit menjinjing beg kerana rasa sakit hati aku, sesungguhnya sakit digigit-gigit ucapan kasar yang keluar dari mulutnya. Seperti dia lupa terus terhadap pembaktianku sebagai isterinya, atau aku ini dipandangnya seperti perempuan jalang. Di kamar aku beradu domba tidur sendirian menanti-nanti kedatangannya. Hati siapa yang tidak panas, sekarang aku ingin menemui perempuan jahat yang menyebabkan terjadi perceraian dan aku kini mesti berjalan meninggalkan rumahku? Sayang, sungguh sayang, perempuan itu tidak pernah kukenal, Dahlia. Biar botol yang kupukulkan kepada suamiku tadi, kulemparkan pada muka perempuan itu! Biar dia mendapat bahagiannya, biar, sekurang-kurangnya mukanya pecah sebagai hukuman atas perbuatannya."

Matanya bertakung seperti takungan mangkuk air yang jernih dan berpusar masalah. Aku fikirkan seperti terasa patutkah menghukum perempuan itu? mengapa setelah melihat di hadapan mataku sendiri sedu sedan seorang isteri.

"Laila…bawa istigfar banyak-banyak, apabila kita manusia berada dalam sengsara kita menyedari bahawa siapa diri kita ini. Cintamu kepada suamimu..suci..berdoalah..nescaya tuhan mendengar setiap keluhanmu. Jangan bertindak mengikut keadaaan, kita yang mengawal situasi ini secara rasional. Berpegang kepada keadilan tuhan, jangan melepaskan nalar amarahmu mengikut hati yang penuh benci." Kataku cuba meluruhkan egonya dan demdamnya umpama memercikkan air didalam api yang sedang menyala.

Di sekitarku suara silang-siur kenderaan, dan Laila masih bertanya: ke mana mesti dia pergi? Sepatutkah dia menuju menaiki kereta api pergi kerumah ibubapanya?

Takdir telah tertulis Laila akhirnya bersendiri, kini dia berjalan pasti tidak semua manusia disekelilingnya akan memuji kecantikannya, tentu di antara mereka yang akan mencemuhkan nasibnya yang dipukul takdir yang tersirat sejuta hikmah harapan. Aku membiarkan dirinya melayani perasaannya yang penuh kucar-kacir denyutan.

"Dahlia, aku terbayang-bayang rumahku di depan mata. Tetapi suatu yang dungu, sebab rumah itu bukan rumahku, tapi rumah suamiku yang baru sekejap tadi menjadi bekas suamiku. Tetapi… dungu atau tidak, masakan seorang isteri akan lupa kepada rumah yang didiaminya selama dua tahun, dipelihara kesejahteraan setiap waktu, dan baru sebentar tadi, tiba-tiba mesti ditinggalkan? Padahal lelaki yang bertengkar dan berlaga leher mencederakan hati bukan lagi menjadi suaminya dan kini dirinya meninggalkan rumah yang menceriakan setiap wajah seperti bangunnya suria dipagi hari. Laila meneruskan …

"Apabila malam nanti tentu wanita itu yang akan tidur dengannya, perempuan yang dibawa, di atas tempat tidurku yang biasa dia tiduri ku bersamanya".

Aku teruja dengan dambaan wanita ini, kejam, sungguh kejam lelaki itu! Lebih kejam lagi perempuan yang akan merebut tempatnya. Akhirnya aku memujuk tinggal bersama aku, dan Laila dengan hati bersepai dengan ditemani awan-awan yang semakin kelabu hitam kelat bersama berat menakung airmata, bersetuju menemani diriku yang sentiasa kesunyiaan diusik sepohon kapas randu. Disaat ini, aku melihat cinta dan benci begitu berbeza, tapi sungguh tipis jaraknya. Hanya dibatasi oleh selembar rambut. Empedocles, seorang ahli falsafah dari Sicilia, berkeyakinan bahawa ada dua kekuatan yang bekerja di alam ini. Dia menyebutnya cinta dan perselisihan. Cinta mengikat segala sesuatu dan perselisihan memisahkannya. Inilah yang mempengaruhi unsur-unsur yang terdapat di dalam tubuh manusia. Pada akhirnya tergantung pada kekuatan mana yang menariknya kuat.

Sehinggalah suatu pagi sedang hangat mataku menatap secangkir nescafe, dua keping roti bakar dan sebuah envalope kecil berwarna pink. Di dalamnya ada secarik kertas. Dan aku cuba mencari dirinya pada setiap huruf yang terangkai menjadi kata dan kalimat.

To : Dahlia sahabatku,

Maafkan aku apabila aku datang sekejap. Dan maafkan pula apabila waktu yang sekejap ini dapat membuatmu kembali terluka mengingati saat ketika episod ceritamu yang tidak kesudahan. Tidak ada maksud hatiku untuk melukaimu kembali dengan ingatan tentang kita. Aku hanya ingin menghibur diriku dan disebalik semua cerita dukaku mengenai kecurangan suamiku, aku ingin kau memaafkanku saat ini. Biarlah cerita ini menjadi nisan bagi kisah yang aku kuburkan. Hadapilah hidup dengan berjalan di atas tanah bukan menguburkan diri pada sepi sahabatkui. Dan ketika kita masing-masing berjalan pada waktu, mungkin suatu saat kau akan temukan sebuah nisan dan cerita yang tertera adalah kisah yang menjadi kenangan yang telah kau dan dilalui. Aku beristirahat di situ dan kau akan lalu berjalan meninggalkanku. Biarlah aku menjadi nisan, dan kau akan datang menziarahku.

Dahlia sahabatku yang baik, yang selalu bercerita dan membangkitkan kembali kegembiraan yang dulu pernah hilang. Hari ini aku bercerita dan takut mengecewakan kau, sahabat baikku. Kerana aku tahu apa erti kehilangan. Dan aku tak ingin senyum di wajahmu akan berubah berganti kedukaan. Mungkin sebelum segalanya mengalir begitu jauh dalam perasaanmu. Aku ingin kau tetap tegar dan riang menjalani hari-hari mu.

Saat aku menulis ini tubuhku semakin melemah, hari sudah merapat ke senja. Matahari menyisakan kilau jingga di langit biru kotaku. Akhirnya aku ceritakan juga perkara ini Maafkan aku kerana menyimpannya. Aku sangat berterimakasih telah mengenal kau sebagai sahabat baikku. Kawan saat aku jalani hari-hari lalu. Entah apapun ertiku bagi mu, aku berterimakasih kerana telah membuatku berasa bererti dan telah menjalani hidupku ini. Lia, aku tahu apa erti kehilangan. Hal yang tidak kita mungkiri dalam kenyataan hidup kita. Tapi percayalah kenyataan datang membuat segala sesuatu menjadi lebih bermakna dan memiliki sebuah erti. Tersenyumlah Lia, aku ingin kau tetap riang dan tegar jalani harimu. Sekalipun aku tak akan dapat membalas jasamu.

Aku datang ke kota ini kerana suatu perkara. Setelah aku tinggal beberapa lama denganmu yang penuh pendirian dan prinsip kehidupan, betapa bertuah badanmu Dahlia, setabah dan sekukuh tembok imanmu terhadap cinta sesama manusia. Tidak manis saat aku ucapkan di hadapanmu. Mungkin kau akan menjauhiku bagai bangkai atau meludahiku. Aku terkena HIV oleh suami dan lelaki durjana yang menjunamkam tombak luka yang mencabut nyawaku bila-bila masa sahaja. Mujur aku keguguran dan tidak punya zuriat, tidak aku mahu benarkan zuriatku melihat dunia. Kini aku cuba lari dan cuba mencari tempat terbaik di sisi tuhan ini. Mengikut Peter kekasihku yang ingin berada disisi apabila nafasku tersekat-sekat untuk terus hidup. Aku berada di kota London berusaha meneruskan hidup dengan proses perubatan. Walaupun mungkin itu mustahil.

Andai suatu saat kau temukan nisanku, torehkan kata-kata seperti kau torehkan digurisan intaglio dengan sebuah syair cinta yang indah untuk ku. Seindah karya cinta Hakim Nazimi, penyair sufi Laila dan Majnun yang sejati. Mungkin syairmu itu diguriskan di amra intaglio untuk ku. Di kehidupan berikutnya, ajarkan aku akan syair-syair itu. Biarlah kita bersama menciptakan pujian bagi Tuhan di syurga kelak. Terima kasih kerana sudi menjaga diriku disaat itu. Kau terlalu indah untuk setiap kumbang, Dahlia.

Dari aku Sahabatmu yang datang dan pergi,
Laila


Sekelebat otakku melayang, akan rindu sebuah persahabatan. Perjalanan yang mungkin akan membangkitkan diriku untuk bersyukur untuk semua saat-saat indah. Cukuplah dapat membangkitkan diri, berjalan tanpanya kelak. Bersiap menghadapi kenyataan apabila aku menjumpai dirinya di saat aku terjaga. Seperti mimpi yang hilang di pagi hari.

Aku tentu tahu erti kehilangan. Ketika seseorang yang bererti pergi dari hidupku? Tetapi apalah erti kehilangan apabila dihadapkan pada kenyataan? Kita hanya bisa menerima. Tapi..bukan kebangkitan yang kudapatkan kini, sebuah kematian dihadirkan bagiku. Bukan dalam syair-syair, tetapi dalam hidupnya menjelang ajal yang kian pasti. Ooh..duhai alam……

Tiada ulasan: