Sabtu, Januari 14, 2006

Selembar daun yang luruh dalam keheningan malam, melayang diiringi tasbih ranting dan rumputan. Akhirnya jatuh dalam dakapan kehangatan hamparan tanah merah merekah. Selembar daun yang tanggal dari rantingnya, mungkin kerana hembusan angin atau lanjut usia, tidak akan terjadi tanpa kehendak dan pengetahuan Yang Mencipta. Demikian pula detik-detik hidup, berpusing dalam putaran yang telah ditabalkan perlakuannya bersama sesaat kalbu ditiupkan. Kemudian saat usia menanjak dewasa, ada sebahagian hidup yang ketika riuh rendah mendera, merasa didera kesepian. Tentang separuh jiwa yang dijanjikan Nya. Namun gerhana telah menjelang, sang belahan hati tidak jua datang. Di manakah gerangan yang dijanjikan menimba kenyataan. Pertanyaan mengundang dengungan sejuta lebah. Di manakah lagi ikhtiarku yang masih lengang. Mana lagi doa-doa yang belum kulafazkan. Di mana malam tiang-tiang hembusan lafaz doa belum ditegakkan. Bersama sebuah janjiMu. Kemanusiaan sibuk membilang. Intelektualiti tekun mengurai analisa dan jawapan. Segala jaringan telahku cuba digunakan. Tetapi tetap belum ditemukan. Di mana gerangan separuh jiwa dan hati yang disembunyikan? Aku adalah kepingan-kepingannya. Keunikan peribadi menjadi liku-liku tepiannya, yang atas rahmatNya berusaha mencari ketepatan pada kepingan manusia-manusia lain. Lalu saat bertemu serpihan itu. Mencakar-cakar. Menghempas-hempasn. Bila tiba saat bertaut menjadi setapak saputangan. Sebenarnya hati tidak berbentuk. Tetapi adalah sebahagian dalam hidupku. Hati yang abstrak, tetapi merasakan kehadirannya. Tabiatnya hati yang sangat elastis. Menyempit hingga sebesar zarah. Akan meluas melebihi cakerawala. Hati juga seperti satelit. Seakan-akan rambulan. Tidak mampu memancarkan cahayanya. Ia hanya bercahaya apabila matahari menerpanya. Hati yang dibentuk tanah liat diambil dari lumpur dosa. Aku tidak tahu siapa yang telah menitipkan pisau di dada ini. Mengalir darah bergerak keras seperti lava yang menjelma granit. Tidak ada cerlang bercahaya. Tiada redup malah gelita seperti bermalam di dalam gua. Maka hati adalah sebuah kamar, jangan disesak dengan aneka isi. Ilmu hati adalah keagungan untuk memahami erti izin Mu akan kehendak Mu terhadap manusia kecil Mu ini. Ya Tuhanku izinkan aku untuk meminjam teluk hatiMu untuk menjadi muara aliran sungai mungil amanah Mu. Izinkan aku untuk hadir kepadaMu dalam setiap gerak perempuanku.


Sebuah khayalan diikat erat dalam rimbun hati akhirnya dipangkas, namun tepuk sorak nafsu yang menggebu-gebu membawa parah jiwa dan hati menjaga. Maka khayal pun melayang didalamnya memanasi hati.

Tiada ulasan: