Isnin, Januari 23, 2006

Lelaki itu duduk menyandarkan tulang punggungnya dikerusi kayu. Lengan kemeja hitamnya digulung searas siku. Tangannya mendakap di atas dada. Manik kelam matanya menatap tajam dari bawah alis tebalnya yang hitam. Tidak dengar suara keluar dari mulutnya. Ada lima orang di sekitarnya riuh rendah saling mengutarakan perbincangan. Dia hanya meyungging senyum di sudut bibir. Memandang diluar jendela terbuka. Ada lalang menegak beratap langit, berselimut tanah. Dia ingin mencabut lalang. Dia meninggalkan jelaga orang ramai itu. Dia pungut lalang kerana itu mewakili lukanya. Lalang tidak pernah berguna dan dianggap sebagai pengganggu walaupun sebagai ciptaan ia ingin memberi erti lebih kepada keharmonian ketuhanan. Patah, dan disingkirkan, dipijak dan dibinasakan menjadi mangsa korban ketamakkan. Lalang menjadi lagu wajib yang didendangkan di lembah kesepian. Namun lelaki itu rindu simfoni keindahan yang bernyanyi di pelatar hati, dia mengharapkan kepada lalang kerana ia akan segera mencorak senja kelabu hati dengan tarian dan nyanyian meski hatinya merintih perlahan-lahan. Kerana lelaki itu diulit kocakan fikiran dalam lajur-lajur yang dia rencanakan. Rasa yang ada kepiluan menyelimuti rasa hatinya. Fikirnya tidak layak kalau palu kerap luput menumbuk paku. Dan kerana bentuk merah jambu itu adalah hati. Kondisi hatinya yang berdengung-dengung. Persis lebah terbang menyerang. Menjadi-jadi pekikkan palu itu. Mungkin ini satu petanda putaran kegiatan yang mekanistis telah mementalkan sisi kejiwaan ke kemarau yang terlalu dingin. Tenaganya tidak mampu dilawan oleh jiwa yang pada dasarnya memang mudah diterpa dari waktu ke waktu dipapar hal-hal serupa luka. Antara raga dan jiwa tidak lagi disambung. Dia gelisah dan kini dia cuma termangu-mangu. Sebuah senyum tersirat yang tersembunyi. Dia ingat pembalasan tidak memberinya apa-apa. Hanya tinggal rasa pahit, sepahit langkah kakinya yang tidak lagi sempurna.

Tiada ulasan: