Khamis, Januari 19, 2006

SEKEPING ROHANI

DIA masuk ke dalam bilik, duduk di bangku tengah hampir dengan jendela. Sambil menyalakan kipas berputar di atas kepala, mengarah hembusannya ke badan. Meluruskan tulang punggung, lalu disandarkan ke kerusi dan nikmati setiap pandangan objek yang berlarian di balik bingkai jendela. Tanah yang berdebu, atap-atap zink yang berkarat dipanggang matahari, ranting-ranting kering dan segala daun-daun membisu. Mendung berat menggantung. Menahan lelah hujan yang tertumpah ruah. Sejam yang lalu azan maghrib berkumandang menghantar malam. Sepanjang jalan sesak dengan kenderaan berderet menjalar tersendat-sendat mengukur jalan. Kebosanan mulai melanda para penumpang. Apalagi apabila didera dengan udara mendung yang membawa perih air yang turun. Dalam pusaran badai seperti ini, dia percaya sepotong papan itu ada di sana. Di luar dirinya. Diri sendiri seperti tidak lagi bererti, tidak lagi punya kekuatan. Seperti sebatang pokok pisang yang hanyut di aliran sungai. Lemah, pasrah dan tidak berdaya. Tiada berkuasa. Dia merasa bahawa dirinya telah tiba di titik nadir yang muncul pada remang kesedaran, berkelibat dengan sinaran dalam cahaya terang. Semua seperti pelbagai warna yang keluar terbias. Sedangkan cahaya beraneka spektrum warnanya. Kesempitan serta kelemahannya tentu tidak mampu menanda yang mana cahaya yang sebenarnya. Oleh itu apa yang perlu dia harapkan dalam kemurahan setitik cahaya. Sedangkan, semuanya sudah punah dan musnah. Hanya tinggal setonggok diri berserta sekeping rohani yang masih menyertai diri. Kerana dia tidak pernah meminta. Kerana dia diadakan untuk mengabdi. Ketidaktentuan seperti ini adalah berkah oleh-Nya, tidak dibayangkan bagaimana dia memulakan perjalanan. Maka semesta alam dan inderanya telah bersorak. Menyusunnya menjadi huruf, menatanya membentuk kata serta membariskannya menyerupai kalimat. Semestinya mengeja kerana dia telah belajar bahasa semesta. Dan malam pun berputar seperti putaran roda berwarna hitam. Berlalu di bawah langit mendung yang termangu-mangu. Kerana dua kali dia kehilangan halilintar. Kerana manusia berhati malam telah mencurinya.

Tiada ulasan: