Khamis, Februari 16, 2006

Pada detik yang terhenti, dia diutuskan untuk membunuhnya. Menghunus tombak beracun yang akan menjalar tubuh yang menegang membiru. Mata itu meninggalkan dendam, senyuman akan berbuih. Habis perkara didunia nyata tidak cukup luas bagi mereka berdua. Sekarang aku mahu dia mati sendiri. Detik seperti telah terhenti. Angin menahan nafas, binatang hutan meringkuk di gua-gua gelap yang lembab. Mereka sedar, malam ini akan ada yang terbunuh. Tapi, siapakah yang menjadi mangsa? itu menjadi tanda tanya?. Melihat dengus lelaki itu, seperti melihat Simson yang meremukkan beratus-ratus kepala serigala dan singa. Matanya merah seperti lautan larva yang akan menghanguskan semua jilatan yang dilewatinya. Awan hitam berbisik perlahan-lahan menyesakkan ghairah, tidak berani menyentuh geseran dipermukaan langit. Menjadi lembayung samar di hujung malam. Matanya lelah menatap kaki bumi, tubuhnya memberikan bayang-bayang kegelapan. Ruang-ruang waktu seperti lambat berjalan, nadinya terasa berdenyut lirih. Perlahan-lahan merembat detik waktu. Perasaan berapi kebencian itu telah membentuk lembaga hitam yang bersandar pada batu besar itu. Tangannya berkepal-kepal seakan matahari telah digenggamnya, dan hidup menghamba pada kakinya. Tetapi ada satu perkara yang mengusiknya, adakah dia hantu kehidupan malamnya?.

Aku harus membunuhnya, bisiknya perlahan-lahan. Dia tidak pernah merasa seyakin ini. Dan matanya masih mencari mangsa buruannya, tetapi malam sungguh pekat. Bayangan-bayangan samaran itu sudah melekat di tubuhnya, atau mungkin tidak ada lagi tubuhnya diperdu bumi, hanya sebuah lembaga yang duduk diam mematung. Tidak ada waktu lagi, sungguh aku telah dijajah oleh sejuta mimpi yang ditawarkannya. Aku muak oleh kerinduan janji esok pagi atau pertemuan yang berhenti oleh gerhana semusim. Bisikan suara lembutnya kini adalah muntahan keluhnya, lukisan tangannya yang mengusik dadaku adalah bukan lagi tebaran bintang yang berkerlip-kerlip. Kerana aku tidak lagi memerlukan bintang-bintang itu, gunung berapi sudah cukup banyak aku telan. Dari mataku ada bara merahnya, anak sungai telah hangus olehnya, air mataku telah lama mengering. Haruskah aku takut dalam kegelapan? Seribu tanda tanya menyapa tak berjawab, hanya angin yang datang dan berlalu. Tangannya mengelus tombak, sejuta kebencian tersusun pada serpihan-serpihan yang membentuk gagang tombak. Hujungnya adalah logam meruncing yang bersinar, bukan lagi syair-syair indah yang mendamaikan hatinya suatu ketika dulu. Tetapi mantra-mantra sang pembebas kehidupan, ayat-ayat sakti pemberian sang dewa kematian. Dan racun itu melekat erat pada hujung tombak, bisanya akan menghentikan mimpimu, bisanya menyingkirkan sejuta keinginan. Kerana membiarkan dirimu menelan mimpi akan membuatmu mati, ya mati kelaparan, seperti cinta yang telah basi ditanganku. Lelaki itu telah muak oleh rindumu dan dia tidak ingin membuatmu dungu oleh ilusi cintamu. Racun itu menjalar perlahan-lahan, memberimu kematian, menistakan bayangan cinta yang jauh dulu telah dibuang di sungai yang kering di pinggir jalan pulang menuju keabadian. Langit masih hitam, awan tidak bergerak duduk termangu. Bintang-bintang tidak lagi memukau bersama kelamnya panggung tempatnya menari. Angin seperti penat, siulannya kini tidak lagi jelas. Angin engkau takut? Atau tidak sabar akan kematian yang akan ia sembahkan? Di Timur gemuruh menderu, suara perang telah bertalu. Bala tentera angin bergerak, dadanya membusung gagah, derapnya menyentuh pohon-pohon cemara yang limbung ke kiri dan kanan. Mereka menapak turun dari puncak pertapaan pada lereng-lereng gunung keabadian, berlari-lari penuh kepastian. Persembahannya telah disantap oleh mereka, dan pintanya seperti bersama lolongan serigala di puncak bukit.

Musuh yang dinanti tidak dapat lari lagi dari bersembunyi. Hawa amarah lelaki itu telah membakar senyumannya di tengah kegelapan. Angin mengusir awan-awan gelap itu, sekejap melemparkannya ke seluruh penjuru. Dan kini mahluk itu tidak lagi mampu bersembunyi, dia menggigil sendiri. Sebuah tombak telah terayun kencang, angin menghantar kepadanya. Pada dadanya yang membusung penuh. Dan bulan seperti mati di hujung malam. Kini tidak ada lagi tipuan mimpi. Bulan telah menabur racun-racun pengharapan. Dan itu membius para pemimpi-pemimpi, mereka kerasukan oleh janji-janji setiap malam. Para penyair tidak perlu menyusun bait-bait dusta tentang kemolekan bulan yang pasti memiliki pengharapan, hanya sebuah sinar di samudera kegelapan. Dan tidak ada lagi cerita akan indahnya sinar rembulan, hanya mayat-mayat busuk yang menanti kebangkitannya oleh mantra sinar itu. Burung hantu menyimpan semua rahsia suara alam itu, matanya membelalak menatap segala dusta, dan manusia memandang penuh sayu menelan impian. Bulan telah membuat kemarahan lelaki itu semakinmenjadi-jadi, bulan menghentak mataharinya. Sang kekasih yang bukan lagi pemimpi. Matahari sudah mula membakar sedar dan menerangi jalan yang tidak lagi meraba-raba. Malam ini tak perlu ada tangisan, kerana awan kelam telah jauh diusir oleh sang angin, dan mendung tidak lagi datang, baginya mahupun para pemimpi. Dan pada detik yang terhenti itu lelaki itu membunuh bulan. Sang pemimpi.

Tiada ulasan: