Isnin, Mac 13, 2006

MERPATI JINGGA

-1-

kebiasaannya dinding siang sentiasa sama. Siang ketika burung-burung merpati kelihatan dibalik pohon-pohon maple dan mematuk-matuk remah-remah di lantai tanah. Lindungan siang disaat ketika hijau daun maple seperti rona kontra warna langit yang pucat. Ini adalah musim dingin, ketika siang telah panjang. Dan sesungguhnya, aku tidak selalu menyukai waktu siang. Kerana siang selalu menghadirkan keramaian. Tidak diwaktu senja.

"Are you Philippine?"

Sebuah suara membuatku berpaling. Seorang lelaki muda yang kurus melengkung. Warna rambut kecokelatan. Dan mata hijaunya seperti menari-nari jenaka. Entah berapa lama dia duduk di situ, di hujung bangku yang kududuki. Aku menggeleng malas.

"Malaysian?"

Aku menampar mata beningnya dengan tatapan jengah. Aku orang melayu, dan apa kau mahu? pentingkah asal-usul bagimu? Kenapa tidak kita berdiam diri saja, tanpa mengetahui siapa dan dari mana kita? Kami seperti terdiam, seperti tersekat di sudut rongga yang sunyi.Vee. Di manakah kau? Tengoklah, aku gagal menyelami aroma kesunyian yang pekat ini. lelaki kulit putih itu masih menatapku sambil menggoyang-goyangkan kasut ketsnya di atas tumpuan lututnya yang menonjol kekar. Udara yang terang dan jernih mengambang di bola matanya yang redup dan hangat. Sesungguhnya dia tampan dan menarik. Tetapi, apa yang berbeza dari setiap jejaka? Mereka sangat pandai memikat dengan keramahan yang tersembunyi keangkuhan, kelembutan yang menyimpan kegarangan. Kerana mereka sebenarnya tak sebenarnya ingin singgah.

Tangannya mendekap lengannya, seperti mendekap keheningan. Betapa pucatnya tangan itu. Terlihat kekar otot-ototnya. Betapa mengerikan. Aku menggigil, seperti teringat sesuatu.

"B! Hei, kamu sudah kenal, ya?" Vee muncul tiba-tiba begitu saja dari satu sudut tanah lapang hijau yang membentang di hadapan kami. Mukanya kemerah-merahan, tapi kelihatan berbinar riang. Rambutnya melayang dihempas angin, menyingkapkan anak-anak rambut di pelipisnya. Aku menhembuskan nafas lega.

"Sebenarnya, kami belum saling mengenal," sahut lelaki itu bersahaja.

"Come on, Chem," Vee mengedip-ngedip matanya ke arahku. Seperti biasa, aku tidak akan menolaknya.

"Chem,..Chempaka," sahutku perlahan. Secepat mungkin melarikan anak mata.

"Such a beautiful name!" lelaki itu menyahut kagum.

"She"s my cousin," sambung Vee riang.

"Wow! I can't believe it! Kamu berdua sangat berbeza."

"Baru enam bulan dia di sini. Dia murid tahun pertama," ulas Vee lagi. Matanya mengedip-ngedip ke arahku, seperti berbisik, katakan sesuatu! Tetapi, aku diam saja. Aku melengahkan waktunya, kerana mata lelaki itu terus-menerus menelanjangiku. Kukerling Vee. Dia menghulurkan seiris besar sandwich ke arahku.

"Lunch?" tanyanya pada B.

"Thanks."

"Vee," kataku setengah merintih,

"kita balik dulu?"

"Kenapa?" Vee membelalakkan matanya.

"I have a stomach-ache," bisikku sambil merintih pedih.

Vee mengangkat bahunya, "Sorry, B"

Seekor burung merpati melintasiku ketika kami meninggalkan B yang termangu di sudut bangku itu. Aku menghembuskan nafas, seperti mengangkat beban berat dari dibenak dada. Siang itu, aku kembali mengenal sesuatu dari banyak lelaki. Begitu serupa. Aku dan Vee. Kami begitu berbeza. Aku adalah Pluto yang tenang dan tenteram, dan dia adalah Venus yang hangat meletup-letup, seperti akan meledak. Aku dingin sebeku gunung, dan dia riang seperti ombak. Vee, tubuhnya padat dan mengiurkan. Kulitnya putih dan rambutnya bersepuh warna tembaga. Dia enggan berbahasa melayu. Tubuhnya, seperti busana dan aksesori yang melilit tubuhnya, adalah tubuh orang-orang kebaratan, Eropah. Otaknya, mungkin otak Amerika. Padahal, ibunya lahir di gunung siantan, dan ayahnya, seperti juga ibuku, lahir di perairan delta kirana. Namun, Vee lahir di Boston, dan tumbuh membesar di Chicago, Mexico, dan Paris. Zaman remajanya dibesarkan di Belanda sehingga kini. Mereka pulang ke tanah semenanjung emas sekali-sekala, kerana ayahnya seorang diplomat. Vee memiliki kecantikan, kecerdasan, dan kebebasan.

Sedangkan aku, selalu diusik mimpi-mimpi buruk. Aku hanya memiliki 5 tahun yang hilang dalam kehidupanku. 5 tahun yang samar-samar, kerana sememang aku sama sekali tak menginginkannya pulih kembali. Dari mana aku, Ibu? tanyaku lungu. Hanya sebuah mimpi buruk, katanya. Tetapi, muka Ibu begitu pucat, tubuhnya begitu kurus. Aku hanya mencium bau busuk petaka, pada raut muka Ibu, dan kerut-kerut tua di wajah Ayah. Dan aku seperti orang asing yang dilontarkan oleh mesin waktu. Pasti aku berasal dari masa lalu. Kerana, tiba-tiba aku mendiami sebuah rumah yang asing. Rumah tak pernah kukenal, yang dihuni orang-orang yang kukenal. Kau ingat rumah kita dulu? bisik Ibu di telingaku, bilik kamarmu yang berdinding biru pucat, yang dilapis kertas dinding motif kerang samudera kesukaanmu. Kamarmu yang baru ini kami yang lukiskan. Mungkin kau tak suka, tapi kau boleh mengubahnya. Yang pasti, semuanya lebih baik kini. Ya, rumah ini lebih baik. Tentu saja, kerana rumah yang dulu menyimpan petaka. Aku tidak tahu petaka apakah itu. Tetapi, petaka itu kerap mengunjungiku dalam mimpi-mimpi aneh tak berbentuk. Tubuh-tubuh menyeramkan yang seolah akan mencekik dan membunuhku. Dengan itu, aku membenci malam hari, kerana kegelapan seperti menyembunyikan kejahatan.

Akhirnya ayah dan ibuku mengirimku ke sini, ke sebuah negeri yang mempunyai 4 musim, berhias tulip warna-warni, yang orang-orangnya penuh dengan nostalgia cinta yang akrab. Vee akan menjagamu, kata Ayah dan Ibu selalu. Sememangnya perjalanan yang terlampau mahal untuk melenyapkan kenangan sebuah petaka. Aku menurut sahaja, tanpa bertanya. Walaupun aku tidak tahu, mengapa mesti aku diasingkan, dan tidak diberi kebebasan. Tiba-tiba saja aku menjadi membenci lelaki. Entah mengapa.

"B itu baik, Chem. Baik... dari mataku!" Vee disebelahku menjentik perasaan.

Suaranya diiringi derap lirih kereta api. Di luar jendela, rumah-rumah pertanian dan kebun-kebun gandum seperti bergantian. Holandspuur di Den Haag dapat ditempuh hanya dengan 45 minit dari Amsterdam. Oleh sebab itu, aku tak ingin kehilangan pemandangan ini.

"Jadi kenapa kalau dia baik?" kataku, mataku masih tega tak beranjak dari jendela.

"Dia mengagumi wanita Timur, sepertimu. Katanya, mereka itu eksotis. Dia cuma mahu berteman. Kau takkan menolakkan?"

"Siapa kata? Aku hanya tiba-tiba merasa sakit perut. Itu saja." Vee menghela nafas pantas, hembusannya terdengar berat di telingaku. Vee, kenapa susuk tubuhnya tidak eksotis bagi B. Dia sudah lebih Barat dari orang Barat sendiri. Aku tahu, dia tidur dengan Martin. Rakan-rakan juga tak tahu bahawa teman lelaknya berganti-ganti. Vee tahu, bagaimana memanfaatkan tubuhnya untuk segugus kenikmatan, sensasi kejalangan.

"Chem, kau tahu, apa yang kamu inginkan sebagai perempuan?" tuturnya lemah. Aku menatapnya. Sungguh, dari samping, siluet wajahnya bagaikan tarikan garisan lukisan surealis. Begitu lugas, begitu artifisial. sukar untuk diteka.

"Penghormatan, atau penghargaan?" tuturnya lagi.

"Entahlah, Vee. Mungkin perasaan semulajadi sebagai perempuan."

Kerana aku merasa kosong, dan kesepian.

"Kau tahu, kau inginkan teman sepertinya." Ya, tetapi bukan B.

"Perasaan itu untuk lelaki, Cham"

Udara beku, dibekap dinding dilorong-lorong bawah tanah di luar jendela. Akhirnya, aku masih menyimpan rasa lengah ini. Aku tidak genap sebagai perempuan, aku tahu itu. Namun, aku ganjil mempunyai lelaki, kurasa. Sebahagian dari diriku memang sudah hilang, sejak pertama kali aku menyedarinya.

Tiada ulasan: