Jumaat, Mei 12, 2006

2 DIMENSI

VI


Dia agak terkejut mendengar Mi yang sedang memasang lampu dinding minyak tanah, berbual denganya.

"Silakan masuk. Isteri saya masih dengan anak-anak dikamar mandi"

Dan dia terasa lebih janggal lagi apabila ditinggalkan duduk sendirian diruang itu dengan jendela, dan pintu-pintu semua terbuka. Diluar senja telah turun, tetapi biru langit tetap masih kelihatan.

Matanya agak liar memandang kamar sekeliling. Kamar dari bambu yang dianyam yang ditampal kertas-kertas suratkhabar lama, yang sudah terkoyak dibeberapa tempat, tikar tus yang ditutup langsir nipis, kerusi rotan tempatnya duduk yang sudah tua, sebuah meja tempat makan dan empat kerusi yang senget-benget. Sebuah almari makan yang pintunya terbuka sebelah, dan didalamnya hanya ada piring dan pinggan mangkuk usang, dan beberapa buah raknya kosong sahaja.

Dari belakang didengarnya suara Mi bercakap-cakap dengan isterinya, dan suara perempuan menyahut, teriakan suara kanak-kanak kegirangan bermain air. Dan dia merasa bertambah janggal dalam bilik itu dengan jendela dan pintu-pintu yang terbuka, tidak terkunci.

Dia melangkah berdiri dijendela, dan melihat keluar dan ganjil benar perasaannya. Dan ketika mendengar langkah dan suara Mi berkata,

"Silalah duduk, kita minum teh dahulu. Sekejap lagi isteri saya datang"

Dia terlompat sedikit terkejut, dan seakan-akan dia merasa bersalah berdiri dijendela terbuka.

Dia duduk dimeja bersama Mi yang menuangkan teh panas ke dalam cangkir, menyendukkan gula pasir berhati-hati. Dan mereka berdua menghirup teh keluaran boh ada ummp itu. Sukar dia memulakan biji kata-katanya. Dia duduk diam-diam, kedua-dua tangannya memegang cangkir teh yang panas. Akhirnya dia mendengar untuk sekian kalinya Mi berkata,

"Malam ini kau tidur saja dirumah kami. Esok pagi aku hantarkan kau di station komuter di KL Central . Jangan takut lagi. Yang sudah, sudahlah."

Ketika isteri Mi keluar mengendung bayi berumur setahun lebih, dan Mi memperkenalkan isterinya kepada orang itu. Dia bangkit berdiri, kaku berhadapan dengan wanita itu dan dia menghulurkan tangan kepadanya itu. Dia merasa janggal hendak membalas perkataan isteri Mi itu. Apa yang mesti diperkatakannya. Tempat tinggal selama dua puluh tahun yang terakhir ini tidak dapat dibandingkan sama sekali dengan rumah kediaman milik Mi itu.

Beberapa saat kemudian dia ditinggalkan Mi sendirian di kamar itu. Mi pergi ke dapur menuju kearah isterinya, dan tinggallah dia terpinga-pinga di kamar itu memegang cangkir teh panasnya yang telah hampir kosong.

"Ada-ada sajalah kau ni, memalukan aku aja," kata Mi kepada isterinya di dapur.

"Awak tahukan dia dah dua puluh tahun tinggal didalam penjara?" Isteri Mi menjerit kecil, dan Mi berkata terus:

"Dia pagi tadi baru keluar dari penjara, dan sudah menjalani hukuman dua puluh tahun disana. Dia akan kembali ke kampungnya nanti. Tetapi banyak urusan perlu diselesaikan dahulu disini, esok dia akan berangkat. Saya kasihan padanya, dan mengajak dia tidur dengan kita. Esok pagi saya hantar dia ke stesyen."

Isteri Mi memandangnya, kelu.

"Ah, jangan takutlah," kata Mi. Saya sudah kenal dia lapan tahun. Dia tidak akan buat kacau dan masuk penjara lagi. Dia dijatuhkan hukuman dua puluh tahun lalu kerana membunuh. Mengapa dia membunuh orang, saya juga tak tahu. Jadi, supaya awak tak takut, saya tidur di ruang tamu diluar bersama dengan dia, dan awak kunci pintu bilik dari dalam."

Ketika Mi masuk kembali ke kamar, dia melihat lelaki itu sedang membetulkan keadaan duduknya dengan menggoyang-goyang kerusi yang sudah hampir buruk dan rosak.

"Ah, kerusi itu memang sudah rosak dan kena betul dahulu, nanti saya ambilkan penukul dan paku" Kata Mi.

Mi pergi ke almari yang terbuka, duduk mencangkung dan mengambil sebatang penukul dan sekotak paku.

"Mari saya yang betulkan bangku ini." Lelaki itu berkata dengan segan-segan.

Mi memandang padanya sebentar, dan kemudian menyerahkan penukul kayu dan kotak paku. Dia memulakan pekerjaannya membetulkan kerusi yang goyang itu. Tetapi setelah selesai, diteruskannya memperbaiki ketiga kerusi yang lain, hingga selesai memaku kerusi yang keempat isteri Mi telah siap memanaskan sayuran di dapur, dan menyediakan makanan dimeja. Penukul dan kotak-kotak paku diletakkannya dekat dengan dinding, di sebelah almari.

Setelah makan dia duduk di ruang tamu, melihat Mi sembahyang mengqadha' sembahyang maghrib, dan terus menunaikan sembahyang Isyak, dan kemudian Mi masuk ke kamar tidur, dan dia hanya mendengar suara berbisik-bisik. Mi keluar membawa segulung tikar dan sehelai kain, dan menyuakan didepan matanya.

"Kalau dah letih, tidurlah dulu. Ini tikar dan kain," ujar Mi sambil tersungging senyum, kelihatan urat-urat dan tulang pipinya.

Dia menerima tikar dan kain, dan membentang tikar dekat dengan almari. Mi berbaring di ruang tamu itu. Dia menyedut rokok Dunhill Menthol, dan Mi memasang pipenya. Mereka berdua merokok dalam kesenyapan, bermain khayalan dengan asap-asap yang bermaharajalela diruang udara. Sedang di dalam bilik tidur anak Mi kadang-kala menangis, sambil dipujuk oleh ibunya, dan tertidur kembali. Perlahan-lahan suasana hiruk pikuk disekitar dan di rumah-rumah kejiranan yang lain bertambah sepi. Hanya sebuah radio dari jauh yang dipasang sayup menembus dinding batu rumah Mi, dan membawa bunyi muzikal nyanyian dari tanah seberang Boery Marantika merayu-rayu mengajak bulan berbicara.

"Apa yang kau nak buat, kalau balik di kampung?" tanya Mi tiba-tiba.

Dia terkejut mendengar pertanyaan Mi. Tidak dapat dia menjawabnya. Memikirkan jawapan pertanyaan itu pun tidak mungkin dia dapat lakukan ketika ini. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan setelah kembali ke kampungnya. Dua puluh tahun dia tidak pernah berfikir apa yang patut dilakukan sekarang, kelmarin atau esok. Segalanya seperti telah hilang kesanggupannya untuk berdaya fikir untuk dirinya sendiri. Sejak dia dilepaskan pagi tadi perasaannya tidak keruan. Dia membunuh orang ketika berumur tiga puluh tahun. Dia tidak ingat sebenarnya berapakah umurnya ketika itu. Apa sebabnya dia membunuh orang pun telah hilang dan lenyap dimamah usianya, yang hanya dia tahu hidup didalam penjara memakan separuh hidupnya, sehingga uban dirambut telah tumbuh, dan tubuhnya jadi kurus, tubuh orang tua yang bekerja keras, dan kurus tubuh yang mengandung kekuatan.

Kerana dia tidak dapat berfikir, dan fikirannya menjadi kacau dek kerana pertanyaan Mi, dengan tiba-tiba terdengar suaranya pendek dan seakan acuh tidak acuh, ketika berkata:

"Entahlah aku tak tahu lagi."

Ada sesuatu kandungan makna di dalam suaranya yang pendek itu membuat Mi berpaling dan memandang tepat kepadanya, mengedip-ngedip matanya. Tetapi lelaki itu tunduk memandang permukaan lantai batu yang kesat, sambil matanya menghala memandang penukul dan kotak-kotak paku di dinding. Kemudian Mi berkata:

"Sudahlah, apa pun yang kau akan buat, ingat jangan membunuh. Nanti masuk jail lagi"

Mi bangkit dan mengecilkan lampu, dan tidur menutup kepalanya dengan kain sarung untuk menghindarkan gigitan nyamuk.

Orang tua yang baru keluar dari jail sedang merenung terus ke arah dinding seperti tembus kedalamnya, matanya terbuka dan tidak terpejam-pejam menatapi bayang-bayang yang melintas di depannya. Pertanyaan Mi tadi membuat dia bertambah ganjil berada di luar penjara, dan kegelapan sekitarnya penuh bau-bau kejahatan, bahaya dan terancam baginya. Di dalam penjara dia merasa aman dan tenteram. Di belakang jeriji besi semuanya diatur baginya. Akan tetapi jendela dapat dibukanya, pintu tidak dikuncikan untuknya, kebebasan yang diberikan kepadanya setelah dua puluh tahun hidup dikawal atur dan di dicampakkan ke dunia luar penjara, membuat dia merasa kehilangan tempat berpijak, seakan dia seperti telanjang...... tiba-tiba ada suara-suara jahat mendekat, bau syaitan meresap, dengan ringan tangannya bergerak memegang penukul kayu, dia berpaling melihat Mi yang sudah tidur berdengkur.

Dewa Merah berbisik ditelinganya-"jika kau bunuh dia, kau akan kembali ke penjara."

Otaknya menjerit-jerit, dan dengan perlahan-lahan dia berdiri, mendekati Mi, mengangkat penukul, akan tetapi sebelum penukul itu dipukul dan dihentakkan ke kepala Mi, sesuatu terdetik tiba-tiba di dalam otaknya, dan perlahan-lahan tangannya turun kembali, dan kepalanya bertambah pusing dan pelbagai aneka gambaran pelik muncul dan dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi.

Dia melangkah hendak kembali ke tikarnya, ketika pintu kamar tidur terbuka, dan isteri Mi keluar menggendung anaknya dan berkata:

"Orang sudah tidur dia berak pulak....." Terhenti berbicara, ketika dalam gelap samar-samar dia melihat, dia berbicara bukan pada suaminya, dan ketika melihat lelaki tua memegang penukul, dia terkejut, dan membuka mulutnya hendak menjerit dan bekas banduan itu lebih terkejut lagi, dan melompat menutup mulut isteri Mi yang hendak memekik, perempuan itu mendorongnya, bayi itu menangis, bekas banduan itu menghayunkan penukul itu ke kepala isteri Mi. Wanita itu tersentak jatuh ke lantai, bayi terlepas dari pelukannya, menangis di lantai, banduan itu terus melompat dan menghayunkan ke atas bayi itu, akhirnya diam, kepalanya remuk. Mi tersentak bangun, berteriak, dan bekas banduan itu tersentak lalu melompat, menghayunkan penukul dan Mi sempat berteriak: "Engkau gilal"

Penukul itu memecahkan kepalanya, dan Mi rebah ke dinding, tergelincir ke atas almari, darah memancut-mancut keluar dari kepalanya yang pecah.

Di dalam rumah itu telah kembali sunyi, dan hanya terdengar laju nafas bekas banduan itu termengah-mengah dalam kamar yang gelap samar-samar.

Dia memandang keliling dalam kamar yang kelam, Mi yang pecah kepalanya, bayi yang remuk kepalanya, perempuan yang terburai isi otak kepalanya, dan penukul itu berlumuran darah di tangannya dan tiba-tiba dilontarkannya penukul ke arah dinding, dan berlari ke pintu.

Tetapi pintu didorongnya terbuka, memandang kedepan, dia terkejut dan mundur selangkah, menjerit ketakutan, dan kemudian ketawa tiba-tiba….kini didepan matanya terbentang ..tempat yang diidam selamanya..sunyi.

Tiada ulasan: