Isnin, Mei 08, 2006

LAILABURJANA

BARANGKALI inilah pertanyaanmu apabila kita bertemu. Tapi apakah ada jawabnya untuk ketika ini? Sewaktu-waktu badai diri meronta-ronta mohon dilepaskan. Sedangkan ketika mahu membebaskannya sudah menanti liang luka yang akan membuak darah. Kencang menggelombang. Menghempas hening diri. Barangkali juga kau tidak percaya semua itu berlaku kepada sesiapapun ketika tidak pernah digambarkan akan berakhir dengan kedukacitaan.

Kau akan tertanya-tanya tentunya, sejak akhir-akhir ini Bukan susah memahami peribadiku, katamu. Aksara-aksara yang kususun menjadi bahasa berirama menyelami dasar hati kecil ini dan juga yang membebani. Ternyata kau akan bertanya lagi dan lagi. Pada masa yang sama, betapa payahnya aku menyediakan jawapan yang spontan.

Hanya senyuman dapat kuhadiahkan ketika itu. Mata kita bertembung, sesekali. Tapi tentu saja di situ bukan tempatnya. Berada di atas jalan raya yang sibuk. Apatah lagi, kau baru saja tiba dari seberang. Mungkin bicara kita terbatas. Dan aku tidak banyak menyampaikan apa-apa. Mendengar pertanyaan demi pertanyaan.

Kau memang cool. Begitulah katamu. Benarkah? Maksudmu?

Mengapa aku kata begitu kerana memang kau sentiasa tenang, sabar dan paling kugemari, kau mudah melarik senyum meskipun buat beberapa ketika kau kelihatan murung. Menjadi seorang pendiam. Kau berkata dengan dirimu. Matamu redup tapi wajahmu.

Bagaimana kau tahu? Bagaimana kau dapat menjangka ada bicara di dalam kemurunganku? Kau ketawa. Keadaan itu meminta aku menghentikan kenderaan di tepi. Katamu, kau mengenaliku lebih daripada sesiapa. Kau harus tahu itu. Aku tergumam. Benarkah begitu? Sedangkan Laila, hanya namanya berada di atas segala-gala. Hati budinya?

Memang ada kebenarannya. Menghadapi apa juga perkara harus disertai ketenangan, kesabaran, kesediaan dan keceriaan. Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada anaknya, Fatimah - Wahai Fatimah, kau hadapilah segala pemberian dari Allah dengan bersyukur tetapi kau harus menghadapi apa pun sengsara dengan kesabaran. Betapa dalamnya rasa luka atau dukacita sekalipun tidak akan ada untungnya jika tidak disertai semua itu yakni syukur dan sabar. Memang itulah penawarnya.

Jika kuceritakan barangkali kau berasa bosan dengan ulangan-ulangan yang sama. Meskipun kau telah mengenaliku sejak lima atau enam tahun yang lalu. Sepertiku, siapa yang tidak kenal seorang yang mudah ketawa dan juga memberikan air matanya ketika suka, apa lagi ketika duka? Kaulah orangnya. Aku faham, bahasamu. Bahasa yang diam dan paling dalam. Namun semua itu tidak mudah ditandai orang lain kecuali mereka yang seakrab kita. Bukan juga Laila. Kadang-kadang aku mendengar gosip liar yang dilemparkan. Adakah untuk kita? Aku tidak faham dengan apa yang mudah difikirkan orang lain tentang orang lain yang kelihatannya rapat, intim dan sepadan.

Ketika bersetuju untuk bertemu minggu lepas, aku sungguh bahagia sebenarnya. Hilang juga dukaku. Sedikit terlerai hiba dan runtunan rasa yang membadai beberapa ketika ini. Tentu kau tidak sabar, apakah agaknya yang berlaku pada diriku? Memang dalam warkah-warkah yang kukirim aku tidak menyatakan keadaan yang sebenar. Aku khuatir kau akan turut gelisah.

Bila bertemu nanti aku sendiri tidak tahu di mana harus dimulai. Begitulah, ketika ingin memulakan sebuah cerita sebagai kebiasaanku, bukan mudah memulakannya. Barangkali aku akan berkata begini: aku ingin bercerita tentang kedukaanku kerana kehilangan Laila. Jika begini, tentu kau kata aku terlalu melankolis. Tidak bijak mengawal perasaan. Katamu lagi: bukankah hal-hal seperti ini lumrah, selalu berulang Barangkali begini saja: aku mulakan dengan kata-kata puisiku:

kembalikan kenangan itu kepadaku
Ketika kerap ini dihilangkan sunyi,
memandang arus melewati mimpi-mimpi,
taburan bunga-bunga,
sambil sejuta tanya hinggap
pada pohon-pohon yang rendang,
ketika kau berteduh disitu....

Mungkin panjang pertanyaanmu kali ini, Tapi percayalah aku semakin memperoleh kematangan yang lain, kedewasaan yang baru tentunya. Selepas melaluinya. Kegetiran demi kegetiran. Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma. Sedangkan aku tidak pernah mengaku kalah meski apa pun akan berlaku. Aku tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Seperti seseorang pernah berkata bahawa kehidupan ini sesungguhnya ada dua – yang menang dan yang kalah; yang ketawa dan yang menangis; yang gembira dan yang terluka, itu semua fitrah insan yang punya rasa. Tapi apabila terjadi salah satu daripada yang dua ini, apakah kita tidak akan mengalami yang satu lagi? Hari ini ada yang ketawa, esok kita belum tentu mengulanginya. Kerana itu, aku menganggap kelukaan tidak akan menjurangkan persahabatan yang dibina. Malah mengakrabkan seperti dulu, ketika menjauh dan mendekat, tetapi tidak berlaku jurang yang memisahkan. Ini kesimpulan yang boleh kuberi. Dan, kau kulihat seolah-olah percaya dan bersetuju. Atau sebenarnya kau sedang membawa fikiranmu lebih jauh?

Aku sebenarnya disemai keyakinan baru. Kehadiran pagi menjanjikan taman yang indah, diwangikan kembangan bunga dan hijau pohonan pengalaman. Sungguh bahagia sekali menghirup bayu lembah Tambalugu ini. Taman itu dibina daripada segala macam kenangan dan pengalaman lampau. Tawa dan tangis selepas meranjaui suatu penantian yang amat panjang. Penantian yang menggelisahkan. Banyak masa yang diluangkan untuk itu. Menanti sebuah ketidakpastian. Memang paling menduga. Mencabar kewarasan dan kewajaran.

Aku pernah menceritakan tentang penantian dan pertemuan itu kepadamu. Tentulah kau tidak lupa kisah itu. Ramai sahabat kita tahu tapi mereka tidak mengerti apa-apa kecuali kau sendiri. Kau amat memahami sebenarnya. Seperti juga Laila walaupun dia datang dan pergi. Sesekali singgah dari perjalanan jauhnya. Singgah melepaskan lelah dan duka laranya. Laila selalu mendugaku. Namun kesabaran ada juga had dan batasnya. Kau terluka kerana itu. Katamu cuba merentas alur rahsia hati kecilku. Aku tidak berkata apa-apa.

Kau mengingatkan aku tentang sebuah pintu yang pernah Laila singgah beberapa waktu dulu. Ada dunia yang lain di dalam pintu itu sebenarnya. Di dalamnya merupakan impian-impian Adam dan Hawa. Impian-impian semua manusia yang memiliki rasa. Namun aku gagal menjejakinya ketika tiba di hadapan pintu itu. Aku tidak boleh memasukinya kerana … Kau tidak ada kuncinya? Kau mengingatkan aku. Tidak begitukan. Bagiku, keikhlasan dan kejujuranku itulah kuncinya. Ternyata kau hadir tanpa kedua-duanya? Aku membaca semula bab kehidupan Laila menerusi pintu-pintu yang dilaluinya. Namun Laila tidak pernah berputus asa. Laila akan kembara di suatu ilusi ang tidak pernah berhujung. Dan kali ini seekor putera.

Benar. Laila berada dalam takluk Putera Belalang. Kau ingat Putera Belalang yang kuceritakan berdasarkan cerita penjaga pintu itu. Putera Belalang yang tahu hanya terbang dari padang ke padang. Entah keperkasaan apa yang ada dalam diri

Putera Belalang itu selain ketangkasannya terbang dan melompat serta kelincahan yang tidak dipunyai makhluk lain. Menakluki padang-padang miliknya yang lain. Putera Belalang akan bertindak apa sahaja hatta merampas kebahagiaan dan impian orang lain di antara padang-padang itu.

Kau pernah menjana mindaku apabila melihat perubahan pada mimik wajahku yang murung dan redup ini. Murung dan redup tetapi gelisah. Benar aku trauma ketika itu dan marah yang amat sangat. Tapi apalah ada pada seorang Qais. Pada hal Putera Belalang hanya wujud di dalam gambaran fikirku, itu katamu sambil ketawa lucu. Kau tidak mudah percaya kecuali masuk ke dalam pintu diriku. Tapi adakah begitu? Kau harus menyelami apa yang aku fikirkan bukan apa yang aku akan katakan semata-mata. Gelora kesedihanku hanya ternampak apabila aku tidak berkata-kata. Cuba pandang mataku dalam-dalam. Dekapkan jemarimu di atas dadaku. Degupan jantungku. Jalaran darah di setiap pembuluh darahku. Kau dapat rasai. Pasti.

Kau diam. Mungkin mengerti atau masih mahu mencari kebenarannya. Tapi aku melihat Laila dari jauh. Sesekali menemui ketika bersendirian, hanya dari jauh. Siapakah aku, bagaikan Qais yang merindukan Laila di luar pagar istana! Qais, si fakir yang kembara merentasi padang pasir yang tandus. Kau mengejutkan aku. Biarkan dulu begini. Benarkan aku mendekati kenangan itu. Menuju pintu itu untuk mendekati Laila.

Apakah maknanya semua itu?. Apa maknanya keasyikan yang boleh mambawa kau sesat di selokan, katamu lagi. Semua itu hanya rasa. Kau harus mencari keberanian dan keperkasaanmu yang sebenar. Jika dulu kau dinaungi keberanian yang lain, nah, sekarang jejaki keberanian yang baru. Fahamkah kau makna keberanian itu? Kau menyentuh bahuku sambil akhirnya tunduk tersipu. Tapi selepas itu kau kembali merenung wajahku.

Semua itu hanya rasa. Kau tahu mengapa rasa hanya ada di dada? Kau tahu tak, mengapa akal ada di kepala? Aku tergumam seketika mendengarkan ini. Kau tanya aku tahu? Memang benar di kepalalah akal itu bertakhta dan di dadalah rasa itu bernaung. Tapi apa kaitannya dengan diriku? Aku hanya ingin melihat jika tingkap mahligai itu dibuka Laila!

Kau bermimpi. Aku bermimpi? Tak mungkin. Aku masih sedar dan melihat diriku saat ini. Tapi aku juga melihat pintu itu. Aku seolah-olah membukanya dan memandang wajah Laila, memandang keintiman yang pernah dilalui bersama. Ini kukatakan padamu. Kau pernah juga berkata, perhubungan intim bukan bererti tanda pasti aku berjaya melepasi pintu itu. Mungkin sahaja pintu itu penuh dengan kedukaan, dendam kesumat dan lara. Siapa tahu. Dia akan keluar juga dan mencarimu. Semua ini akan berulang. Dengar kata-kataku ini. Kau juga mesti percaya bahawa pintu itu akan tertutup semula membiarkan dia kepada suatu kenangan lain. Berbekal seberkas pengalaman peribadi, dia akan datang kembali; paling tidak untuk memperagakan salam maaf! Maaf demi maaf yang tidak selesai.

Entahlah, mengapa kau sebaik itu. Tidak seperti kebanyakan yang lain, yang mudah menyimpan dendam mereka. Sepatutnya bunuh saja kenangan itu, atau kembalikan kepada asalnya. Malangnya aku tidak sekejam itu. Sudah lama ia menjauh meninggalkan aku mencipta sebuah dunia diri dan pintu itu untuk kutitip kemudiannya. Sesekali aku mendengar citra dan tragedi kehidupan yang runtuh, bangun dan runtuh semula. Selepas itu mencariku untuk sebuah keruntuhan yang lain! Memang, inilah perulangan yang kau maksudkan. Tapi apakah aku akan mengulanginya lagi?

Aku tidak akan berduka kerana itu. Aku tidak berhak untuk mendendami apa lagi sakit hati. Aku bukan siapa-siapa. Aku seperti insan lain, adalah kepunyaan mutlak Tuhan. Kita tidak berhak ke atas sesiapa. Jika kita terluka, bukankah itu hanya secebis kedukaan orang sebelum kehadiran kita? Duka mereka lebih parah. Aku bukan Abu Bakar. Bukan Umar Al-Khattab. Bukan Bilal. Bukan Amir Hamzah. Bukan Jose Rizal. Bukan Chairil Anwar. Bukan Anwar Ibrahim. Aku adalah diriku sendiri. Tetapi apa yang berlaku sekarang hanya cebisan kecil dan tragedi sengsara mereka semua. Tokoh-tokoh zaman lampau yang pernah melewati pusingan kehidupan itu.

Kau makhluk pilihan Tuhan, katamu lagi. Bersyukurlah untuk itu. Tuhan akan menguji kerana kasih-Nya Dia kepadamu. Aku terkesima mendengar hujahmu. Terima kasih. Benarlah bahawa segala ujian itu tidak satu tapi berbagai-bagai. Di tempat yang berbeza-beza. Pada masa yang berlainan. Iklim yang tidak sama. Juga, perasaan yang tidak mungkin serasa. Tuhan akan terus menguji sambil memberi pengajarannya untuk kita sedari betapa besar Kekuasaan-Nya.

Jangan alah kepada perasaan. Perasaan, seperti katamu dalam warkah yang kuterima baru-baru ini melalui e-mel, akan membunuh seluruh kehidupan, juga kenangan. Kita cepat alpa. Melupakan keberadaan kita. Melupakan sumpah yang dilafazkan. Kadang-kadang umpama kek. Kadang-kadang umpama lalang. Kek dan lalang? Kau berhujah lagi. Aku tidak lupa ketika kau mengutus surat kepadaku ketika hujan masih belum tiba di lembah ini. Mengapa manusia membeza-bezakan kepada penerima kek-kek itu. Seperti berlaku pilih kasih. Ketika bahagia, kek itu dipotong kemas, diletakkan di atas pinggan yang terpilih. Dan tiada cacat celanya. Apabila mula membenci, bagaimanakah bentuk kek yang harus dibahagi? Demikian juga apabila manusia diumpama lalang. Perasaannya, sebenarnya. Cepat berubah ketika ditakluki sentuhan angin. Mengikut bagaimana derasnya deru angin itu. Lalang yang melukakan. Memang lalang selalu melukakan, apabila kita alpa dan lalai. Tapi, apakah maknanya semua itu?

Aku bahagia, walaupun hanya seketika ketika memasuki pintu itu. Rupanya ada taman lain yang kuhidupkan di dalam pintu itu. Pernahkah kau membaca sebuah puisiku berjudul Sebuah Taman? Aku tidak akan pernah berputus asa. Meskipun Laila di atas singgahsana Putera Belalang itu. Penantian akan menjadi pakaianku untuk esok atau lusa atau sehingga tiba dekad yang seterusnya. Sebagaimana betahnya aku menanti sehingga Laila muncul ditingkap berjeriji itu selepas dua dekad berlalu.

Sukar untuk aku katakan apakah rasa yang sebenar dalam warkahku kali ini. Itu rahsiaku. Biarlah seperti orang lain, aku berhak untuk berahsia. Biarlah ia kuhuni dalam kamar diri. Dalam kesedihan yang teratas. Mengunjungi taman dan pintu itu, mengembalikan calar kenangan dan direnungi. Walaupun dia sudah berada jauh selepas mendekati antara satu. Tunggulah tiba pertemuan yang seterusnya.

Dan, pada hari itu, aku tidak sedar cuaca diri bertukar tiba-tiba. Mendung beralih ke arahku. Guruh, guntur dan kilat bersahut-sahutan. Dan, hujan mulai turun dengan amat lebat, memandikan lembah Tambalugu ini di bawah megah istana.

Di manakah Laila Burjana?



Tiada ulasan: