Selasa, Mei 16, 2006

KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN

Hidupku akhirnya dirombak besar-besaran oleh sesuatu yang tidak pasti. Aku tidak terlalu pedulikan, kerana sememangnya hidup adalah sesuatu yang tidak jelas. Tapi ketidakjelasan terkadang menyakitkan. Di sekolah rakan-rakan mengejekku "pergi masuk jail". Dan semua ini kerana media massa, beberapa hari ini foto ayahku terpampang di halaman depan suratkhabar, dengan teknik yg entah apa namanya. Di foto itu bahagian mata ayahku ditutup kain hitam, setahu aku ayah tidak pernah mengambil gambarnya dengan menggunakan kain hitam yang menutup matanya. Kelihatan seperti sebuah pertunjukkan sketsa yang tidak lucu, tetapi huruf-huruf yang tercetak besar-besaran dibawah gambar itu, huruf-huruf itu telah mencetak nama ayahku bersama sebuah jolokan barunya "PERASUAH". Aku teringat suatu kisah seorang dewi dari mitos Yunani kuno, Dewi Fortuna namanya, dewi keadilan yang matanya dibalut kain hitam, Dewi keadilan tak boleh melihat, hanya boleh menimbang, tetapi KEADILAN SELALUNYA BUTA? Bagaimana apabila pertimbangan dicurangi manusia? semalam ada seseorang menelefon bertanya dan mencari ayahku, dengan nada tinggi katanya, setelah telefon diletakkan putus ditalian tidak berwayar itu ayah menemuiku sambil melempiaskan amarahnya, "KALAU ADA ORANG YANG TELEFON CARI AYAH CAKAP SAJA AYAH TAK ADA!". Kejadian semalam bukan sekali berlaku bahkan baru-baru ini seseorang juga telah menghubungi ayahku, katanya dia anak menantu pak M, dia seorang peguambela, dia kata yang dia akan BERBUAT SESUATU untuk ayahku, "3 juta saja, katanya!!!". Sungguh mengerikan memang , tapi kurasa mereka itu bukan manusia, mereka serigala.

Peristiwa-peristiwa diatas memang tidak pernah ditulis di media, hanya ada dalam jurnalku, lagipun untuk apa ditulis, orang-orang tidak akan mudah percaya, semua ini adalah masalah kepercayaan. Media semua terlalu naif, mereka fikir telah menyuarakan kebenaran, mereka hanya berbicara sesedap perut mereka, tidak pernah berfikir menggunakan logik akal, tanpa pernah peduli nama baik seseorang. Tapi aku mengerti dalam business orang tertentu mengutamakan omzet. Suatu ketika aku membaca buku karangan penulis kesayanganku yang telah pergi selamanya dalam perjuangan yang tidak pernah selesai dinegaranya Pramoedya.A.T. beliau menyatakan "ORANG YANG TERPELAJAR ADALAH ORANG YANG ADIL SEJAK DARI DALAM FIKIRAN SAMPAI KEPADA PERBUATAN." Disitulah aku fahami, bahawa aku tidak lagi hidup di zaman jahiliyah yang hanya menduga-duga dan mereka-reka, aku hidup di zaman reformasi, dimana semuanya jelas dan transparent kerana memerlukan segala bukti, dizaman ini hukuman itu berkuasa. Dan zaman ini juga yang menjadikan semua yang yang bernama hukuman adalah mulia. Masyarakat mula dibanjiri impian propaganda yang Utopia, semua menjadi serba kacau, aku tidak pernah tahu siapa yang perlu dipercayai, aku sendiri tidak pernah tahu.

Sekarang ini rumahku kini berada dalam keadaan genting, semuanya serba suram, semuanya masih dalam suka dan tertawa ria, tapi ketawa yang berpura-pura, aku dapat merasakannya. Ayahku kehilangan hampir semua yang dia miliki, nama baiknya, dan kepercayaannya. Sedangkan aku kehilangan kebebasanku untuk sekadar menapak berjalan-jalan di tengah kota yang aku cintai ini, aku kehilangan kepercayaanku, kepercayaanku terhadap segalanya. Aku terasa ditipu oleh sesuatu yang tidak pernah aku tahu. Banyak benda yang telah dirampas dariku malah tidak pernah dapat diganti dengan imbuhan apapun. Tapi aku tidak akan pernah membenci orang-orang yang membenci ayahku, juga rakan-rakan sekolah yang menjerit kata "
pergi masuk Jail" padaku. Aku tidak peduli lagi. Aku tahu semuanya juga telah dirampas dari mereka, rasa kepercayaan mereka, hak mereka sebagai rakyat yang tidak pernah mereka kecapi, kerana pemerintahan yang makin runcing. Aku telah terjebak dalam stereotype pemerintahan mereka. Dan semua jadi serba suram, tidak dapat lagi melihat apa yang sebenarnya terjadi, seperti dewi keadilan yang matanya tertutup kain hitam. Dan aku percaya jika dalam kegelapan dan kesuraman ini ada orang yang tertawa-tawa senang, semoga orang itu dimaafkan Tuhan. Dan untuk aku orang-orang yang kehilangan, Ayahku membisikkan semua ini akan membawa pada suatu perubahan. Dan aku bangga padanya, kerana walau telah kehilangan segalanya, tapi ayahku tidakkan pernah kehilangan kehormatan dan harga dirinya. Kejadian inipun telah mengubah diriku yang rapuh menjadi diriku yang lebih kuat, aku telah dapat melihat dunia nyata yang sebenarnya.

Di jurnal ini aku bebas menuliskan segalanya, tidak ada yang dapat menghalangku, atau menuntutku, ini hakku. Aku memang tidak mengerti apa-apa, aku hanya menulis yang ingin kutulis, aku tak tahu apa ini benar atau salah, aku juga tidak tahu siapa yang perlu aku percaya. Aku hanya ingin menulis segalanya, lagi pun tidak ada yang akan pernah tahu kejadian yang sebenarnya, jurnal ini adalah saksi malah tidak pernah ditulis di mana-mana media.


Sekian.


Daripada,

ANAK SEORANG KORUPTOR

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sangat menarik, terima kasih