Rabu, Mei 17, 2006


GI 7: TAMAN SAMUDERA


Tujuan Dahlia hanya tinggal dua kilometer lagi. Keretanya mengurangkan laju lalu berhenti. Menanti lampu lalulintas menyala hijau kembali. Dari sebalik jendela kaca separuh terbuka dia menatap keluar. Melihat kesibukan pejalan kaki yang berlalu pantas digesa matahari yang mulai meninggi. Di celah-celah bunga-bunga kekwa yang bertebaran menawarkan aneka jualan disebelah jalan.

Bilakah kali terakhir aku melintasi laluan jalan ini? Mungkin 10 atau 15 tahun yang lalu. Atau lebih dari itu. Cuma samar-samar ingatan tergambar menampak gedung-gedung tua yang lelah tertinggal masa. Cat putih yang kusam, penuh kerumunan lumut subur tumbuh di alur alir air. Mengelupas dinding di sana sini, hitam kusam debu jelaga kenderaan. Aneka barangan bekas berserakkan sembarangan. Sudah saatnya berjuang melawan lupa.

Langkah Dahlia perlahan-lahan mengetuk lantai ruangan. Mengamati sekeliling dalam lensa kamera. Sudut-sudut yang suram dan mencekam. Sejenak jiwanya merasa bergoncang. Masih terbayang sisa-sisa tragedi kehidupannya dahulu itu. Dinding yang rengat meretak, langit-langit ruang yang menguak terkoyak, aroma ruang galeri yang membuat degup jantung gegas berdetak.

Minggu yang lalu Khairil Jauhari membawa khabar yang menggembirakannya. Ada sebuah rahsia yang disembunyikan Jauhari. Kisah bonda Ilse Lea dan pencarian dirinya dan bondanya tidak pernah pudar. Tetapi Jauhari memberi khabar pula sesuatu isyarat yang bakal menemukan jalan-jalan kehidupan bonda Ilse dan dirinya. Walaupun keadaan itu menyebabkan dirinya menjadi kurang kestabilan untuk dicernakan. Pemikiran, memori bonda Ilse Lea dan kemungkinan terus menerus bertemu berbentuk teka-teki terperinci menyarak dan berubah. Kenapa Jauhari bersusah payah mencari segalanya tentang bonda? Aku yang menyimpan tanda-tanya. Mungkinkah kerana cintanya atau membalas budi bonda?. Dalam meredah lorong yang tidak sempurna kenangan, maka milik orang lain turut dijejasi oleh kenangan sendiri.

Dahlia menahan haru yang tidak sanggup disembunyikan sendiri. Seperti kilau matanya yang tidak lagi bergemelap dan tidak banyak lagi senyum mengembang. Mereka, rombongan pesohor negeri ini yang bertandang ke lokasi sisa peninggalan sejarah. Lewat petang itu empat puluh hingga tetamu mengerumuni struktur konkrit British Council Jalan Farquhar. Beberapa orang tokoh seni tiba sejam sebelumnya untuk bersiap sedia untuk majlis yang penting ini. Karya-karya di serata ruang menambah kealpaan pengunjung dan pengamat seni. Ruang bawah sibuk. Lantai jubin antik dan tinag-tiang Cornthian bangunan ini menaungi keterujaan girang dalam hatinya. Dia bakal bertemu dengan seseorang yang penting dalam hidup bondanya.

"Kembali bola mata Dahlia bergerak ke seraut wajah yang dikenali. Mengarah paras seorang lelaki tua berbangsa Cina masih ada iras senyuman seperti gambar lusuh milik bondanya. Kurang dua meter di sebelah kirinya, mungkinkah dia? Dahlia mengamati seorang pelukis yang dengan kemahiran terlatih berbilang tahun sedang menuangkan adunan ke dalam cetakan tanpa terganggu oleh lalu-lalang kaki-kaki yang berjalan. Atau mungkin dia hanya sekedar melempar pandang. Sedang dalam benaknya sedang menghitung kalimat peristiwa yang bakal dia hadapi. Kerana dia terlalu sibuk dengan riuh fikirannya. Membikin harinya terkejut deretan ketawa yang tiba-tiba. Ah wajah itu, wajah yang dinyatakan Jauhari dipercetakan album bonda Ilse Lea dan keratan-keratan editor berita suatu ketika dahulu, kini tampak suram tanpa gairah. Entah mengapa tiba-tiba, lelaki itu menoleh.

"Cuaca cerah, baik sekali untuk perjalanankan Dahlia?" Tan Lee Hoo bersuara. Lelaki itu mendongak kepalanya kearah Dahlia. Memecah keheningan. Dia kaget seketika.

"Mr Tan, kenal saya?” Tanya Dahlia, lungu.

"Dari tadi aku melihat dirimu tercegat di ruang itu, kau tidak ubah persis bondamu Ilse Lea, sejak tadi aku terkejut dengan kehadiran kau, adakah Ilse Lea didepanku? Mungkin tidak!”

"Jadi, benarlah tekaan saya uncle adalah Mr Tan, sahabat bonda Ilse Lea?" ada girang di nada suaranya walaupun dalam keadaan masih keharuan dengan pertemuan itu.

"Ya, aku bersahabat dengan ibunya semasa aku melanjutkan pelajaran senilukisku di Academy of Fine Arts di Munich pada tahun 1964. Tetapi disiplin yang berbeza. Kemudian aku brhijrah ke UK dan bondamu masih disana, sehingga aku pulang dan mendengar bondamu berada di Malaysia pada tahun 1974 dan berkahwin di sini. Aku telah berada di Penang, mencurah bakti kepada anak bangsaku." Lelaki itu bercerita dengan tenang sekali. Sesekali lelaki itu meneruskan hasil kerjanya.

"Dahlia, Uncle tiada jawapan untuk persoalan-persoalan dimindamu itu, kemana hilangnya bondamu Ilse Lea, tetapi tragedi itu benar-benar menghantui uncle. Aku akan berikan sesuatu sebelum kau pulang esok, Dahlia. Sebelum itu, uncle mahu kau lihat di dalam ruang galeri ini, di suatu sudut ada peninggalan karya bondamu Ilse Lea." Lelaki itu bangun dan mengarahkan tangannya disuatu sudut bilik ruang galeri yang berbatu jubin yang indah. Tanpa tanya Dahlia menoleh kearah masuk keruang kecil disebelah kiri darinya.

"Taman Samuderadan semua ini adalah hasil kerja bondamu Dahlia, sebahagian karyaya dituangkan disini, semasa dia tinggal denganku dan menjadi guru senilukis pada masa itu. Mempamerkan kekagumannya terhadap alam semula jadi dan mempamerkan alam semula jadi seperti yang asal, terhadap keharmonian bentuk, dan ketelitian dalam setiap puisinya dan muzik. Ilse Lea memberi makna dalam satu nafas kerana puisi sebenarnya adalah muzik kata-kata, dan kedua-duanya berbicara dengan minda sambil memberi ilham kepada tangan. Gurisan yang diciptakan diilhamkan oleh muzik keroncong, cuba lihat karyanya yang menggunakan ungkapan-ungkapan seperti istana asmara, istana bunian."

"Aku sangat kagum dengan kewujudan watak-watak yang terdapat di dalam barisan pelakon samudera seperti selampit, tuan puteri, mahligai, mahupun lanun yang nampak lebih riang daripada daripada simbol ancaman di lautan samudera. Karya bondamu Ilse Lea amat dikagumi seluruh dunia, tetapi yang ini hanya ada dalam simpanan Uncle. Lihat karyanya Tiga Lanun, Penglipur Lara, Karun Puteri, dan Sangkar Lanun adalah idea tinggi Ilse Lea untuk memanjarakan udang dalam butir buih yang semuanya adalah penghuni dunia lautan dengan reda dan tenang seolah-olah menjiwai hero dan heroin Melayu. Ya, inilah dunia yang ceria dan riang yang bondamu lihat dalam koleksi ini malah seolah-olah satu dunia ghaib, satu dunia indah yang dihuni buih dan hidupan laut dan mutiara dan cangkerang halus atau bondamu pandang seperti mahligai-mahligai yang tergantung dalam satu lautan fantasi?"

Sekelebat otakku melayang, akan rindu perjumpaan ini. Sebuah keajaiban di pagi hari, pesona tubuh bondanya nyata mengingatkan waktu lampau. Keinginan untuk memeluk tubuhnya munkinkah akan terkabul. Benar yang apa yang Dahlia dilihat, dia harus melihatnya semula. Ada antara cangkerang tersebut yang nampak seakan-akan bangunan yang dibina oleh dan untuk manusia dan bukannya habitat ganjil dan ajaib hidupan laut. Dan sebahagiannya kelihatan mistik, seperti cangkerang dalam Ketibaan Puteri Sri Bunian dan dalam lstana Samudera yang nampak seperti binaan pagoda. Bondanya telah mencipta dunia halus yang tersendiri.

"Semasa mendengar muzik olah-olah angin dan api berlegar di sekitar bonda, sangat senang dengan perasaan demikian. Satu dunia halus." Tergiang kata bondanya.

Dahlia menyeka airmatanya yang menitis. Seperti jatuhnya mutiara kedunia. Perjalanan yang mungkin akan membangkitkan diriku untuk bersyukur untuk semua saat-saat indah itu. Cukuplah itu dapat membangkitkan diri, berjalan tanpanya. bersiap menghadapi kenyataan bila tidak kujumpai dirinya di saat aku terjaga. Seperti mimpi yang hilang di pagi hari. Tapi...bukan kebangkitan yang kudapatkan kini, sebuah kematian dihadirkan bagiku. Bukan dalam syair-syair, akan tapi dalam hidup menjelang ajal yang kian pasti. Apakah rahsia ini bonda?....


SAJAK PUTIH

Bersandar pada tari warna pelangi
Kau depanku bertudung sutra senja
Di hitam matamu kembang mawar dan melati
Harum rambutmu mengalun bergelut senda

Sepi menyanyi, malam dalam mendoa tiba
Meriak muka air kolam jiwa
Dan dalam dadaku memerdu lagu
Menarik menari seluruh aku

Hidup dari hidupku, pintu terbuka
Selama matamu bagiku menengadah
Selama kau darah mengalir dari luka
Antara kita Mati datang tidak membelah...-(Chairil Anwar)



Tiada ulasan: