Rabu, Jun 07, 2006

Gurisan Intaglio 10: KAITAN MANIK




Tengku Iskandar akhirnya lari. Larinya yang laju selaju-lajunya. Lari yang jauh sejauh-jauhnya. Laju meninggalkan lembah-lembah yang kaya dengan emas kenangan. Jauh menghuni dunia dosa-dosa yang lain. Dia telah meninggalkan dunia-dunianya yang palsu, memalsukan kehidupan masa lalu. Seseorang itu telah menanggalkan daki dosa-dosa menzahirkan benih-benih yang sudah mendewasakan zuriat daripada penat yang rela dan tak rela daripada pelbagai ragam manusia. Biarpun hitam legam dosa-dosa itu, besar dan dewasa jugalah semua zuriat yang sudah tahu mengenal dunia-dunianya.

Situasi seperti ini hidup tanpa kehadiran kepala. Kerana akalnya sudah tidak ada lagi. Kepalanya kosong. Kering kontang. Otak yang pernah ada pada kepalanya itu sudah beku sebeku-bekunya. Urat saraf-urat saraf yang pernah ada pada tubuhnya yang menghubungkan otaknya sudah tegang keras tidak dapat lagi diubah-ubah. Tegang dan keras. Keadaan ini tidak dapat dibayangi olehnya untuk memahami. Demikianlah untuk mengerti pedih. Pedih itu adalah manusia yang menyangka bahawa hanya besi saja yang boleh menghancurkannya. Sebuah logam lukanya. Di dalam kepalanya hanya logam yang mewujudkan kenangannya bersama Ilse Lea. Dia membuat garisan dituris dengan penuris, iaitu satu alat tajam berbentuk sendal yang digunakan untuk memotong garisan ke dalam plat logam, diguris dan dihakis ke dalam plat dengan asid supaya dakwat melekat di dalam alur-alur ini dan dipindahkan ke kertas untuk mewujudkan teraan reka bentuk gurisan intaglio.

Logam yang berkarat-karat itu sudah menghiasi ruang kepalanya. Kini sudah juga mempengaruhi deria-deria yang lain. Matanya juga. Mata yang dibantu oleh kanta palsu juga sudah dibayangi besi. Giginya juga sudah diwarnai warna besi, hitam legam dan karat. Telinganya juga pantang mendengar suara besi dibuang di merata tempat. Tangan-tangannya, kaki-kakinya malah punggungnya juga sudah dialahi besi yang sudah menjadi raja berdiri gah di hadapan kehidupannya. Tiada apa lagi yang dirisaukannya selain logam-logam yang jika tidak dapat ditemui akan menghancurkan kehidupannya yang kaya dengan sebuah masa depan yang menjadikannya senang lenang. Dibayanginya besi menjadi suatu nilai lain yang sering menghantuinya. Kini dia dihantui kerisauan-kerisauan baru kerana telinganya tidak lagi mendengar gemerencing besi logam dibuang di merata tempat atau dilonggokkan pada lokasi-lokasi khas. Matanya juga tidak melihat logam-logam di merata tempat. Tangan-tangannya dan kaki-kakinya tidak lagi menyentuh karat besi yang hitam legam. Hidungnya tidak juga menghidu bau besi logam.

Aduh! Gila-gila besi menguasainya. Tengku Iskandar, ayah Dahlia itu menggilai logam!. Rumah-rumah mimpi yang ngeri ditinggalkannya. Rumah-rumahnya juga telah roboh tatkala tiang-tiangnya diusik angin perubahan yang mendadak. Ditambah kehadiran anai-anai yang bernafsu. Itu tidak dipedulikannya lagi. Kerana apa pun tidak bererti, jika bererti pun tidak mungkin dapat mengembalikan sebuah kenangan yang bermakna. Makna kenangan hanya baik untuk suatu ketika di mana kehidupan itu memberi pulangan yang munasabah. Jika tidak memberikan pulangan yang mempunyai nilai apalah ertinya. Tentang kasih sayang Ilse Lea segalanya punah ranah. Maka biarkanlah anai-anai nafsu itu memamah-mamah rumah-rumah kehidupannya. Hati meraung-raung juga hingga habis segala air mata. Mengenang mata air yang dibebat paksaan-paksaan dan nafsu-nafsu buasnya.

Dirasakan pedih, memang pedih. Seperti rama-rama yang hinggap ke pohon demi pohon memohon perlindungan. Sama ada memberi atau diterimanya manis, putaran hidupnya sudah ditentukan bahawa dia hanya tahu untuk terbang, singgah dan terbang semula hinggalah segala bulu pada kepaknya gugur satu demi satu. Dan dia tidak tahu nikmat terbang untuk dirinya lagi. Pandangannya samar. Hatinya meraung-raung menahan sebak dan kepedihan. Dijelajahinya setiap lokasi pembuangan. logam tidak juga dinampakkan. Logam tidak juga ditemui lagi. Jangan anggap idea ini betul meskipun barangkali benar. Fikirkan saja tentang besi atau otak besi yang dipunyai seseorang yang sudah tidak tahu makna nilai. Apabila sudah tidak dapat membezakan keluhuran hati budi, besilah menjadi perimbangannya. Bukan emas. Bukan perak. Bukan juga intan berlian.

"Dahlia, beginilah keadaan dan fikirannya sudah disesakkan sesalan-sesalan masa lalu. Oh, masa lalu sudah tidak mungkin mengenalinya, sebagai seseorang yang ramah dan boleh berkata-kata manis. Masa lalu jugalah yang mengubahnya menjadi seseorang yang serakah dan tamak haloba. Hilang punca untuk menegakkan pendirian. Sebuah dunia baru yang kononnya terpaksa dilalui. Terpaksa juga menegakkan semula rumah yang sudah runtuh. Terpaksa juga menerima ikatan walaupun ikatan itu berasal daripada tali-tali usang. Terpaksa juga mengikat tali-tali yang usang itu demi suatu kehidupan masa depan." Nendanya, Tengku Sabariah memandang wajah sendu anaknya yang hilang ingatan kerana sejarah masa lalu.

"Sampai bila nek, Dahlia mesti tunggu, melihat terus keadaaan ayahanda begini?" bening mata Dahlia. Melihat ke sedut kamar rumah nendanya. Dulu dia tidak selalu kesana. Tetapi kini nendanya menjaga ayahandanya yang sakit.

Di dalam bilik Tengku Iskandar dipenuhi lukisan kepingan gurisan milik Ilse Lea. Di sudut dinding berwarna peach itu terletak sebuah lukisan bertajuk Bilik Stor Di Rumah Panjang, Ensebang Baru, Sarawak pada tahun 1987 dan sebuah lukisan tergantung indah bertajuk Mahkamah, Kuching, Sarawak. Kedua-duanya dikerjakan tangan oleh Ilse Lea, kerana menghargai kesenian dan kebudayaan bangunan-bangunan di Sarawak.

Dahlia masih mengalihkan pandangannya kesisi, memandang nendanya Tengku Sabariah yang masih kuat dan bertenaga mengerjakan kaitan manik. Dia menghampiri nendanya yang sedang mengait manik-manik yang terkenal dan mudah didapati negeri kenyalang itu. Dia bersipuh di lantai kayu rumah itu dan mencuba mengait kaitan manik yang pelbagai warna dan aneka gaya.

"Dahlia, dengar nenda ingin sampaikan sesuatu, kaitan yang tiada atau missing link adala kerisauan tentang makna dan kesempurnaan. Sesungguhnya kehidupan itu sendiri adalah berkisar pada kaitan dan rangkaian diantara fikiran dan aktiviti manusia, masa lalu dan masa kini dan kenyataan. Bondamu Ilse Lea selalu memberikan makna dengan hubungan untuk memberi pengertian kepada kelakuan dan kewujudan kita. Kesinambungan yang membuat kita sentiasa berfikiran waras. Melakukan perubahan juga di anggap sebagai sejenis kaitan. Kait-mengait, sangkut-paut adalah satu yang kreatif. Inilah kebudayaan dan kesenian. Tiada metafora yang sesuai untuk menyatakan hakikat ini daripada manik-manik. Bondamu sungguh menghargai setiaps seni dalam kehidupan. Menjadikan seni itu yang membangunkan bangsa di dalam batinnya."

Dahlia mengangguk lesu. Mengiyakan pendapat nendanya.

Di dalam dunia Tengku Is, letupan itu berlaku. Bahangnya amat membahang. Daripada benda-benda kering hingga benda-benda basah. Daripada zarah-zarah yang tidak ada pada mata hinggalah kepada zarah-zarah yang telah membangunkan suatu bangunan alam. Daripada alam yang nyata hingga ke alam yang tidak nyata. Bayangkan darjah bahang letupan itu. Memamah segala-galanya. Segala-galanya menjadi tidak keruan lagi. Hancur lumat. Dan mendebu. Sungguh-sungguh. Berterbanganlah debu-debu itu. Menjelajah ke merata ruang. Ruang-ruang yang luas dan kurang luasnya. Ruang-ruang yang sejuk dan yang kurang sejuknya. Ruang-ruang yang hijau dan kurang hijaunya. Menjelajahlah debu-debu itu ke merata tempat. Dari bumi ke awan gemawan. Sebenarnya debu-debu yang sudah tidak dikenali masih berterbangan termasuklah yang hinggap pada logam amra cintanya.

Mengikut rentak angin yang datang. Ketika angin bergerak ke arah timur, ke timurlah ia. Ketika angin bergerak ke arah barat, ke arah baratlah ia. Ketika ditiup angin menuju ke arah utara ke arah utaralah ia. Ketika gerak angin menuju ke barat daya ke barat dayalah dan seterusnya yang tidak dapat diteruskan di manakah gerak angin itu sebenar-benarnya. Hanya selalunya angin itu pun bertiup tidak tentu hala. Debu-debu itu juga turut diterbangkan dalam keadaan yang tidak tentu hala.

Tidak kedengaran ratap tangis untuk debu-debu yang pergi itu. Ya, sekurang-kurangnya debu-debu itu juga dipunyai seorang ibu dan seorang ayah atau lebih. Meskipun mungkin dipunyai ramai ibu dan ramai ayah. Maka sepatutnya ramai juga sanak saudaranya. Tiada bahasa sapa atau selamat jalan untuk debu-debu itu. Debu-debu berterbangan dibawa angin. Debu-debu kembara mengikut rentak angin. Tidak siapa boleh menghalang kerana tidak siapa dapat memandang di mana debu-debu itu berada. Dan tidak siapa dapat mengenali antara debu-debu itu, bahkan. Hanya ada, ketika debu-debu itu hinggap di mata. Berairlah si mata itu. Si mata menjadi merah. Logam debu itu masuk ke dalam saraf otak hinggap ke kalbu dan berdetak-detak pedih itu. Air mata dan kepedihan menjadi mimpi-mimpi yang menghantui. Menjadi keping-kepingan yang bertaburan di lantai. Seperti debu-debu yang berterbangan di udara, di angkasa, melewati lautan samudera yang meranapkan cintanya. Logam kehidupannya juga gagal mengawal keutuhan dan harga diri untuk menjelmakan diri sebagai seseorang yang bernilai oleh sesiapa jua. Debu, logam dan juga kebosanan yang tidak mungkin digemari dan dimahui adalah muzik untuk lagu kepedihan tetapi ilmu untuk kewaspadaan. Dan kewarasan. Tengku Is, akhirnya lari dan tak menemui jalan kembali. Dia itu menemui dirinya di lembah-lembah yang sama berputar-putar, gugur dan bangun. Dan gugur lagi kemudian bangun semula bersama cinta yang gugur ditengah samudera lautan yang menenggelamkan jasad itu.

Tiada ulasan: