Rabu, September 20, 2006

Bab 1: Opera Hutan

tubuh pesona
bukan milikku
bukan milikmu
dia datang
membawa sejarah
yang tertulis
sang ratnadewi
primadona
pentas
inspirasi
lukisan, arca
lagu bersyair
penghibur alam
yang sunyi




ENTAH sudah berapa kali dia menyumpah dan entah berapa banyak perkataan sial dan celaka yang telah terkeluar dari mulutnya. Dia memangnya marah, kesal dan hampa. Sungguhpun pada mulanya agak sedar dia berada di tempat yang tidak wajar baginya mengeluarkan kata-kata yang kesat, tetapi kemarahannya membuat dia lupa. Dia terus menyumpah seranah. Setiap kali dia terlanggar akar, rotan atau apa sahaja yang hampir terdorongnya tersungkur jatuh, dia pantas menyebut perkataan-perkataan yang tidak seharusnya disebut apabila berada di perut hutan yang terpencil itu. Hatinya terus mati, kecewa dan hampa. Dia sedar, paling tidak, sudah tiga kali dia berpusing melalui laluan yang sama. Walaupun setiap kali dia cuba memintas denai yang lain, namun dia tetap sampai ke tempat yang sama.

Pengalamannya yang luas dan matang, tentang cara-cara merintis denai, belukar dan hutan rimba, seolah-olah terpadam langsung dari ingatannya. Tanpa melihat jam tangannya pun, dia sudah dapat menjangka hari sudah hampir senja. Dia bersendirian di dalam hutan. Kewajarannya sudah hilang. Keletihan dan kekecewaan menambah kedunguannya. Dia makin marah, marah pada dirinya sendiri. Dia juga marah pada alam dan kejadian yang menimpa. Sesuatu yang mudah, yang sudah menjadi kebiasaan dan kepakarannya bertukar menjadi sukar dan mencabar. Bukan sekali dia masuk hutan, walaupun sebelum itu dia tidak pernah bersendirian. Bukan sekali juga dia merempuh semak belukar, lorong dan denai. Hari itu segala-galanya bertukar.

Sejak rembang, setelah berpuas hati berjalan, dia mengambill keputusan untuk balik. Hatinya kembang bangga. Sendirian pun dia mampu menghasilkan shoot-shoot yang baik. Dia akan mengadakan pameran fotografi digaleri milik nendanya disini. Dia pakar cara atau modus operandinya bekerja dengan meneroka terus mengikut gerak hati tanpa hirau, untuk menemui dan menangkap. Walaupun menempuhi hal-hal yang tidak diduga yang timbul daripada penjelajahan ke tempat-tempat yang tidak dikenali serta peralatan yang hampir sentiasa tak betul, imej-imej hasilannya yang begitu ekspresif menjadi saksi kepada keazaman dan semangatnya yang tidak mudah luntur.

Mazin akan memasukkan semua gambar tersebut di dalam blog gambarnya. Dia antara penulis blog yang popular dengan novel-novel percuma untuk dibaca oleh peminatnya. Dia berharap novel-novelnya akan diterbitkan suatu hari nanti. Sesungguhnya, sekarang apabila seorang jurugambar pro sepertinya bercakap tentang sebuah gambar, biasa didorongi untuk menceritakan tentang kisah di luar gambar. Lazimnya dia akan menerangkan cabaran-cabaran yang ditempuhinya sebelum gambar boleh ditangkap. Akan ditunjukkannya dan akan diceritakan kepada peminat-peminatnya dan kawan-kawannya di majlis barbeku di rumahnya nanti.

Dipinggiran hutan ini kabut menjelma rupa, terbit hawa dingin yang meluruh dari lereng bukit. Kulitnya merinding di sapu angin dingin. Dia ingin kembali dirumah nendanya diMaxwell Hill yang indah dan menawan ini dahulunya tempat asal nenek moyangnya. Deretan banglo-banglo mewah milik peninggalan arwah nendanya yang mewariskan semuanya kepada ayahandanya. Dia terus berjalan diatas bukit hutan dengan diliputi oleh kabus tebal dan bunyi cengkerik dari hutan sekeliling terus matanya terpaku diatas keindahan pemandangan Bandar Taiping dari celahan awan-awan yang bergerak yang menambahkan keindahan semulajadi di Bukit Larut. Kedengaran dipuncak bukit desiran air terjun. Tetapi kenapa dia kemari?

Namun penemuannya dengan alam semulajadi yang tidak pernah dia temui sepanjang berjalan dikawasan tanah milik nendanya yang luas telah mengurniakannya kenikmatan. Dia telah dibawa secara kebetulan kepada tempat ini, Dia tertanya-tanya adakah ini mengarut, adakah dia yang mencari tempat-tempat ini atau tempat-tempat itu yang mencarinya? Adakah Mazin yang mendapat hal subjeknya daripada alam semulajadi atau alam yang memberikan kepadanya?

Mazin begitu gagah dan bersemangat, dia mengangkat modes operandinya bersama beg sandangnya. Kelika melangkah untuk keretanya, di tepi jalan pinggir hutan itu dia sudah berangan tentang majlisnya nanti. Daging panggang panas yang berminyak bersama sos Itali disempurnakan pula dengan wain Perancis akan menghidupkan suasana majlisnya nanti. Kawan-kawannya tentu akan memuji, akan melahirkan rasa kesal kerana tidak diajak bersama dan akan mengusik tentang kehebatannya. Mereka akan ketawa berpanjangan sehingga lewat dinihari di halaman banglonya.

Untuk mencari gambar lain, laluan-laluan lain pula dilintasi, dijagai oleh pohon-pohon yang berurat-urat dan disusuni oleh bayang-bayang gelap. Lorong seperti menjemput dirinya ke bahagian dalamannya yang suram, bahagian yang rasa ada di situ tetapi tidak nampak kerana pohon-pohonnya telah ditenggelami cahaya yang malap dan menjadikan bahagian itu gelap. Dia berhenti menangkap foto kerana tidak terdaya dan terpaksa berhenti. Lorong yang satu lagi pula membawanya melalui satu-satunya restu bumi iaitu pohon-pohonan.

Minat yang mendalam menangkap alam telah membawanya dengan tidak sengaja ke sini di mana Mazin telah berkesempatan menemui seorang tua dalam perjalanan dibelakang banglo nendanya. Bagaikan cerita dongeng, orang tua baik hati ini yang muncul entah dari mana telah membawanya ke anak bukit ini. Malangnya perjalanannya ke inti pencariannya tiba-tiba terjejas oleh kamera Nikon yang buat berhal pula.

Belum pun suku perjalanan ke arah lorong menuju banglonya, dia sudah merasai sesuatu. Lorong yang dilaluinya semasa tiba tadi, jelas tidak ditemuinya. Pandangannya menunjukkan keadaan yang begitu asing. Setelah beberapa ketika tercegat, memerhati dan memastikan arahnya, dia melangkah kembali. Namun setiap langkah selepas itu terus meragukan. Akhirnya dia berpatah batik ke tempat air terjun di atas anak bukit.

"Sial!" rungutnya perlahan, masih takut-takut pada pantang larang nendanya yang difikirkan tidak rational olehnya dan petua di hutan. Itulah kali pertama dia menyumpah.

Dia tercegat semula di tempat dia melutut dan menenang sasarannya sebelum itu, memerhati dan mengamati. Dia yakin laluan yang diambilnya sebelum itu memang betul. Lalu dengan kaki kanannya, dia melangkah, dengan harapan perjalanannya tidak akan menyimpang lagi. Namun seperti sebelumnya, belum pun jauh dia berjalan, dia sudah merasakan perjalanannya menyimpang ke arah lain. Tercegat dia memerhati, lama dan curiga. Setiap batang kayu diperhatikannya, setiap helai daun cuba diamatinya, ternyata sangkaannya betul. Sekali lagi dia tersalah jalan, dan sekali lagi juga dia berpatah ke pangkal denai.

Dia menyumpah lagi.

Pagi itu, awal-awal lagi dia sudah bangun. Ketika dia mandi, dia dapat mendengar orang gajinya sibuk di dapur. Sememangnya dia telah berpesan supaya orang gajinya menyediakan bekalan kerana dia akan keluar berburu pada pagi minggu itu. Orang gaji dan penghuni penghuni lain rumahnya sudah biasa dengan kebiasaannya. Hampir setiap hari minggu dia tidak ada di rumah.

Selepas lebih daripada dua jam menaiki keretanya melalui jalanraya kecil yang di bina semasa nendanya masih hidup. Memudahkan mereka kesana dibawah belakang banglo nendanya, barulah dia sampai ke tempat sebuah hutan milik keturunannya kerabat diraja yang pernah dikunjunginya dahulu bersama beberapa orang kawan. Di sebelah hutan pula adalah hutan simpanan negeri ini. Dia pernah diberitahu oleh kawannya, seorang pegawai kanan Perhilitan, bahawa dalam hutan simpanan yang luas itu terdapat banyak binatang buruan. Dalam hutan simpanan yang bersempadan dengan tanah nendanya itu, hanya ada satu penempatan suku Temiar. Namun, seperti yang telah direncanakannya, dia tidak menghampiri penempatan itu. Dia ingin bersendirian, ingin menguji keupayaannya.

Dia memilih suatu tempat yang sesuai untuk menyembunyikan keretanya di tepi jalan yang menjadi penghubung dua daerah itu. Sememangnya tidak ada siapa yang akan menyangka bahawa ada kereta yang ditinggalkan di situ, apa lagi mengetahui tentang dia yang bersendirian menangkap landskap hutan miliknya.

Bersama kamera dan beg sandang di belakangnya, dia bergerak yakin masuk ke hutan itu. Dia sudah dapat mengagak laluan sesuatu binatang dengan hanya melihat cara darn keadaan denai, daripada daun-daun yang terganggu. Parang buatan Sayung di tangannya digunakan untuk mencantas satu dua ranting atau daun-daun rotan yang mengganggu pergerakannya saja.

Dia tidak berani mencantas atau memotong lebih daripada itu kerana takut melanggar petua yang selalu dipesan bondanya yang difikirkan kolot tetapi dia masih mengingatinya. Matanya awas, memerhati dengan penuh waspada. Mata dan fikirannya harus bersatu, disempurnakan dengan segenap anggota lain yang harus peka kepada alam dan suasana rimba. Dia sudah begitu terlatih untuk menggunakan seluruh derianya. Andainya berlaku sebarang perubahan mendadak, dengan cara spontan dia mampu bertindak.

Matanya harus mengawasi setiap gangguan yang berlaku kepada daun-daun dan batang-batang kayu. Semasa kecil dia selalu dibawa berburu oleh datuknya. Jadi pengalaman bersama datuknya seharusnya dua dapat mengawal dan membezakan kesan-kesan yang terdapat pada daun-daun, sama ada kesan geseran mahupun ragutan, sisa rusa, kijang atau babi. Telinganya harus dapat mengasingkan antara bunyi satu binatang dengan binatang yang lain. Bunyi ranting patah, daun-daun kering yang gemersik boleh mengelirukan antara landak dengan pelanduk, antara rusa dengan babi. Angin yang dirasainya berhembus dari arah yang berlainan akan menentukan arah yang harus ditujui. Pendek kata, kepakaran perlu untuk memudahkan perjalanan. Kepakaran itu menambahkan lagi keseronokan kerana mewujudkan cabaran. Semua kepakaran itu ada padanya.

Dia melangkah terus. Laluan awal tidak menjanjikan apa-apa. Terus diredahnya belukar dan akar-akar, terus mencantas daun-daun rotan dan bertam. Nyamuk dan agas tidak mengganggu kerana selain dari bahagian mukanya, seluruh tubuh badannya dibaluti kemas, sehingga pacat pun tidak mungkin dapat memanjat. Mukanya pula disapu ubat pencegah serangga.

Dalam perjalanannya, dia dapat mengesan beberapa jejak denai. Namun tidak satu pun jejak denai yang menunjukkan jalan yang dicarinya. Begitu pun, kesemua jejak denai itu sudah agak lama.

Dia mula memperlahankan pergerakannya. Langkahnya lebih berhati-hati. Tiba-tiba dia berhenti. Tercegat dengan matanya meleret memerhati dan telinganya spontan menangkap sebarang bunyi.

Kedengaran suatu desiran. Dengan pantas dia berpaling. Dia hanya sempat melihat sebahagian; sebelah ekor ular kapak yang sebesar lengannya melungsur pergi. Dia menyumpah. Entah mengapa pertimbangannya tidak begitu tepat hari itu. Belum pernah dia ternampak ular sebelum itu, begitu hampir dan mengancam. Andainya tersilap langkah tadi, tentu sekali dia terserempak dan mengejutkan ular tersebut, yang pasti pula membawa kecelakaan.

Dia bergerak lagi. Tidak diganggui oleh belukar lagi. Perjalanannya menjadi mudah. Pokok-pokok besar tidak berapa banyak di kawasan yang agak berlembah itu. Namun resam dan rumput tetap menebal. hampir dia terjerumus ke paya yang seperti tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya, sebuah paya yang tidak begitu lebar dengan air yang keruh. Dada ketika yang sama dia dikejutkan oleh sekawan babi yang juga terperanjat lalu melarikan diri. Mengambil jalan lencongan, dia berjalan mendaki cerun yang tidak begitu curam. Kembali dia dikelilingi oleh pokok-pokok besar.

Dilihatnya jam tangan Bvlgari digitalnya sebelum mendongak ke atas untuk melihat kelibat matahari. Hanya sedikit sahaja cahaya yang sempat ke bumi. Perhitungannya dengan membandingkan jam dengan cahaya matahari tepat sekali. Sudah hampir satu jam dia berjalan, namun dia masih lagi rnencari-cari.

Sememangnya dalam hutan itu bising, namun kebisingannya tidak memekakkan atau mengganggu seperti kebisingan kota. Pelbagai bunyi beradun sesama sendiri, bagaikan satu paduan nada yang begitu mengasyikkan.

Akhirnya dia duduk di tepi banir pokok merbau yang besar. Satu tin 100plus dari beg sandangnya dikeluarkan. Dengan rakus, dia meneguk air putih yang baginya terasa begitu berperisa dan enak memberi tenaga. Sekali tunggang, hampir separuh isi tin itu masuk ke perutnya.

Matanya terus berkisar mencari-cari. Belum lagi ada tanda-tanda menunjukkan sebarang jejak atau kesan yang terlihat olehnya. Keriuhan burung-burung membuatkan dia mendongak. Puas ditinjaunya, namun tidak pula terlihat olehnya burung-burung itu. Dia menunggang lagi air tin ke mulutnya, menghabiskan baki yang masih ada, sebelum tin itu dicampakkan.

Lebih sepuluh minit dia berhenti berehat di banir sebelum bergerak semula. Dia meneruskan perjalanannya mendaki cerun bukit yang melandai. Setelah lebih kurang seratus meter dia berjalan, dia terhenti. Dengan tiba-tiba hatinya berdebar gembira. Dia sudah tiba di lapangan tempat kancil bermain dan makan. Sisa-sisa buah kedondong bertaburan di lapangan itu. Di lapangan juga terdapat kesan-kesan najis kancil.

Sambil tersenyum, dia memerhati keliling. Dia melucutkan beg sandangnya perlahan-lahan. Beg diletakkan di balik sebatang pokok rambai daun. Perlahan-lahan, begitu waspada dengan kamera tersedia di tangan, dia mara. Kamera kembali menyala dan berfungsi kembali. Begitu berhati-hati, dia mencecahkan kakinya ke bumi; tidak langsung mahu mengganggu ranting atau daun kering yang mungkin menimbulkan kebisingan. Dia berhenti di belakang sebatang pokok sengkawang sebesar dua pemeluk. Di situ amat unggul untuk menanti dan melihat sasarannya. Dia ingin menangkap gambar seekor kancil melompat-lompat yang bijak di dalam hutan. Dari pengalamannya, dia yakin ada seekor kancil berhampiran. Makin waspada pemerhatian dan penantiannya. Kesabaran amat perlu pada ketika itu.

Dia merendahkan dirinya, bertinggung dengan sebelah kakinya membentuk kekuda yang membantu. Setiap inci pandangan seluas seratus lapan puluh darjah ke hadapannya itu diamatinya. Dia bertambah yakin ada seekor kancil berhampiran. Mungkin kancil itu telah dapat merasai kedatangannya dan bersembunyi. Atau mungkin kancil itu sedang makan di sebalik batang kedondong yang berimbun belukar lalu tidak dapat dilihatnya dari situ. Dia percaya, satu langkah yang salah, satu bunyi yang mengganggu akan menghalau kancil itu pergi jauh.

Agak lama dia menunggu. Walaupun kesabarannya belum lagi terkikis, namun penantian itu menimbulkan kegelisahan. Akhirnya, dia mengeluarkan bangsi buluh milik arwah datuknya. Datuknya telah menghadiahkan bangsi itu kepadanya. Lama pula bangsi itu dipegangnya. Dia masih percaya dan mengharap kancil itu akan segera menunjukkan diri, berlegar-legar dalam pandangannya.

Dia harus bersabar. Keyakinannya kepada petua membuat dia terus bersabar. Bangsi yang diberikan kepadanya mempunyai petuanya sendiri. Petua yang mengandungi pantang larang itu harus diikuti. Peniup bangsi tidak boleh membunuh binatang yang dipanggilnya. Peniup bangsi tidak boleh memperdayakan, walau seekor binatang pun, kalau semata-mata untuk membunuhnya. Begitulah pesan yang diterimanya dahulu. Bangsi itu bukan keramat, tidak mempunyai apa-apa kuasa, melainkan bunyinya yang merdu apabila ditiup. Peniup yang pandai mampu memanggil binatang. Suara bangsi yang merdu itu telah banyak menunjukkan bukti. Tetapi dia masih belum mahu meniup bangsi kerana dia percaya seekor kancil akan datang tanpa didorong oleh suara bangsi. Dia cuma perlu bersabar kerana binatang pun mempunyai deria untuk merasakan bahaya.

Dia menunggu. Bangsi masih di jari-jarinya, walaupun pegangannya agak longgar. Pesan orang tua tentang bangsi itu amat diingatinya. Dia masih percaya seorang peniup tidak boleh menjadi seorang pembunuh pula! Penantiannya agak lama. Kancil itu masih tidak mahu menunjukkan dirinya. Dia begitu yakin seekor kancil berada berhampiran di situ, namun dia tidak dapat menentukan di mana. Kesabarannya mulai menipis. Seekor kancil bukankah bijak melepaskan diri.

Tiba-tiba dia merasai sesuatu yang aneh. Daun-daun menjadi kaku, tidak langsung bergerak. Angin pun mati. Kesabaran makin menyakitkan had dan perasaannya. Kancil itu masih berdegil, tidak mahu menunjukkan diri. Perlahanlahan dia mengangkat bangsi untuk disuakan ke mulutnya, namun hajat itu terhenti di pertengahan. Dia masih mengingati pesan datunya tentang bangsi itu, dan masih mahu mematuhinya. Walaupun dia terfikir mengarut tetapi pesanan orang tua itu adalah rukun penting yang harus dipatuhinya, lebih daripada rukun-rukun lain dan seharusnya diutamakan.

Namun kancil itu masih berdegil. Kancil itu seolah-olah ingin mengejeknya, cuba mempersendakannya. Kegelisahannya mengganggu. Letih juga dia bertinggung menanti. Akhirnya bangsi itu singgah di bibirnya, namun angin dari dalam dirinya masih belum terhembus keluar. Dia masih mempunyai sisa-sisa kesabaran, masih mempunyai kepercayaan. Seperti pemburu yang menngkap gambar juga memerlukan kesabaran yang mutlak. Dia selalu dipuji kerana kesabarannya. Dia mahu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada orang lain.

Sejam lebih dia menanti. Dia masih dibelenggu keresahan yang dibujuk kesabaran. Matahari sudah condong ke belakang. Sungguhpun tidak banyak cahaya matahari yang menembusi rimbunan daun-daun di atasnya, suasana masih lagi terang. Akhirnya, dia meniup bangsi itu. Kelaparan mendesak dia bertindak demikian. Sehingga rembang itu, hanya setin air sahaja yang masuk ke perutnya.

Sayu dan merdu bunyi siulan bangsi itu. Dia memang bijak meniup dan tiupannya memang berkesan. Sambil meniup, dia terus berwaspada dan tidak alpa. Kerana mungkin dia yang akan diburu oleh binatang yang kelaparan. Matanya merewang untuk menangkap kelibat kancil itu.

Kedengaran daun berdesir. Kedengaran juga suara seakan-akan orang batuk; lemah tetapi nyaring. Hatinya berdebar. Panggilannya dengan bangsi itu berhasil. Matanya sudah bertambat pada belukar yang merimbun di sebalik batang kedondong bukit itu. Kedengaran bunyi ranting patah, halus, namun dia memang sudah terlatih untuk mendengar bunyi-bunyi seperti itu. Kedengaran pula daun kering merintih. Dan, di sebalik batang kedondong, kelihatan seekor kancil jantan yang cantik. Dia sememangnya mengharapkan kancil jantan yang menjadi idamannya. Merah perang warna bulunya, putih bersih warna dada dan perutnya. Begitu lampai dan berisi pahanya, bersih dan kemilau matanya memandang. Kancil itu meloncat girang, persis penari balet, gemalai, melenggok-lenggokkan kepalanya.

Dia berhenti meniup bangsi. Kancil itu juga berhenti meloncat, cuma telinganya sahaja yang bergerak-gerak mencari pedoman. Dengan pantas dia mengangkat kameranya lalu dihalakannya kepada sasaran. Tanganya ligat memainkan peranan merakam gelagat kancil yang riang menari. Telinga kancil itu terus bergerak-gerak, keliru dan waspada. Bunyi bangsi yang menarik hatinya tadi sudah tidak kedengaran lagi. Mazin masih disebalik pohon besar melindungi tubuhnya kelihatan.

Tiba-tiba dia memalingkan kepalanya, matanya tepat memandang seorang lelaki yang sudah sedia membidik. Dia terkejut. Keliru. Dari mana datangnya orang tua itu bersama senapangnya menghala kearah kancil di depannya. Dia terkedu.

Pang!

Belum sempat kancil itu melompat untuk melarikan dirinya, kedua belah kaki belakangnya sudah dimamah butir-butir timah panas. Tersungkur kancil itu ke bumi. Mazin memalingkan muka. Mukanya disimbah peluh dingin. Dia menyorokan dirinya disebalik pohon yang besar itu. Melindungi diri dan diam supaya tidak dikesan kehadirannya di sini. Dia pasti lelaki itu tidak sedar kehadirannya disitu.

Kamal meletakkan senapangnya, kemudian bangun dan berlari-lari anak menghampiri kancil yang sedang menggelupur. Dengan pantas dia mencabut parang dari sarung di pinggangnya. Kemudian dia memegang kedua belah kaki hadapan kancil itu lalu menindihnya dengan lutut. Tangan kirinya segera memegang kepala kancil itu dan dengan tangan kanannya, dia menyentap mata parang ke leher kancil itu. Bersemburan darah merah dan hangat putus dari urat leher yang sudah putus.

Dia bangun dengan senyum puas. Pemburuannya hari itu berhasil. Darah yang masih basah pada parangnya dikesat pada daun-daun, sementara matanya memandang puas pada kancil jantan yang cantik yang masih bernyawa tetapi tidak bermaya lagi. Dilihatnya kancil itu juga memandang kearah Mazin dengan mata yang sayu. Beberapa kali kepala itu bergegar dan berlenggok, seolah-olah ingin meluahkan rasa kesalnya kerana diperdaya dan kemudian dibunuh pula.

Kamal tidak menghiraukan apa-apa lagi. Kerana bunyi bangsi di dalam hutan itu mengheretnya kearah bawah denai dan kancil itu. Dia mengheret kancil 300 meter dibawah denai. Kamal tidak peduli dari mana datangnya bunyi bangsi tadi. Sekarang dia sudah mendapat keinginannya sejak tadi.

Mazin masih terpana dengan peristiwa di depan matanya. Dia menyesal menggunakan bangsi itu. Kamal mengendong kancil dan pergi terus menghilang. Mazin tergamam lama. Mungkinkah punca kematian kancil tadi, datangnya daripadanya. Tiba-tiba, bukankah dia sudah tersesat jalan, kenapa tidak mengikut saja lelaki pemburu itu. Dia memandang kebelakang. Tiada apa-apa di sana.

Argh, persetankan, bisiknya dalam hati mencuba menenangkan dirinya yang sudah melanggar petua meniup bangsi. Petua yang sudah lama dipatuhinya itu sudah lapuk dan tidak munasabah langsung fikirnya. Tiada hubungan dan bukti untuk menunjukkan kebenaran petua dan pantang larang itu. Sudah begitu lama, tetapi bukan dia yang membunuhnya. Pemburu itu yang melakukannya. Sejak kecil dia bencikan pembunuhan binatang. Dia adalah pecinta alam. Tidak seperti datuknya yang bermain dengan senapang dan hutan; sudah begitu lama dia bermain dengan binatang buruan, namun belum satu pun musibah yang menimpa dirinya. Dia menyesal.

Lelaki itu telah menjauh menapak ke dalam hutan. Hilang kelibat dengan kancil yang kini menjadi miliknya. Mazin masih di situ. Dia ingin berlari pulang. Dia sudah tersesat jauh dalam hartanya sendiri. Dia ingin berlari pulang dan tidak akan kemari tetapi di mana jalan tadi?

Tiada ulasan: