Rabu, September 27, 2006

BAB 4: HARITH IN A BOTTLE

manusia memuja dogma
siang dan malam
dengan akal yang kosong
memanipulasi jiwa
pada suara-suara
di atas
sana
sang malaikat
sibuk membaca dosa

apa yang kau lihat?
aku? aku bukan Tuhanmu.
jangan berkata aku zalim.
saat suaramu berkata
kaulah wira
ku letak namamu
Adam Harith Hakiki

Dia telah meninggalkan sebahagian hidupnya kerana Harith. Setiap nafas itu, gerak hati dan fikiran berputar waktu adalah membantu dirinya membesarkan Harith. Setiap detik yang dilaluinya dengan senyuman. Sebagian besar mereka menganggapnya gila. Gila kerana tidak ada orang yang mengerti apa yang sedang dilakukannya, apa yang sedang diraihnya. Tidak ada orang yang benar-benar mengerti bahawa melahirkan Harith suatu anugerah dan bukan ungkapan penyerahan diri dari kepenatan kehidupan. Bukan. Dia menjadi ibu tumpang untuk anak yang dikandungnya. Masih segar dalam ingatan Jasmin, bagaimana dirinya berkorban untuk kembarnya Jeslin. Saat pertama kali mendengar penyakit yang di hidapi Jeslin. Dia tidak bertindak apa-apa. Tiada apa yang boleh memisahkan dirinya dengan Jeslin. Dia sangat sayangkan Jeslin. Tiada apa yang boleh memisahkan mereka berdua. Tetapi masih segar dalam ingatannya 10 tahun yang lalu. Jeslin mengidap penyakit Anemia Fanconi, disebabkan sumsum tulang sel darah merah tidak sempurna berfungsi. 31% penderita FA sahaja yang boleh bertahan hidup. Kerana itu juga dia mengalami kanser servik serius dan salur rahim yang rosak,menyebabkan kemandulan.


Jeslin dan Hyo Kimae berkenalan semasa menuntut di Hanyang University di Seoul Korea dalam jurusan Sains Sosial. Manakala dirinya menuntut di pengajiannya di Seoul Women’s University dalam jurusan komunikasi dan informasi. Di sana Jeslin berkenalan dengan Hyo Kimae, seorang penuntut korea. Jasmin selalu meluangkan masa melawat Jeslin di campusnya yang terletak di Aejimoon utara Seoul. Mereka akan menghabiskan waktu bersama untuk membeli belah di Dongdaemun Market dan melawat tempat-tempat yang indah di sekitar bandar Seoul dengan mengunakan subway metropolitan Seoul. Saat itu di penghujung musim luruh. Mereka tidak sabar menikmati keindahan taman dengan dedaun berguguran dan keseronokannya menikmati keindahan gunung-ganang dan tasik. Sejak di campus Jasmin suka menangkap gambar foto dan melukis lanskap. Paling digemari menangkap gambar dan melukis hidupan flora dan fauna. Dia akan membawa kamera JVC HDD untuk merakam gambar dan video. Mungkin sebab itulah Harith mempunyai minat yang sama mewarisi bakatnya. Jasmin selalu menemani Maria, rakan sebiliknya dari Malaysia suka berjalan di kawasan Itaewon kerana sukar menemui makanan halal di Seoul, kawasan Itaewon sahaja menyediakan restoran halal Indian, Pakistan dan Arab. Itupun harga 3 kali ganda bayarannya. Tetapi di pekan kecil sukar mencari kedai makanan halal jadi kenalah makan sayuran dan ikan sahaja. Di Seoul hanya ada Masjid Hannam-dong terletak di atas bukit. Maria sering kesana. Kenangan paling manis bersama Jeslin semasa musim luruh saat itu dirinya menjadi saksi lamaran Kim kepada Jeslin di Namiseon Island. Lokasi pengambaran drama cinta yang popular Winter Sonata. Pada malam yang sama mereka meraikan di kelab malam di Hongdae.

Semasa menuntut di sana Jasmin juga telah berkenalan dengan Farihin. Seorang pelajar Malaysia yang mengambil jurusan kejuruteraan eletrik di University Of Seoul yang terletak di Jeongnong Dong berhampiran dengan pusat membeli belah Dongdaemun. Dia dan Farihin akan berkunjung ke Insodong dan Iteawon untuk meluangkan waktu bersama membeli barang-barang tradisi korea. Hampir bertahun-tahun mereka menghabiskan waktu bersama. Tetapi Jasmin sangat benci dengan sikap Farihin yang panas baran dan suka memukul Jasmin apabila marah. Jasmin sangat sayangkan hubungannya dengan Farihin. Tetapi kerana Harith, Farihin menolak anak itu dalam hubungan mereka.


'Aku dah buat keputusan untuk mengandung'. kata Jasmin kepada Farihin pada saat mereka menikmati seafood bersama kimchi di Woimido Seagulls Island, kawasan nelayan yang dikelilingi gunung-ganang dan kawasan padi bukit yang luas.

'kau ingin kandungkan anak orang lain min' soal Farihin. Mematikan seleranya ketika itu.

'itu anak adik aku Hin, aku hanya ingin dia bahagia.'

'kau sanggup kandungkan anak orang lain dan bukan anak aku'

'aku terpaksa demi Jeslin, Hin'. Katanya dengan tenang.

'kau lebih mementingkan Jeslin dari aku, Min?'

'ya, demi kebahagiaan Jeslin, dia tidak boleh mengandung. Aku harap kau faham Hin!'

Kata-kata itu benar-benar menyentap hati dan meluruhkan harapan Farihin. Dia bangun meletakkan makanan di meja dan mencapai bajunya. Tetapi Jasmin sempat memegang lengan Farihin.

'Nanti dulu Hin, ini tak bermakna aku tidak mencintai kau.' Cuba mengharapkan perhatian Farihin.

'Ahh, tidak Min! aku tak boleh terima semua ini.' Bentak Farihin.

Farihin merentap tangan dan menolak Jasmin sehingga jatuh. Jasmin cuba bangun dan mengetap bibir geram dan hanya melihat lelaki itu berlalu pergi. Dia marah dengan tindakan Farihin itu yang tiada belas kasihan terhadapnya. Dalam hatinya membenci lelaki itu.

Akhirnya pada akhir semester pengajiannya, tanpa pengetahuan keluarga dan secara rahsia. Dia menerima rawatan di Municipal Yeoungdungpo Hospital Seoul, untuk mengandungkan bayi tabung uji. Dengan Pemindahan Gamet Dalam Fallopio atau Gamet Intra-Fallopian Transfer(GIFT). Sperma Kim dan telur akan dicampur dan kemudian ditanam ke dalam salur rahim (tiub Fallopio) Jasmin melalui kaedah pembedahan (laparoskopi). Selepas persenyawaan, embrio akan bergerak ke dalam rahim seperti biasa dan seterusnya kehamilan normal berlaku keatas Jasmin.

Pembedahan reproduksi tersebut telah dipantau oleh Fairview-University Hospital, Minneapolis. Charles Storm, Doktor Illinois Masonic Medical Center juga datang merawatnya dan menjalankan ujian gen keatas Jasmin dan bayi dikandungnya 85-90 persen terbebas dari sebarang kompilasi. Kerana dilakukan secara rahsia, mereka memilih melakukannya di Seoul negara dunia kedua yang pesat dengan teknologi perubatan standing Jepun dan USA. Undang-undang Malaysia membenarkan rawatan reproduksi tetapi mesti kepada pasangan suami-isteri dan mereka disahkan menghidap masalah ketidak suburan (mandul) sahaja. Kaedah rawatan reproduksi ini masih belum meluas di Malaysia jika berbanding dengan negara-negara maju. Tetapi, rawatan-rawatan ini semakin diketahui dan diterima. Kebanyakan golongan masyarakat kini akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan anak dengan apa jua pilihan yang ada. Ibu tumpang bermaksud seseorang yang 'meminjamkan' rahimnya kepada pasangan lain supaya mereka boleh memperolehi anak. Walaupun berhadapan dengan tentangan etika perubatan dan agama, teknik menjadi semakin popular, terutamanya di Barat berikutan semakin kurangnya peluang mendapatkan anak angkat.

Pada mula kehamilan, sukar juga dia menyesuaikan fizikal yang membebankan dan kadangkala memberikan tekanan yang tinggi. Ini adalah kerana rawatan ini memerlukan banyak ujian darah, pelalian dan pembedahan. Penggunaan hormon dalam penggalak ovulasi juga menyebabkan kelesuan dan kekejangan. Ketegangan psikologi. Rawatan ini memerlukan komitmen emosi yang tinggi kerana ianya merupakan rawatan yang tidak semestinya berjaya. Harapan yang diberikan kepadanya adalah tinggi. Tambahan pula, rawatan membabitkan kos yang tinggi dan masa yang agak lama. Tetapi semasa tempoh tersebut dirinya ditemani Jeslin dan Kim. Hampir 2 tahun dia tidak pulang ke Malaysia. Jeslin dan Kim berasa amat terharu dengan pengorbanan Jasmin.

Jasmin akui di satu sisi lain, ada yang menganggapnya seperti menetang takdir? Benarkah demikian? Tetapi dia nekad melakukannya, adilkah mereka semua menjatuhkan hukuman terhadap dirinya demi menyelamatkan satu nyawa.

Air warna putih kental itu aku terima di dalam tubuhku. Menerima. Membuahinya. Ada perubahan di tubuhku. Rasa mual bermaharajalela. Membukit diperutku kian meninggi setiap hari. Hari ini suara tangisnya mengisi ruangan. Aku menjentikkan jari kelingking di pipinya yang merah. Mengecup kedua matanya yang masih melengket. Masih tak percaya. Makhluk ini tak berdaya itu pernah tinggal di dalam rahimku. Masih tak percaya. Makhluk mungil itu keluar dari dalam tubuhku. Lantas nurse membawanya. Pergi ke kamar bayi jauh dari ibunya. Aku telah berkata dalam hati, akan ada yang memisahkan kami lagi? Aku akan menjaganya.

Air mata meleleh di pipinya, tak ingin rasanya melepas kepergiannya disisiku. Cukup lama aku menenangkannya. Berusaha memberikan pengertian. Cuba memberikan rasa aman dan harapan. Bagaimana aku ingin terima semua ini, Jeslin dan Kim telah pergi kerana kemalangan setelah Jasmin melahirkan Adam Harith Hakiki. Mereka hanya sempat melihat Harith selama dua hari sebelum kemalangan. Kejadian kemalangan tersebut sampai ke keluarganya di Malaysia dan mereka bergegas berangkat ke Seoul, Korea. Saat itu terbuka semua angkara dan rahsia. Tiada yang Jasmin sembunyikan. Semuanya kerana tidak sanggup menjalani kekecewaan dan harapannya untuk terus hidup. Ibu bapanya menepelaknya kerana membuat keputusan sendiri. Dia menghadapi tekanan yang hebat. Dia akan menjaganya. Tapi tidak mudah memberikan sejuta harapan. Apalagi jika harapan-harapan itu kerap diulang-ulang dan tak pernah wujud menjadi kenyataan. Air jernih di dalam gelas di atas meja disamping tempat tidurnya, Apakah yang sudah aku lakukan?

Suatu hari nanti dia akan membawa anaknya ke sana semula. Seoul di tinggalkan bersama jiwa dan kenangan menjadi lipatan.

*************************

'Harith, buat apa?' teriak Jasmin dari ruang tamu galeri.

'Ris ambil gambar dalam galeri rumah cikgu Mazin ni mama.' Laung Harith dari dalam ruang galeri itu.

Jasmin berjalan perlahan-lahan memasuki ke ruang galeri milik Tengku Mazin. Kedamaian dan ketenangan bagaikan hilang segala hangar binger kesibukan kota. Itulah yang dirasainya sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang yang berhias kaya dengan hasil khazanah belantara unik ini. Sejuk mata memandang, gabungan hiasan tambahan dengan rona merah dan natural membangkitkan suasana segar. Seni reka bentuk kayu serta ukiran memberi mood yang berbeza mengikut saiz serta yang dihiasinya. Inilah kreativiti Tengku Mazin memberi sentuhan eksotik ibarat suntikan terakhir dalam memberi jiwa kepada pemiliknya. Biarpun terdapat beberapa deretan banglo berhampiran, namun galeri Mizan lebih menonjol binaannya kesan kedudukannya yang agak tinggi dari aras jalan utama iaitu hampir 10 meter tinggi. Dipagari dengan pagar kayu bertembok, taman yang cukup luas mengelilinginya ini jelas kelihatan karakternya. Lamunannya terhenti seketika apabila di sapa.

'Puan Jasmin, sampai sekarang Mazin tidak menghubungi kami. Dia Cuma beritahu ingin pulang ke kampung nendanya. Tetapi saya dah hubungi di sana. Sudah seminggu Mazin tidak pulang. Katanya pergi merakam gamabr foto di hutan.'

Jasmin memandang tanpa berkedip kepada wanita 30-an itu. Kata itu keluar dari mulut pembantunya Sarah. Kemana agaknya Mazin, hilang? Dia terdiam seketika dan terkejut apabila mendengar jeritan Harith dari dalam.

'Mama!!!!!, mama!, cikgu mama. Jasmin meluru kearahnya.

'Kenapa? Ris.' Soalnya Jasmin cemas.

'Mama, lihat bangsi dalam gambar ini.' Harith menunjukkan jari telunjuknya ke gambar tersebut.

'Kenapa ris? Beritahu mama.' Kata Jasmin tidak sabar.

'Cikgu Mazin, dia mungkin telah sesat di dalam hutan.'

Tiba-tiba Harith terhenti dan terduduk memegang kepala. Di dalam kepalanya terbayang wajah dan tempat Tengku Mazin. Dia tak pasti dimana. Setiap malam dia dihantui gambaran tempat opera yang indah. Sarah yang berada di situ hanya termangu melihat adegan anak beranak itu.

'Harith, are u okay? Oklah ris, jom kita pulang yer.' Jasmin mengerutkan keningnya. Ada nada risau di hatinya. Sambil menuntun tangan Harith keluar dari galeri dan menuju ke kereta.

'Mama, kita kena cari cikgu Mazin. Harith dapat rasakan dia sesat dihutan. Harith mimpi cikgu berada di sebuah opera panggung yang indah, mama!' Kata Harith di dalam kereta.

Jasmin memandang Harith kosong dan melontarkan pandangan semula ke depan untuk memandu keretanya.

'Macam mana Harith dan mama nak tolong dia, kita tak tahu dia kat mana?'

'Dia berada di kampungnya di bukit Larut.'

Jasmin terdiam. Memikirkan sesuatu yang tak pasti.

Tiada ulasan: