"Doktor! macam mana dengan medical checkup dan keadaan jantung saya?" Epah berbicara.
"Ya, ya!" Doktor memotong. "Saya tidak lupa. Sedang di proses. Saya baru membuat peperiksaan di perut buncit awak yang kembung, hampir-hampir pecah, penuh dengan sampah sarap dan foreign matter yang tidak perlu!"
"Awak lihat ini, " katanya. "Hampir-hampir setiap hari ada saja orang yang meninggalkan otak mereka di sini untuk diperiksa!"
Epah mula hilang sabar. Dia datang untuk mengambil jantungnya. Sudah berkali-kali dia membuka mulut tapi tiada kesempatan untuk bersuara. Epah memanjangkan leher mahu membaca fail yang masih terbuka di atas meja, tulisan Doktor macam cakar ayam.
Doktor terus berbicara tanpa henti-henti:
". . . selain dari otak, saya juga hampir tiap-tiap hari banyak menerima hati, perut, mata, telinga dan kadang-kadang ada yang menanggalkan dan meninggalkan semuanya itu sekali gus untuk diperiksa dan awak tau kebanyakan mereka tidak pernah datang lagi mengambil alat tubuh mereka itu semula, saya terpaksa membuangnya kerana tiada tempat menyimpan kerana peti sejuk ini sudah sarat. Dia orang yang datang memberitahu saya yang mereka hidup tanpa hati, tanpa perut, tanpa mata, tanpa telinga, tanpa otak sewenang-wenangnya, kita pun tak tahu yang mereka itu mayat-mayat hidup zombies yang tidak ada otak, tidak ada hati, tidak ada perut, tidak ada mata, tidak ada telinga."
Doktor itu berbicara terus kepada Epah, seolah-olah Epah adalah anak murid yang tertinggal paper final peperiksaan. Dengan suara yang datar merangkumi bidang keagamaam, sistem pendidikan moden, politik ekonomi, perkauman, CIA, KGB, FBI, PBB, NATO, sejarah, falsafah, kesenian, psikologi, seni lukis, tasauf dan bolasepak dunia.
Doktor kini rancak mengomel pengadil bolasepak yang tidak adil, berat sebelah - membenarkan tendangan penalti.
"ini membuat saya kalah dalam pertaruhan, terkutuklah refree itu, mudah-mudahan dia mati dan masuk neraka jahanam. . . "
"Doktor!" pekik Epah. "Saya tidak berminat dengan bolasepak! Jahanam dengan bolasepak!"
"Apa? Apa?" Doktor persis baru tersentak dari tidur. Kebingungan benar. "Apa? Apa?"
"Bagaimana dengan jantung saya, Doktor?"
"Jantung? Jantung apa?"
"kenapa dengan jantung saya?"
Doktor mengerut-ngerutkan rauka mengingat-ingat. Dia baru teringat tentang jantung minah ini.
"Kenapa dengan jantung saya?" Epah risau bercampur ragu melihat muka Doktor yang macam ditutupi bayang-bayang hitam ini.
"Apa penyakit jantung saya? Apa saya akan mati? Apa saya akan mati, Doktor?"
"Tidak! Tidak!" Doktor terpekik. "Tiada sesiapa yang akan mati! Awak tidak akan mati! Saya tidak akan mati! Isteri dan anak saya belum mati dan tidak akan mati! Saya tidak benarkan sesiapa mati!"
Epah tidak terkeluarkan suara melihat Doktor secara mendadak saja berubah ini. Mengapa dengannya?
"Kita semua akan hidup untuk selama-lamanya!" kata Doktor. Suaranya agak keras. Kemudian nafasnya tersentak sekali. . . tersentak kedua kali.
Tangannya mencengkam-cengkam dada. Doktor terjelapuk mati.
Tinggallah Epah terbengong-bengong di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan