Isnin, Januari 01, 2007

GERGASI

Gergasi berkulit cerah berdahi luas tersenyum-senyum seolah-olah hari itu tidak hujan. Bukan juga aku yang menyambut salam tangannya dan aku kata kepadanya;

-berhujan panas tidak baik untuk sesiapa walaupun kau seorang gergasi.-

Bukan juga aku yang tertunduk-tunduk mengucapkan silakan masuk silakan masuk kepadanya dan aku juga tidak terpaksa ketepi sedikit apabila gergasi ini merujuh masuk, mengiring dan tunduk sedikit kerana takut kepalanya terantuk pada palang pintu; aku bukan berada di ambang pintu ketika itu. Bukan juga aku yang berdiam diri apabila melihat dia masuk tanpa membuka kasutnya yang basah dan kotor lalu duduk di atas sofa paling empuk. Setelah sekian lama tiada sesiapa yang bercakap bukan juga aku yang akhirnya bertanya padanya dia mahu minum apa. Dia memakai seragam hitam dan scarf kotak-kotak merah putih di leher. Hari itu aku menjadi bisu. Persis ayam yang di sembelih korban. Sepatutnya aku berinya makan dua kali sehari, nasi setengah dan sayuran. Gergasi itu tidak mengajakku berkata sepatah dua. Percakapan resiprokal ala jambatan KLCC yang ditengah tergantung. Kami tidak berkata lebih dari 2 atau 3 kalimat pembuka acara di meja. Atau tidak lebih dari 10 isyarat-isyarat Tarzan. Aku di biarkan bertenggek seperti burung tak laku di serambi rumah sendiri. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini mengangkat kepala memandangku, dahinya berkerut-kerut, kemudian dia tersenyum dan terus membaca suratkhabar.

Di luar hujan panas masih turun barai-barai. Di luar keadaan pokok tidak bergoyang-goyang, daun-daun yang ditimpa air hujan panas dan disinar matahari kelihatan berkilauan. Ada seekor anjing melintas menyeberang jalan raya, menyorok di bawah sebuah rumah dan lesap di dalam gelap. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini bertukang sambil bersiul-siul dan sekali-sekala ia meniru bunyi trompet, dram dan gitar dengan mulutnya dan lubang hidungnya yang besar. Apabila hujan panas ini teduh gergasi berkulit cerah berdahi luas ini pun meminta diri untuk pergi.

-Janganlah pergi- itu kataku, seperti hendak menangis.

-aku pengembara- kata gergasi itu.

Tiada ulasan: