Jumaat, Januari 12, 2007

SAMSA ASMARA

Samsa terus berlari dan berlari. Ribuan butir-butir peluru hujan menghentam tubuh besinya, rasa mitraliur mengalir di mulut. Satu persatu itu menjamah kulitnya, menembus batinnya. Berhenti sekejap mengejar angin di dada. Mengabaikan seketika mencari jejak kawanNya. Kakinya rasa terpatah-patah. Di depan sebuah bangunan ukiran cina Samsa berdiri. Tercongok sebuah kolam hijau berlumut memancut air menjulang menentang langit. Matanya memandang beberapa orang lelaki berambut gondrong berderet duduk di bibir kolam sambil menceburkan kaki paras lutut di genangan air. Beberapa burung belatuk bersama pasangan mematuk masa remaja dengan semangat asmara. Dia terpojok di situ.

Sebelum balik ke habitatnya kerana senja telah merayu kota metrokologis, Samsa ke mesin syurga, berjumpa dengan kawanMu, dewa pembuat duit yang handal yang di sembah sujud para manusia. Bermitos pak belang di kepalanya, sebagai maharaja rimba purbawara. Di korek-korek dompetnya, berharap ada sesuatu yang tertinggal, satu momen dulu yang diselitkan sewaktu di serang amnesia. Tetapi tak dijumpai apa-apa. Yang ada hanya kad-kad identiti tak berharga, dan secarik kertas nombor handphone Mitsu Minami yang masih bernilai setubuh manusia. Tanpa beranjak jari-jari kaki berjalan pergi, dia masih berada bersama manusia yang tidak memahami bahasanya. Di sebuah pokok kayu mati, yang terdiri dari burung yang tidak tahu bahasa tupai, apalagi bahasa tikus yang berdekam di akar pokok. Dan sekarang dia adalah satelit yang kelam yang tiada pantulan cahaya. Matahari tidak lagi menyarung bumi. Yang pasti dia si idiot lebur dalam gelita. Gelappp... ni, weii!!.

Tiada ulasan: