Khamis, November 08, 2007

4: BINTANG HITAM
Pendawa

diletak jasadku di ketiak malam,
jarinya yang tajam mengengam leherku
darah terpancut dari tubuhku,
adalah luka yang terjun di ulu hatinya
di ragut nafasku dengan kejam
di lidah sepi, sunyi. kelam.


[aku terjaga di pagi hari yang sepatutnya kita habiskan bersama, terbangun dengan kepala sakit dan beberapa petunjuk. jika kau kembali segalanya sudah berubah… hanya bau kau yang tertinggal di baju dan cadar selimut. Seperti roda gila yang berpusing tanpa henti dan kesetiaan ini, tidak bernama. Tahukah kau kepalaku kini di tumpangi fikiran-fikiran yang bukan milikku, kepekaan perasaan yang pelik. Aku melihat kau dimana-mana seperti melihat bumi di dalam atlas]


Angkasa yang gemerlap, langit malam yang dihiasi pemata bintang, yang menjadi misteri ilahi dan jagat semesta .

Di atas bumi di sekitar kawasan seksyen 18, dua lelaki itu masih duduk menunggu. Di luar kereta memerhatikan rumah di tingkat atas.

Nazrin terperanjat dengan nafas tersengal-sengal hingga tersedak, terbatuk. Kawasan itu berbau asap kemeyan, dari jauh ia terbau dan menyusuk hidungnya. Dia berasa bulu romanya berdiri satu-persatu. Apabila mencium bau itu dan automatik di dalam kepalanya keluar semua fantasi cerita dan gambaran filem seram Sundel Bolong saat dia budak-budak dulu. Dia masih khayal dengan ubat metamphetamine sakit kepala yang di ambil sebelum datang kesini. Dengan mata yang masih kuyu, dia meraba-raba kocek bajunya, mencari kotak rokok yang dibeli di 7-E petang tadi. Hanya tinggal 4 batang rokok yang ada. Disulutnya sebatang, dihisap dalam-dalam.

-Kau apasal, - Dia tersentak, saat suara dalam kereta menegurnya.

-apa tujuan sebenarnya kita kemari- Nazrin berkata, membuka pintu kereta, masuk, duduk disebelah dan memerhatikan keadaan sekeliling yang masih bercahaya. Memandang sekilas wajah di dalam kereta. Kay hanya diam.

-kita kena cari dia, kerana dia yang ke-enam antara kita- kay berkata.

-kau pasti?- Nazrin sinis.

-tidak antara kita sepatutnya ada 5 dan dia yang ke-6- Kay pasti.

-tapi dengan cara ini?-Nazrin membalas kembali. Mereka bertentang mata.

********************************

17 Ogos 1977

Semua sibuk menyambut kelahiran anak sulung Jarena. Wajah bonda Zalia tegang. Cemas, takut sesuatu yang buruk menimpa Jarena. Tidak. Dia tidak mahu kehilangan anaknya lagi. Untuk kedua kali. Tatkala nurse dan doktor keluar dari bilik bersalin. Bonda Zalia, nenda, dan Julia berdiri dan meluru ke arah mereka. Bertanyakan keadaan Jarena. Sedangkan Zamani masih duduk dan tidak menyedari telah terpisah daripada mereka.

-Syukur alhamdullillah-ujar nenda dan diikuti dengan Julia dan Bonda Zalia. Dan jururawat itu menyatakan keadaan bayi dan ibunya kedua-duanya selamat.

Mereka bertiga tiba-tiba berkata serentak -perempuan?-

-Iya- kata jururawat sambil tersenyum bahagia.

Zamani tetap duduk di atas bangku itu dan berasa gembira dengan kelahiran orang baru. Tetapi lebih-lebih lagi dia baru sahaja terlepas dari rasa sakit di segenap tubuhnya sejak Jarena mengandung dulu. Dia merasa tubuhnya yang mengandung bukan isterinya.

Tiada ulasan: